Thursday, September 27, 2012

SUBURKAN SYUKUR : PENDAFTARAN IBADAH KORBAN DI TERATAK RAHMAT KINI DIBUKA

Satu daripada hikmah ibadah korban dianjurkan oleh Islam adalah untuk memupuk sifat bersyukur kepada Allah, antara lain bersyukur atas nikmat harta yang dianugerahkan oleh Allah Yang Maha Kaya.

Firman Allah yang bermaksud:
“ Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur. Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketaqwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah, Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah atas hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik” 

(al-Hajj: 36-37)


Dengan itu, Teratak Rahmat mempelawa orang ramai untuk menyertai ibadah korban di Teratak Rahmat pada tahun 1433H/2012 ini dengan harga berikut:

1 bahagian lembu = RM450.00
1 ekor kambing = RM650.00


Daging korban yang disumbangkan ini akan dijadikan sebagai sumber makanan anak-anak yatim/miskin dengan menyimpannya di peti sejuk besar sehingga dapat dimakan secara berjimat-cermat selama hampir 1 tahun yang akan datang.

Walau bagaimanapun, oleh sebab wujud kekurangan lembu korban yang cukup sifat untuk dikorbankan di pasaran tahun ini, Teratak Rahmat hanya dapat menerima penyertaan untuk maksimum 6 ekor lembu atau bersamaan dengan 42 bahagian sahaja. Dengan mendahulukan permohonan berbanyak maaf, hanya penyertaan 42 bahagian korban terawal sahaja yang dapat dilunaskan pada tahun ini.

Untuk sebarang pertanyaan, silalah berhubung dengan saudara Azwar di telefon 019-5726482 atau Hazman di telefon 019-4759382, serta email di teratakrahmat@gmail.com .

Sebagai imbasan semula, marilah sama-sama kita meneliti 7 KELEBIHAN BERKORBAN DI TERATAK RAHMAT:


1.BERAMAL PADA SEBAIK-BAIK HARI
Korban akan disembelih pada 10 Zulhijjah iaitu pada Hari Raya Aidil Adha pertama. Selepas bulan Ramadan, 10 hari pertama dalam bulan zulhijjah adalah sebaik-baik masa untuk umat Islam mengerjakan amal kebajikan. Pesan Rasulullah s.a.w: Maksudnya: “Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari pertama dalam bulan Zulhijjah”. Para sahabat baginda bertanya: “Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan hari-hari tersebut)?”. Ujar baginda: “Tidak juga jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah)” (hadith riwayat al-Bukhari).

Ustaz Ihsan menyembelih kambing sambil dibantu oleh sukarelawan TR

2. KORBAN DIJADIKAN SEDEKAH TERBAIK
Daging korban dijadikan sedekah kepada anak-anak yang menghuni Teratak Rahmat, sedangkan sedekah yang ikhlas kerana Allah menjadi penghindar dari api neraka. Pesan Rasulullah s.a.w: Maksudnya: “Siapa yang sanggup mendinding dirinya daripada api neraka walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma, maka hendaklah dia lakukan”(hadith riwayat Muslim) Sedekah ini pula merupakan sedekah terbaik dalam “liga”nya kerana daging lembu tempatan segar adalah sumber protein terbaik sebagai makanan yang berkhasiat untuk anak-anak sedang membesar. Pesan Rasulullah s.a.w: Maksudnya: “Wahai manusia! Sesungguhnya Allah itu Maha Baik, maka Dia tidak menerima (amalan) melainkan yang baik-baik sahaja” (hadith riwayat Muslim)



3. KORBAN DIJADIKAN MAKANAN ANAK-ANAK YATIM
Daging korban yang disedekahkan akan dijadikan makanan anak-anak yatim di Teratak Rahmat. Maka membantu anak-anak yatim termasuk dengan memberikan jaminan makanan kepada mereka, dijanjikan ganjaran yang cukup besar. Pesan Rasullah s.a.w: Maksudnya: “Aku dan penjaga (memberi perlindungan) kepada anak yatim seperti ini di dalam syurga”. Berkata Malik: “Baginda telah mengisyaratkan dua jari baginda iaitu dengan merapatkan jari telunjuk dan jari hantu” (hadith riwayat Muslim).



4. KORBAN DIJADIKAN MAKANAN ANAK-ANAK MISKIN
Selain anak-anak yatim, anak-anak yang dibelenggu kemiskinan di Teratak Rahmat juga akan menikmati makanan daripada daging korban yang disedekahkan. Kelebihan membantu anak-anak miskin termaktub dalam pesanan Rasulullah s.a.w Maksudnya: “Orang yang mengurus (kebajikan) janda dan orang miskin, bagaikan orang yang berjuang di jalan Allah”, Kata Abu Hurairah: “Saya juga menduga baginda bersabda ‘(Mereka yang mengurus kebajikan orang miskin) bagaikan orang yang selalu solat malam tetapi tidak pernah merasa letih dan bagaikan orang berpuasa yang tidak pernah berbuka” (hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)


5. KORBAN MENUNAIKAN KEPERLUAN UMAT ISLAM SETEMPAT
Memang benar ada banyak peluang berkorban Aidil Adha di Palestin, Somalia, Filipina, Kemboja, Selatan Thai dan tempat-tempat lain. Walau bagaimanapun prihatian dengan yang berjiran dan hampir dengan kita, masih ada anak-anak yatim/miskin Islam yang perlu dibela nasib mereka secara berterusan. Tambahan pula, berkorban dalam negara juga bererti menyokong ekonomi desa umat Islam tempatan. Pesan Rasulullah s.a.w: Maksudnya: “Sesama umat Islam itu bersaudara. Oleh sebab itu, janganlah menganiaya dan jangan mendiamkannya. Siapa sahaja yang memperhatikan kepentingan saudaranya, Allah akan memperhatikan kepentingannya. Siapa sahaja yang melapangkan satu kesusahan sesama umat Islam, nescaya Allah akan melapangkan satu kesusahan daripada beberapa kesusahannya pada Hari Kiamat. Sesiapa sahaja yang menutupi keburukan seorang umat Islam, maka Allah akan menutupi keburukannya pada Hari Kiamat” (hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)



6. MANFAAT KORBAN BERTERUSAN
Sedekah korban di Teratak Rahmat dimanfaatkan secara berterusan sehingga 7 atau 8 bulan selepas Hari Raya Aidil Adha. Memiliki kemudahan 3 peti sejuk besar yang boleh memuatkan daging, tulang dan organ lain daripada 7 ekor lembu yang bersaiz sederhana besar; bahan-bahan korban ini akan dicincang dan disimpan rapi dalam peti sejuk tersebut. Apabila tiba gilirannya, daging ini akan dikeluarkan secara sedikit demi sedikit dan berperingkat-peringkat, untuk dijadikan lauk anak-anak yatim/miskin. Berkenaan pentingnya amalan kebajikan dilakukan secara berterusan, Rasulullah s.a.w telah berpesan: Maksudnya: “Katakanlah, saya beriman kepada Allah, kemudian istiqamahlah kamu (iaitu berterusanlah teguh)” (hadith riwayat Muslim) Pesan Rasulullah s.a.w lagi: Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik amalan adalah amalan yang berterusan, walaupun sedikit” (hadith riwayat al-Baihaqi)




Inilah antara peti 'bank' daging di Teratak Rahmat 

7. MEMBUKA PINTU REZEKI
Anak-anak yatim dan miskin yang dididik di Teratak Rahmat adalah golongan lemah dalam kalangan umat Islam, yang perlu dibantu secara berterusan dan sistematik supaya keluar dari kemelut kemiskinan dan masalah sosial. Adapun membantu golongan yang lemah, Rasulullah menjamin amalan ini sebagai salah satu daripada kunci-kunci rezeki yang diberkati Allah . Pesan Rasulullah s.a.w: Maksudnya: “Sesungguhnya kamu dibantu (Allah) dan mendapat rezeki disebabkan adanya bantuan kamu kepada orang-orang yang lemah dalam kalangan kamu” (hadith riwayat al-Tirmidhi)


Saturday, September 22, 2012

Usaha Adik Hafizi Untuk Teratak Rahmat

Hari ini, pelajar-pelajar Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin menganjurkan Program Motivasi bercirikan riadah untuk anak-anak Teratak Rahmat di Pauh, Perlis.

Selepas tiba dari menghantar anak-anak Rahmat, saya amat tertarik dengan satu peristiwa yang berlaku di Kuala Lumpur. Di mana adik Hafizi yang hanya baru berusia 10 tahun telah mengambil inisiatif mengajak rakan-rakannya di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1, Kuala Lumpur untuk menyumbang kepada Teratak Rahmat. Tidak dapat dibayangkan bagaimana seorang anak yang semuda ini telah dapat belajar untuk mensyukuri nikmat Allah melebihi kebanyakan insan yang lebih dewasa daripadanya. Berikut adalah catatan ibu saudara beliau, Puan Wan Zurina binti Wan Isa di laman Facebook.com:

I would like to share a very touching incident and could serve as an example for other young girls and boys out there to emulate. While I was in KL recently, my nephew (hafizi- 10 yrs old) had forwarded me a box, written on the side TERATAK RAHMAT and inside the box was RM12 (10 in RM1 denomination and others were coins). He told me that he collected some donations from his friends in school and it is for the children at TERATAK RAHMAT (rumah anak2 yatim miskin). Sungguh terharu lagi apabila diberitahu sesetengah kawan2nya sanggup forego their lunch in order to contribute. Syabas to Hafizi and friends from SK Taman Tun Dr Ismail 1.....such noble act from only 10 yr olds. Moga Allah berkati anak2 ini serta ibu bapa yang telah berjaya mendidik anak2 ini. http://www.facebook.com/photo.php?fbid=10151415654996124&set=a
Semoga Allah membalas dengan kebaikan yang banyak kepada adik Hafizi.

Monday, September 17, 2012

Khas Untuk Pemilik Akaun CIMB

Teratak Rahmat kini menyediakan kemudahan untuk pemilik akaun Bank CIMB menyumbang untuk kebajikan anak-anak yatim/miskin di bawah jagaannya. Di samping akaun Bank Muamalat dan akaun Maybank yang sedia ada, kini salurkanlah bantuan ikhlas anda ke akaun CIMB bernombor 14330001133200 atas nama Hazman Hassan.

Firman Allah, maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian daripada apa yang telah Kami kurniakan kepada kamu, sebelum tibanya hari (Kiamat) yang tidak ada jual beli padanya dan tidak ada kawan-teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, merekalah orang-orang yang zalim ”

(al-Baqarah:254)

Thursday, September 13, 2012

Teratak Rahmat Dalam Media



Artikel telah diterbitkan oleh akhbar Harian Metro keluaran 12 September 2012. Selain itu, artikel ini dapat juga didapati di pautan http://www.hmetro.com.my/articles/Rahsiakaripapsedap/Article

Bercerita mengenai karipap di artikel ini, penulis sebenarnya ingin mengaitkan pada dua kunjungan ke rumah anak yatim di utara. 

Kunjungan ke Rumah Teratak Rahmat, Mata Ayer, Perlis adalah kunjungan hari raya. Penulis dan teman-teman mahu beraya dengan pentadbir rumah terbabit dan menyampaikan kiriman duit raya daripada kawan-kawan yang lain kepada anak-anak Teratak Rahmat. 

Jenuh berpesan kepada pentadbir Teratak Rahmat, Dr Hazman Hassan, supaya jangan susah-susah dengan kedatangan kami. Namun adat Melayu bukan senang dibiarkan begitu saja oleh Dr Hazman.

  Sebaik tiba, kami terus susah hati kerana rupa-rupanya Dr Hazman dan kawan-kawannya menyediakan makanan ‘Perlis’ bagi menjamu kami. Ada laksa, pulut ayam dan juga spera malah Dr Hazman sempat bercerita mengenai makanan asli Perlis yang unik dan tersendiri.
   

Ceritanya, pulut ayam banyak dipengaruhi dengan selera Siam. Ia pulut yang dikukus antaranya dengan minyak bijan kemudian dimakan bersama ayam goreng dan sos cili. Orang Perlis mungkin sudah biasa dengan juadah ini tetapi bagi kami yang pertama kali mencuba, rasanya agak janggal. 


Namun cerita spera sangat menarik perhatian. Spera ialah kuih seperti karipap tetapi intinya bukan seperti karipap biasa sebaliknya kelapa seperti pulut inti. 

Spera yang dihidangkan agak besar sedikit ukurannya malah cara menikmati spera memang unik. Mungkin ada pembaca seperti juga penulis terkejut mendengarnya.


“Spera ini dimakan dengan laksa!” kata Dr Hazman. 

Kami semua tersenyum dan mula ketawa kecil kerana menyangka dia bergurau. 

“Ini bukan gurauan kerana ia antara cara makan spera yang diamalkan di sini. Mungkin ramai anak jati Perlis sendiri yang tak tahu tetapi memang ia suatu kebiasaan yang wujud sejak sekian lama. 

“Spera boleh dipatahkan atau terus diletakkan sebiji ke dalam mangkuk kuah laksa. Rendam ia sekali bersama kuah laksa dan biarkan semuanya sebati dan meresap. Kita makan laksa, hirup kuah dan makan spera yang sudah lembut sekali,” katanya. 

Cuba anda bayangkan rasanya. Rasa laksa, kuah laksa, perencah timun, bawang, telur, kemudian makan pula spera yang berinti kelapa? Jika anda berfikir rasanya yang ‘kelam-kabut’ tetapi apabila mencuba, tidaklah mengejutkan sangat. Malah ia kelainan yang agak sedap. 

Sememangnya, menikmati spera yang direndam bersama kuah laksa adalah kenangan yang sukar dilupakan. 

Selepas kunjungan raya ke Teratak Rahmat, penulis dan rakan-rakan ke Rumah Anak Yatim Ummu Sofiah pula di Trong, Taiping. 

RENCANA UTUSAN: Kemuliaan hati budak 8 tahun

KHAMIS lepas, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun di sebuah pekan kecil di Illinois, Amerika Syarikat menjadi tajuk berita paling banyak dibaca di seluruh dunia. Bukan disebabkan dia memijak gambar Obama atau mengibarkan bendera Union Jack. Bukan juga dia mengakibatkan ibu bapanya malu alang kepalang. Tidak. Sebaliknya cukup membanggakan.

Kanak-kanak tersebut, Wyatt Erber dari pekan Edwardsville yang hanya memiliki kira-kira 24,220 penduduk telah memenangi peraduan anjuran bank di pekan tersebut bernilai AS$1,000 (RM3,000) dan kemudian menyumbangkan kesemuanya kepada bayi berusia dua tahun yang menderita leukemia.

Wyatt mengenali bayi tersebut, Cara Kielty yang merupakan adik kepada kawan jirannya, Connor. Cara disahkan menghidap ‘acute lymphoblastic leukemia’ pada Mei lalu, yang memiliki kadar pemulihan sebanyak 90 peratus. Ia memerlukan Cara menjalani rawatan kimoterapi setiap minggu.

Kira-kira seminggu selepas Cara didiagnos leukemia, Noelle Erber menanyakan anaknya jika dia berminat menyertai satu peraduan bank yang menawarkan hadiah utama wang tunai AS$1,000.

‘‘Wyatt pantas menjawab, ‘mari lakukannya dan jika saya menang AS$1,000 itu, saya mahu berikannya kepada Cara’,’’ cerita ibunya.

Peluang untuk menang tidak mudah. Peraduan tersebut memerlukan Wyatt dan ibunya pergi ke premis tertentu bagi mengumpul 20 petunjuk bagi menjawab soalan. Namun Noelle tidak tergamak memberitahu Wyatt kemungkinan dia tidak akan menang. Tetapi Wyatt begitu bersungguh-sungguh. Hasrat itu turut dinyatakan kepada ibu Cara, Trisha Kielty.

‘‘Saya tahu Wyatt mahu melakukannya untuk Cara, yang mana ia adalah perkara paling manis,’’ ujarnya. ‘‘Tetapi budak 8 tahun memberi duit sebesar itu? Saya cuba memprotes kepada ibunya. Kemudian ibunya memberitahu saya bahawa Wyatt bertanya berapa banyak rawatan kimo boleh dibuat ke atas Cara menggunakan AS$1,000. Ini menunjukkan Wyatt faham’’.

Keluarga Kielty yang menjadi sahabat karib kepada keluarga Erber sejak mereka berjiran lima tahun lalu, memutuskan untuk menerima pemberian Wyatt dan memilih untuk menumpu perhatian kepada hakikat bahawa Wyatt adalah ‘kanak-kanak berhati mulia’.

 
Bermain

Cara yang biasa melihat Wyatt datang bermain dengan abangnya di rumah mereka, sentiasa manja dengan Wyatt.

“Cara akan senyum lebar apabila Wyatt muncul di pintu,’’ kata Trisha.

Kisah kemurahan hati Wyatt itu pantas tersebar. Sebuah badan kebajikan pekan tersebut mengumpul derma yang menyamai hadiah kemenangan Wyatt untuk diserahkan bagi rawatan Cara.

Seorang penderma di Kanada yang membaca kisahnya telah mengutus surat memuji tindakan Wyatt, yang diselitkan dengan wang kertas AS$100 untuk rawatan Cara.

Usai membaca berita di atas, tentunya kita akan tertanya. Kalau kita yang berada di tempat Wyatt, menang peraduan wang tunai bernilai RM3,000 : apakah kita sanggup mendermakan kesemuanya? Berikut adalah kemungkinan lazim bila kita menang RM3,000 :

1) Guna sendiri RM2,700 dan derma 10 peratus sahaja (RM300)

2) Guna keseluruhan RM3,000 dan derma ‘lain kali’ (0 peratus)

3) Derma kepada badan yang ada keluarkan resit (untuk dikemuka pada LHDN) menyebabkan sulit hendak derma kepada anak jiran (0 peratus).

Kemungkinan-kemungkinan di atas bukan lawak Ahad. Ia adalah fakta. Perkara pertama yang difikirkan oleh setiap daripada kita bila menang RM3,000 ialah bayar hutang kad kredit, bayar tunggakan ansuran kereta dan beli telefon pintar Samsung atau iPhone.

Membayar

Mendermakan sedikit daripada wang itu ada dalam cadangan kebanyakan daripada kita tetapi ia berada di kedudukan 15 atau 16 ‘senarai keutamaan hidup’, walaupun ia tidaklah seteruk kedudukan idea ‘membayar hutang PTPTN’ yang di tangga ke-20. Liatnya penerima nikmat PTPTN hendak membayar balik pinjaman pendidikan mereka sendiri itu begitu ketara kerana jumlah kutipan balik bayaran masih rendah iaitu sekitar RM3.2 bilion sedangkan jumlah sepatutnya adalah sebanyak RM6.8 bilion.

Sifat murah hati di kalangan rakyat Malaysia secara umumnya adalah baik. Murah hati memberi sumbangan derma material dan wang tunai sudah menjadi mercu tanda istimewa bila bercerita mengenai rakyat Malaysia. Apa sahaja bencana di luar negara, berduyun-duyun orang kita sukarela menghulurkan bantuan.

Malah sifat mulia seumpamanya harus dipupuk di usia muda. Kisah Wyatt Erber di atas sebenarnya bertunjang daripada nilai-nilai kemanusiaan yang dipupuk oleh ibunya. Sejak awal, Wyatt telah didedahkan kepada kerja-kerja amal yang dilakukan oleh ibunya iaitu membuat kuih yang hasilnya disalur kepada dana pesakit kanser. Apabila Cara disahkan menghidap leukemia, pendedahan awal telah menjadi faktor pendorong kepada Wyatt untuk membantu bayi itu.

Kaedah ini wajar kita contohi. Sebagai ibu bapa, kita harus memikirkan cara yang mirip kepada cara keluarga Wyatt tersebut. Libatkan diri dalam kegiatan amal dan kebajikan, kemudian bawa bersama anak-anak supaya dapat membuka mata dan hati mereka mengenai nasib malang sesuatu pihak. Ini akan membentuk keperibadian yang jitu pada anak-anak iaitu insaf, rendah diri, sentiasa sedia membantu dan murah hati.

Satu lokasi mudah untuk anda cuba praktikkan saranan di atas ialah melawat ke rumah anak-anak yatim terdekat dengan anda. Bincang dengan pengetua di situ supaya anda boleh mengadakan program tertentu seperti mengadakan bengkel membaca atau belajar membuat batang kail, misalnya. Anak-anak yatim ini tidak akan menolak kehadiran anda. Mereka juga rindukan bimbingan dan perhatian.

Jumaat lepas, akhbar Penyebar Fikiran Rakyat ini menjalin kerjasama dengan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) melaksanakan program Sinar Kasih iaitu inisiatif yang inovatif dan proaktif dalam memberi sinar baru kepada anak-anak yatim yang hilang tempat kebergantungan ekonomi.

Anak-anak yatim yang dikenal pasti melalui laporan media khususnya daripada RTM dan Utusan Malaysia akan diberikan bantuan segera sebanyak RM200 setiap bulan bagi tempoh minimum setahun.

Anda pembaca budiman, boleh memainkan peranan membantu membela anak-anak yatim terbiar di kawasan anda dengan menghubungi pejabat Utusan Malaysia terdekat, yang akan mengenengahkan kisah mereka agar mendapat perhatian masyarakat dan Yapeim menerusi program Sinar Kasih ini.