Tuesday, May 22, 2012

METRO: Didik anak yatim seperti anak sendiri

Dipetik dari laman http://www.hmetro.com.my/articles/Didikanakyatimsepertianaksendiri/Article dan akhbar Metro keluaran 22 Mei 2012, Ruangan Hati, halaman H11.

 NURUL Huda Idris, 32, yang juga pembantu takbir merangkap warden wanita di Teratak Rahmat sudah bersama rumah amal itu sejak awal penubuhannya lagi.

“Di awal penubuhannya, kami bermula dengan apa yang ada. Tentu saja pengalaman kami masih cetek tetapi kami berusaha mewujudkan suasana kekeluargaan walau pun di dalam kekurangan,” katanya.

Nurul Huda dan teman-temannya termasuk suaminya yang juga antara pengasas Teratak Rahmat meneruskan juga perjalanan rumah amal itu walaupun dalam serba kekurangan berbanding asrama lain.

“Anak-anak Teratak Rahmat datang dengan latar belakang yang hampir sama iaitu kemiskinan, kurang kesedaran mengenai kebersihan, cetek intelektual, lemah iman dan bergelut dengan masalah peribadi keluarga masing-masing.

“Jadi, pada awal penubuhan kami berhadapan dengan sekumpulan anak-anak yang akhlaknya agak kasar, kebersihan kurang terurus serta tahap akademik sangat rendah sehinggakan ada yang pada usia sekolah menengah tetapi masih belum tahu membaca dan kemurungan,” katanya.

Cerita Nurul Huda, apabila dia dan rakan-rakannya yang juga warga operasi Teratak Rahmat sedar dan mengakui kelemahan yang ada, mereka tahu keadaan itu perlu segera ditampung.

“Namun manusia bukanlah sistem komputer yang boleh diprogram mengikut kehendak kita, segalanya memerlukan masa dan cara yang halus dan bertepatan untuk menanganinya. Alhamdulillah, kini anak-anak ini semakin ceria, kebersihan mereka juga mula terurus, akhlak yang ditunjukkan semakin beradab dan tahap akademik semakin meningkat sehingga ada yang mampu menempatkan diri mereka di kelas pertama,” cerita Nurul penuh bangga.

Berkenaan prasarana pula, Nurul Huda yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi, Universiti Sains Malaysia berkata, Teratak Rahmat cuba menyediakan tempat yang lebih selesa, selamat, bersih dan baik mengikut kemampuan.

“Di Teratak Rahmat ini ada anak yatim, miskin dan bermasalah. Kategori anak yatim adalah keutamaan kami, kedua faktor kemiskinan dan yang ketiga bermasalah daripada segi perceraian ibu bapa dan seumpamanya.

“Walaupun bukan semua anak-anak ini anak yatim, boleh dirumuskan hampir 90 peratus daripada anak-anak ini adalah ‘yatim kemampuan kewangan’ iaitu miskin dan ‘yatim kasih sayang’ iaitu bermasalah.

“Bagi memudahkan penyelenggaraan, kami masih mengekalkan kuota yang sama seperti awal penubuhannya. Ini supaya ia bersesuaian dengan kapasiti iaitu sekitar 30 orang untuk tempoh satu tahun. Cadangan dan permintaan orang ramai memang ada untuk menambah bilangan anak-anak ini tetapi kami menunggu sehingga dapat menyediakan ruang yang lebih selesa terlebih dulu,” katanya.

Menurut Nurul Huda, pihak Teratak Rahmat tidak mahu persekitaran yang terlalu padat menyebabkan ketidakselesaan di kalangan penghuni dan menimbulkan masalah lain.

Sekiranya berhadapan dengan masalah dengan anak-anak di bawah jagaannya, Nurul Huda, ibu empat anak yang baru-baru ini dinobatkan sebagai antara tiga pemenang utama Pencarian Ibu-Hati Harian Metro 2012 tajaan Softlan, sentiasa mengambil pendekatan memerhati terlebih dulu.

“Saya mulakan dengan memahami apa sebenarnya yang berlaku. Kesilapan pertama biasanya tidak diambil kira, tetapi kami ‘menandakan’ perkara terbabit supaya apabila ia berulang atau timbul masalah lain, kami boleh membuat penilaian rujukan kemudian. Biasanya jika anak yang berada di bawah usia 12 tahun, kaedahnya agak ringkas. Kami membuat teguran terus dan tegas. Berlainan dengan anak remaja yang memerlukan untuk lebih bermain dengan ‘sikap’.

“Kami perlu mendekati mereka bagi mendapatkan kepercayaan dan pada masa sama, membuatkan timbul rasa hormat pada kami, proses ini tidak mudah dan mengambil masa. Apabila kami sudah mendapatkan kepercayaan dan hormat daripada mereka barulah setiap teguran kami mereka terima.

“Namun, kenyataannya remaja tetap remaja. Mereka di dalam peringkat yang penuh rasa memberontak. Jadi sekuat mana usaha kami untuk mendampingi mereka tetap akan ada penolakan daripada mereka,” katanya.

Pada Nurul, dalam mengurus dan mendidik dia mengamalkan konsep jujur dan adil.Dia mahu jujur dengan anak-anak itu dan mereka juga boleh jujur dengannya.Setiap hukuman atau pertimbangan pada satu-satu perkara itu juga perlu adil setakat kemampuannya.

Menurutnya, keperluan daripada segi makan pakai anak-anak Teratak Rahmat dapat mereka sediakan seadanya.

“Kami mahu menyediakan suasana persekitaran yang selamat, selesa dan bersih kepada anak-anak di sini termasuk kemudahan seperti kipas di bilik dan ruang belajar serta sistem perpaipan yang lebih lancar. Kini sistem yang ada akan terganggu sekiranya anak-anak menggunakan bilik air serentak. Kami mahu menambah baik kemudahan sedia ada di sini.

“Setiap yang kami usahakan, kami mengharapkan ia membuahkan hasil yang baik.Cabaran terbesar adalah apabila didikan dan kasih yang disemai tetapi hasilnya lain daripada yang diharapkan. Perkara ini biasanya terjadi apabila anak-anak itu sudah sampai masa untuk membuat keputusan hidup sendiri.

“Pada usia saya kini, alhamdulillah saya dapat mengagak perjalanan yang akan dilalui sekiranya seseorang anak itu memilih jalan tertentu bagi meneruskan hidupnya. Ini berdasarkan pengalaman dan pengamatan.

“Saya selalunya sedih sekiranya anak-anak itu membuat keputusan tidak seperti diharapkan. Risau mereka kesal di kemudian hari. Tetapi apa boleh buat kerana kerana kami bukanlah diktator yang memaksa mereka mengikut keputusan kami saja.Suami jadi penguat semangat dan sering memberitahu, saya perlu membiarkan mereka membuat silap supaya daripada situ mereka belajar erti hidup. Namun sebagai seorang ibu, itulah perkara yang sangat susah dilakukan - melihat anak kita melakukan kesilapan,” katanya.

INFO:
Untuk pertanyaan dan lawatan ke Teratak Rahmat di KM 1.2, Jalan Mata Ayer, 02500 Mata Ayer Perlis, sila hubungi Azwar Ibrahim di talian 019-5726482, Nurul Huda (019-4219382), Hazman (019-4759382) dan Zahiri (019-5128281).


E-mel boleh dihantar ke alamat teratakrahmat@gmail.com, blog:http://teratakrahmat.blogspot.com, Facebook : www.facebook.com/teratakrahmat


Sekiranya ingin menyumbang wang tunai, boleh menyalurkannya ke akaun rasmi Teratak Rahmat di Bank Muamalat (nombor akaun 0901-0019362-72-9). Setiap deposit harus dimaklumkan kepada Teratak Rahmat supaya resit dapat disediakan.

METRO : Teratak Rahmat perlu RM60,000

Dipetik dari laman  http://www.hmetro.com.my/articles/TeratakRahmatperluRM60_000/Article dan akhbar Harian Metro edisi 22 Mei 2012. Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan.

Teks dan gambar Kusyi Hirdan

ADA orang semakin berusia, semakin memikirkan cara untuk berbakti. Sedekah, amal jariah mula dilakukan semakin kerap. Walaupun sedikit, kesedaran membuatkan kita mahu berkongsi walaupun hanya menyumbang seringgit.

Dalam membuat amal bakti, ada orang yang bergerak sendirian, ada juga berkumpulan. Ada yang sudah kukuh pergerakannya, ada juga baru bermula.

Teratak Rahmat di Perlis, sebuah rumah yang dihuni oleh anak-anak yatim dan miskin dilihat masih hijau kerana baru beroperasi pada penghujung 2008. Tetapi sebenarnya pencapaian Teratak Rahmat sangat membanggakan kerana sepanjang tempoh itu sehingga kini ia berdikari dan beroperasi dalam segala kesederhanaan.

Menceritakan bagaimana Teratak Rahmat ditubuhkan, Dr Hazman Hassan memberitahu, segalanya bermula daripada pengalaman dua warden memelihara beberapa anak yatim di rumah masing-masing selama beberapa tahun.“

Apabila rumah mereka sudah tidak muat untuk menampung anak-anak yatim, sebuah asrama anak yatim dan miskin yang kami namakan Teratak Rahmat ditubuhkan. Kini Teratak Rahmat beroperasi untuk tahun keempat di Pusat Pengajian Persatuan Al-Islah Perlis,” katanya.

Empat tahun mungkin terasa pendek bagi kebanyakan kita tetapi dalam tempoh itu, begitu banyak liku perlu dilalui Dr Hazman yang juga antara pengasas Teratak Rahmat dan rakan-rakannya.

“Teratak Rahmat mula beroperasi secara rasmi sejak Disember 2008 dan cabaran awal yang kami hadapi adalah kekurangan dana bagi menjalankan operasi. Ini kerana kami beroperasi sepenuhnya hasil ehsan orang ramai dan pihak yang prihatin,” katanya.

Tenaga operasi Teratak Rahmat digerakkan 80 peratus anak-anak muda berusia di bawah 40 tahun. Jadi seperti biasa ada pihak berasa kurang yakin kemampuan golongan belia dalam bidang kebajikan. Apabila diduga dengan cabaran demi cabaran, kumpulan kecil ini sangat memerlukan kekuatan hati dan ketabahan diri.

“Antaranya kami menghadapi kesukaran mendaftarkan Teratak Rahmat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Kami sedar tanpa pendaftaran dengan jabatan ini, Teratak Rahmat terus dianggap sebagai entiti ‘haram’. Ada juga tuduhan nakal seperti menyeleweng dana, Teratak Rahmat dikatakan enggan patuh kepada undang-undang berkaitan pendaftaran, persekitaran tidak selamat kepada tumbesaran anak-anak, persekitaran tidak kondusif menurut Akta Kanak-kanak dan dikatakan mendera anak-anak.

“Namun kami cuba atasi setiap cabaran sebaik mungkin. Mengatasi kekurangan dana, kami menggunakan dasar berjimat cermat yang ketat. Untuk itu, warden kami rela bekerja tanpa gaji selama beberapa tahun ini,” kata Dr Hazman, 35, lulusan doktor falsafah (PhD) Pengajian Islam daripada Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Warga operasi Teratak Rahmat perlu sentiasa menggunakan kreativiti mereka.Mereka menggunakan bahan terbuang serta kemahiran warden dalam pertukangan kayu, jahitan serta kerja elektrik bagi dimanfaatkan untuk meminimumkan segala kos yang termampu. Dalam perbelanjaan, keperluan makanan, persekolahan dan pembayaran bil akan didahulukan di Teratak Rahmat.

“Selepas perbelanjaan makanan, persekolahan dan bil diselesaikan, dari situ baru disimpan sedikit demi sedikit untuk pembinaan dan pengubahsuaian dalam memenuhi syarat tiga agensi iaitu Jabatan Kesihatan, Majlis Perbandaran dan Jabatan Bomba seperti mana disyaratkan JKM. Hasilnya dalam masa tiga tahun beroperasi, kelulusan Jabatan Kesihatan dan Majlis Perbandaran Kangar berjaya kami peroleh,” katanya.

Melakukan kebaikan paling mudah dipandang negatif oleh banyak pihak. Entah mengapa itulah yang sering dilalui oleh insan berniat baik. Niat yang sering disangka buruk oleh kebanyakan pihak.

“Untuk mengatasi persepsi negatif, kami sedar kami perlu meningkatkan ilmu, mengasah kemahiran, berkorban dan berkerja keras seikhlas mungkin untuk menangani segala cabaran tanpa jemu atau putus asa.

“Kami juga mengamalkan pendekatan telus dan terbuka kepada lawatan atau tinjauan mana-mana pihak. Akhirnya selepas berusaha kami berdoa dan bertawakal,” tegas Dr Hazman lagi yang juga anak jati Perlis.

Teratak Rahmat kini memerlukan keperluan mendesak bagi memenuhi spesifikasi Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Teratak Rahmat dikatakan bersalah kerana tidak berdaftar dengan JKM.

Teratak Rahmat juga pernah diarahkan berpindah atau anak-anak Teratak Rahmat perlu dihantar ke pusat jagaan lain atau diserahkan semula kepada keluarga atau waris mereka. Hanya dengan ehsan Yang Berbahagia Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Advokasi Ibu Pejabat JKM di Putrajaya, Teratak Rahmat diberikan tempoh tiga bulan untuk memenuhi syarat Jabatan Bomba dan mendaftar iaitu sehingga 15 Jun 2012 ini,” katanya.

Bermakna Teratak Rahmat perlu mengumpulkan dana berjumlah RM60,000 untuk menyiapkan spesifikasi Jabatan Bomba dan Penyelamat termasuk tangki air khas, sistem penggera kebakaran, pecah kaca dan dinding kalis api dalam kadar segera.

“Di samping itu, bagi menjaga keselamatan anak-anak Teratak Rahmat, kami berhasrat untuk menukar dan menaik taraf perpaipan dan pendawaian elektrik di premis Teratak Rahmat. Meskipun kami baru empat tahun memasuki bangunan operasi, bangunan itu sendiri sudah berusia melebihi 25 tahun. Untuk itu, sejumlah RM40,000 diperlukan sebagai fasa kedua nanti iaitu untuk perpaipan dan pendawaian.

“Kami juga berhasrat untuk meningkatkan tahap kondusif Teratak Rahmat dan bercadang meningkatkan lagi mutu beberapa kemudahan di sini.

“Fasa ketiga nanti, kami mahu mewujudkan pintu di ruang makan Teratak Rahmat, menukar atap yang bocor, menambah kipas angin dan kerja lain demi keselesaan penghuninya,” katanya.

Setiap bulan, biaya asas operasi berjumlah RM6,000 sebulan perlu dicari untuk makanan, persekolahan dan bil lain. Ia jumlah yang agak besar tetapi warga operasi Teratak Rahmat tidak pernah berhenti berusaha.

Ia mempunyai lapan kakitangan tetap iaitu setiausaha, warden lelaki dan wanita, pemandu, pengurus teknikal dan teknologi maklumat serta tukang masak.Di samping tugas sendiri, semuanya bertindak sebagai warden dan pembantu warden bagi melancarkan perjalanan operasi menjaga 26 anak-anak di situ.

“Selain petugas tetap, terdapat beberapa lagi sukarelawan yang berkhidmat secara sambilan. Sukarelawan berkala ini kadangkala datang memberikan tazkirah, motivasi atau tuisyen pada anak-anak kami,” kata Dr Hazman lagi sambil memberitahu dia sangat berharap walaupun Teratak Rahmat kecil dan kekurangan kewangan, dia dan teman-temannya akan terus berbakti dalam penjagaan dan memberi pendidikan kepada anak-anak yatim dan miskin di Perlis serta kawasan sekitar.

“Teratak Rahmat diharapkan dapat terus memperkasakan anak-anak yang kurang bernasib baik ini menjadi insan mulia yang dapat memperjuangkan agama, bangsa dan negara,” katanya.

Wednesday, May 16, 2012

METRO: Rezeki jaga anak orang


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Hari ini sekali lagi akhbar Metro melaporkan tentang Teratak Rahmat, laporan tersebut boleh dibaca dalam akhbar Metro keluaran 16 Mei 2012 atau seperti di bawah. Dipetik dari http://www.hmetro.com.my/articles/Rezekijagaanakorang/Article
PENGIKTIRAFAN...Mustapa (empat dari kanan) dan Pikuonis (enam dari kiri) bergambar bersama pemenang dan finalis Pencarian Ibu-Hati Harian Metro 2012.

Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

KETIGA-TIGA mereka memiliki gelaran sama, isteri dan juga ibu. Namun apa yang membuatkan mereka berbeza dan menonjol berbanding wanita seusia adalah pembabitan dalam kerja amal sekali gus menjadi inspirasi kepada wanita dalam meningkatkan taraf hidup bukan saja untuk keluarga tetapi masyarakat setempat.

Atas kecemerlangan dan daya usaha yang tidak berbelah bagi serta mengutamakan kepentingan orang lain melebihi diri sendiri, Nurulhuda Idris, 32, Yasmin Rasyid, 37, dan Azalinda Alias, 37, dinobatkan sebagai pemenang Pencarian Ibu-Hati Harian Metro 2012 tajaan Softlan yang berlangsung di Hotel Holiday Villa Subang, 13 Mei lalu mengalahkan lima peserta lain.

Bagi Nurulhuda yang juga pengasas, warden dan pembantu tadbir di Rumah Anak Yatim dan Miskin Teratak Rahmat Perlis, bersyukur atas kemenangan yang tidak disangka-sangka. Wang kemenangan RM5,000 itu dapat digunakan untuk memperbaiki penempatan anak-anak yatim supaya kehidupan mereka menjadi lebih sempurna.
“Sepanjang empat tahun membuka Teratak Rahmat, kami cuba sedaya upaya mendapat kelulusan Jabatan Kebajikan Masyarakat namun kewangan yang terhad dengan peruntukan RM60,000 untuk Jabatan Bomba dan Penyelamat menyebabkan ia tertangguh. Tetapi kami tidak akan berputus asa mengumpul dana setakat termampu kerana jika tidak, penempatan ini terpaksa ditutup dan sudah tentu ini memberi masalah kepada anak-anak yatim di bawah jagaan saya,” katanya.

Wanita berjiwa cekal berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Industri Universiti Sains Malaysia (USM) ini bukan berasal daripada keluarga senang. Tetapi jiwa keibuan terserlah apabila melihat anak-anak terbiar lalu dibawa pulang ke rumah.

“Ketika itu saya baru mendirikan rumah tangga dan mendapati ada seorang remaja yang ingin lari dari rumah. Memikirkan nasibnya yang mungkin terabai, saya mengambilnya sebagai anak angkat. Daripada seorang akhirnya bertambah dan kini menjadi 30 kesemuanya,” katanya yang memberitahu semua kanak-kanak ini datang daripada pelbagai latar belakang berbeza seperti anak yatim, yatim piatu serta memerlukan perlindungan.

Berpegang prinsip rezeki ada di mana-mana dan semoga dengan menjaga anak-anak orang, Allah akan menjaga empat anaknya, Nurulhuda akan terus menabur bakti kepada mereka yang memerlukan.

Tambahnya, pada zaman serba mencabar ini keruntuhan akhlak dan salah laku berlaku di mana-mana. Dengan penubuhan Teratak Rahmat, ini sedikit sebanyak dapat membentuk peribadi mereka menjadi insan berguna kepada agama, masyarakat dan negara.

Walaupun dibesarkan dalam persekitaran selesa, wanita berdarah campuran Melayu dan Cina ini sejak kecil diajar berdikari dan tidak membazir makanan. Ibu sentiasa mengingatkan sebiji nasi atau sepinggan makanan adalah rezeki daripada Allah dan harus bersyukur kerana dapat menikmatinya.

Bagi Pensyarah Fakulti Sains Teknologi dan Media, Universiti Malaya yang juga pengasas dan Presiden EcoKnights, Yasmin Rasyid, sifat ini terbawa-bawa sehingga dewasa. Malah dia menjadikan alam sekitar sebagai sahabat dengan membabitkan diri dalam kerja pemuliharaan alam sekitar.

Menurutnya, kini kesedaran masyarakat semakin meningkat namun ramai tidak mengamalkannya. Dengan memberi tumpuan kepada wanita kerana golongan ini lebih berkuasa dalam menentukan produk isi rumah serta kerja membabitkan alam sekitar, Yasmin memberitahu wanita seharusnya dididik supaya lebih menghargai persekitaran.

“Sebenarnya memelihara alam sekitar bermula dari rumah. Ini boleh dilakukan dengan melihat sekeliling dan menukar kepada aktiviti yang lebih menyihatkan. Misalnya tidak menggunakan racun serangga, menanam tumbuhan hijau, mengurangkan penggunaan plastik dan makanan dalam tin. Walaupun nampak mudah tetapi tidak ramai mempraktikkan sebagai amalan harian.

“Mesej inilah yang saya ingin sampaikan kepada semua wanita di seluruh negara,” katanya yang pernah bertugas di WWF Malaysia sebagai pegawai penyelidik untuk program Forest For Water, Water For Life.

Menurut Yasmin, tidak guna kerajaan membelanjakan ratusan ribu ringgit menjalankan pelbagai kempen namun hasilnya sangat menyedihkan. Gembira dengan penganugerahan Pencarian Ibu-Hati Harian Metro 2012, Yasmin bertekad akan terus memperjuangkan isu alam sekitar terutama kepada wanita kerana mereka berperanan besar dalam membentuk generasi muda supaya lebih menghargai alam. Pada masa sama, dia juga mengadakan aktiviti dan bengkel untuk badan korporat, ibu bapa dan anak-anak berkaitan penjagaan alam sekitar.

Bagi perunding kecantikan, Azalinda Alias, 37, tidak sampai tiga bulan menjadi ibu tunggal pada usia 25 tahun selepas kematian suami hidupnya berubah mendadak apabila cedera parah akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya sehingga tangan kirinya terpaksa dipotong. Namun begitu, semua itu tidak mematahkan semangat wanita kelahiran Johor Bahru, Johor ini untuk bangkit daripada sejarah silam dan memulakan hidup baru.

Tambahnya, semuanya bermula selepas bergelar ibu tunggal dan suami tidak meninggalkan harta untuk menyara dua anak. “Sepanjang bergelar ibu tunggal banyak cabaran yang terpaksa saya hadapi. Cemuhan serta penghinaan masyarakat perkara biasa. Ramai melemparkan pandangan sinis dan tidak mahu membantu. “Namun saya kuatkan semangat dan bertekad mahu merubah kehidupan,” katanya yang membuka salun kecantikan dan spa sejak dua tahun lalu. Selain aktif dalam Persatuan Ibu Tunggal Johor, wanita ini juga kerap membantu golongan miskin, anak yatim dan pesakit kronik. Malah selain menjaga dua anak, dia turut menyara tiga anak yatim dan seorang ibu tunggal. Wanita ini juga pernah dinobatkan sebagai Johan Tokoh Anugerah Orang Kelainan Upaya (OKU) Terbuka Wanita peringkat Segamat pada November 2010.

Dipilih sebagai tiga pemenang utama Pencarian Hati-Ibu Harian Metro 2012 cukup mengujakan Azalinda. Wang kemenangan itu dapat digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan. Pada masa sama, dia menasihati ibu tunggal supaya tidak berputus asa dan tabah menghadapi ujian. “Rezeki ada di mana-mana. Asalkan rajin berusaha dan sentiasa berserah kepada Allah,” katanya.

  Ketiga-tiga mereka membawa pulang hadiah lumayan wang tunai RM5,000 dan loket berlian bernilai RM5,000 sumbangan Softlan, plak anugerah, barangan elektrik dan hamper barangan penaja. Lima pemenang sagu hati menerima RM1,000, plak serta hamper sumbangan penaja. Mereka adalah Siti Norkiah Mhd Ishak, 37, Noor Hayati Mohd Kamaluddin, 34, Suriyah Md Noor, 45, Rosni Abu Bakar, 35, dan Ismaruzaini Ibrahim, 32. Hadiah disampaikan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar. Turut hadir, Pengarah Pemasaran Colgate-Palmolive Marketing Sdn Bhd, Chris Pikuonis dan Pengurus Pemasaran Colgate-Palmolive Marketing Sdn Bhd, Liew Pooi Wan. Tidak ketinggalan, majlis diserikan dengan gelagat lucu pengacara Sharifah Shahirah serta nyanyian daripada penyanyi tersohor, Ziana Zain.

MENYANTUNI ANAK YATIM

عَنْ سَعْدٍ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  : أَنَا وَكَافِلُ اليَتِيْمِ فِي الجَنَّةِ هَكَذَا – وَأشَارَ بِالسُّبَابَةِ وَالوُسْطَى وَفَرَّجَ بَيْنَهُمَا – 
( رَوَاهُ البُخَارِيُّ) 
Daripada Sa’id Bin Abi Waqqas RA – katanya : Rasulullah SAW bersabda : Aku dan orang yang menyantuni anak yatim begini dalam syurga – lalu baginda mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dan merenggangkan antara keduanya. (HR Bukhari)

Pengajaran Al-Hadis :

1. Maksud anak yatim menurut syara’ (agama) ialah anak yang kematian ayah dan umurnya belum baligh. Tetapi jika anak tersebut sudah sampai umur baligh maka berakhirlah keyatimannya. Menyantuni anak yatim dapat ditinjau dari dua sudut, iaitu : 1. Menyantuni agamanya, dengan cara mengasuhnya, mendidiknya, mengajarnya dengan pelbagai ilmu-ilmu agama, memperbaiki akhlaknya dan lain-lain. ; 2. Menyantuni dunianya, iaitu dengan menjaga makan, minum, pakaian dan tempat tinggal mereka dan lain-lain.

2. Kedudukan orang yang menyantuni anak yatim sebagaimana dijelaskan diatas sangat dekat dengan kedudukan Rasulullah SAW di dalam syurga kelak pada hari akhirat. Nabi SAW mengisyaratkan dengan dua jarinya, telunjuk dan tengah dalam hadis diatas menunjukkan betapa kedekatan antara mereka dengan Nabi SAW. Dua jari tersebut, bukan saja memberi gambaran betapa dekatnya dari sudut jaraknya, tetapi juga menggambarkan betapa dekatnya dari sudut ketinggiannya.

3. Ibnu Hajar Al-‘Asqalaniy berkata : Barangsiapa mendengar hadis ini hendaknya terdorong untuk mengamalkannya agar layak menjadi pendamping Nabi SAW di dalam syurga. Dan tiada kedudukan paling tinggi di akhirat nanti yang boleh mengatasi kedudukan Rasulullah SAW. Oleh itu, selagi hayat dikandung badan, marilah kita sama-sama memanfaatkan masa sebaik-baiknya untuk menyantuni anak-anak yatim sesuai dengan kemampuan masing-masing. Mungkin dengan harta, atau dengan ilmu, atau dengan kekuatan, sama ada kekuatan badan atau pikiran. Ya Allah, berilah kami taufiq-Mu untuk mengamalkan kandungan hadis diatas, Amin ya Rabbal ‘Aalamin.


Monday, May 14, 2012

Pemenang Utama Ibu-Hati Harian Metro 2012. Terima Kasih Group Ukhwah

Semoga Allah membalas kebaikan kepada ahli Kembara Ukhwah Ke Utara (KUKU) atau dikenali juga sebagai 'Grup Ukhwah'. Mereka telah berusaha melalui pelbagai peluang untuk membatu Teratak Rahmat (TR), terbaru ialah mencalonkan orang kuat TR, Puan Nurulhuda ke program Pencarian Tokoh Ibu Harian Metro dan hasilnya Kak Huda telah berjaya menjadi pemenang utama. Di bawah adalah sedikit ringkasan dari profil laman Facebook mereka.

Sahabat kami, Puan Nurul Huda Idris adalah seorang ibu muda 4 anak yang sanggup mengabdikan diri demi menjaga anak-anak yatim di Teratak Rahmat, Perlis. Baru-baru ini, kami mencalonkan beliau untuk program Pencarian Tokoh Ibu Harian Metro.
Sekiranya orang lain dicalonkan, mereka mungkin gembira. Beliau pula menolak cadangan pencalonan itu mentah-mentah. Beliau khuatir jika orang salah faham. Kami memberitahunya, "Ini bukan untuk puan. Ini adalah untuk Teratak Rahmat."
Alhamdulillah, setelah puas dipujuk beliau bersetuju dan akhirnya berjaya memenangi tempat kedua.
Bertambah gembira lagi apabila perbualan santai dengan wakil HM selepas majlis selesai membuahkan rezeki yang tidak disangka-sangka untuk Teratak Rahmat.(Iskandar Syah)
Syukur Alhamdulilah, sahabat kami Nurulhuda daripada Teratak Rahmat memenangi salah satu hadiah utama sempena hari ibu anjuran Harian Metro. Beliau banyak membantu mengendalikan anak-anak yatim di Teratak rahmat membawa pulang RM5000 dan seutas rantai serta bebreapa hadiah lain. Tahniah daripada Grup Ukwah..
(Norhayati Berahim)


PAUTAN PILIHAN :

Sumbangan Barangan : Perkembangan Terkini TR

METRO: 3 insan berjiwa murni


SUBANG JAYA: Tiga wanita yang banyak menyumbang kepada program kemasyarakatan dan kerja amal dipilih sebagai pemenang utama Ibu-Hati Harian Metro 2012, bersempena meraikan Hari Ibu yang diadakan di Hotel Holiday Villa, Subang di sini semalam.

 Mereka terdiri dari Pensyarah, Pengasas dan Presiden EcoKnights dan Penasihat Alam Sekitar Yasmin Rasyid, 37; Pengasas, Warden dan Pembantu Tadbir Rumah Anak Yatim dan Miskin Teratak Rahmat, Perlis, Nurulhuda Idris, 32; dan Perunding Kecantikan Azlinda Alias, 37.

 Masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000 dan loket berlian bernilai RM5,000 sumbangan Softlan, plak anugerah, barangan elektrik dan hamper daripada penaja, manakala lima lagi finalis, masing-masing menerima wang tunai RM1,000.
HARGAI...Mustapa (lapan dari kiri) bersama pemenang dan finalis Pencarian Ibu-Hati Harian Metro, semalam.
 Hadiah disampaikan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar. Turut hadir, Pengarah Pemasaran Colgate-Palmolive Marketing Sdn Bhd, Chris Pikuonis dan Pengurus Pemasaran Colgate-Palmolive Marketing Sdn Bhd, Liew Pooi Wan.

 Ketika ditemui Yasmin Rasyid, 37, yang aktif dalam kerja amal pemuliharaan alam sekitar bersyukur kerana berjaya menarik golongan muda menjadi sukarelawan. Katanya, usaha yang dilakukannya diharap dapat membantu membuka minda masyarakat untuk turut serta dalam aktiviti kemasyarakatan. Malah, kemampuannya mewujudkan Festival Filem Eko harus dipuji kerana dapat melahirkan ramai bakat baru dalam industri perfileman serta menggalakkan anak muda menjadi aktivis alam sekitar.

 Sementara itu Nurulhuda yang asalnya hanya membantu suami menguruskan asrama anak yatim, tetapi akhirnya menjadikannya sebagai kerjaya dengan menganggap 25 penghuni rumah itu seperti anak sendiri. Mengamalkan konsep tinggal di rumah bersama anak yatim dan miskin, dia berharap semoga dengan menjaga mereka, Allah akan menjaga dan melindungi empat anaknya.

 Bagi Azlinda Alias, 37, pula gelaran ibu tunggal dan orang kelainan upaya, tidak menghalangnya menjalankan kerja sukarelawan dan mengumpul dana bagi membantu golongan miskin, anak yatim dan pesakit kronik melalui Persatuan Ibu Tunggal Johor.

 Kecekalan dan ketabahan meneruskan kehidupan dan membantu mereka yang memerlukan perhatian ramai sehingga dinobatkan di antara tiga peserta akhir.

 Terdahulu, Chris Pikuonis dalam ucapannya berkata, penganjuran anugerah buat kali kedua ini sebagai meraikan semua ibu di Malaysia serta memberi penghargaan kepada wanita daripada pelbagai latar belakang.

 “Softlan berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Harian Metro selama dua tahun berturut-turut dengan memberi penghargaan kepada semua wanita di seluruh negara. Diharap anugerah ini akan menjadi pemangkin kepada usaha mereka pada masa depan dalam membantu masyarakat amnya,” katanya.

 Pada sebelah pagi turut diadakan pertandingan memasak dan menggubah bunga manakala pertunjukan fesyen Serasi Bersama suami dan isteri diadakan pada waktu petang.

 Majlis diserikan dengan kehadiran Ziana Zain sebagai artis undangan.

Sunday, May 13, 2012

Kad Ucapan Kepada Ibu Selepas Berdikari...

Pada minggu lepas, anak-anak Teratak Rahmat menyiapkan kad ucapan sepertimana yang diminta oleh Mak Wan untuk kelas motivasi beliau, ada yang siapkan satu, ada yang dua dan ada yang siapkan empat kad ucapan. Ingatan mereka kepada ibu bapa yang jauh di mata sentiasa kuat dan segar bahkan mungkin lebih mendalam dari apa yang penulis rasakan. Saya terperasan satu ungkapan daripada Anak Rahmat yang amat berseni maksudnya ‘Kasih sayang kepada ibuku tidak pernah sempurna umpama ‘puzzle’ yang tidak lengkap…’. Allah lebih maha mengetahui, apakah yang terpendam dalam dada Anak Rahmat. Harapan penulis ialah semoga Anak Rahmat akan selalu ingat untuk utuskan kad ucapan kepada ibu, tidak perlulah menjadi manusia yang menanti ketibaan Hari Ibu pada Ahad kedua bulan Mei, untuk curahkan kasih sayang. Ciptalah kemuncak kasih sayang adik dengan apa-apa rezeki yang dikurniakan Allah.

Di Teratak Rahmat mereka diajar berdikari dengan kemampuan yang ada, apa-apa sumbangan yang diberi, itulah nikmat yang mereka kecapi dan apa-apa yang terkurang, itulah yang mereka akan sabar dan tempuhi dengan rasa kesyukuran.

Mak Wan atau dikenali sebagai teacher cuba menyelami perasaan kasih sayang Anak Rahmat terhadap ibu mereka dengan melihat ungkapan dan kesungguhan mereka menyiapkan kad ucapan kepada ibu. Disebabkan kesempitan hidup yang melanda keluarga, akhirnya mereka terpaksa menumpang kasih di Teratak Rahmat. Teratak Rahmat cuba untuk menyediakan keperluan harian yang selesa tetapi ianya adalah secara berfasa-fasa.

Maka buat masa sekarang fasa pertama untuk projek sistem keselamatan bomba diutamakan dahulu tambahan surat peringatan telah diterima daripada JKM Perlis. Itulah projek yang memerlukan sumbangan bernilai RM 50 000 seperti yang dimaklumkan sebelum ini. Berikutnya fasa kedua iaitu memperbaiki system pendawaian elektrik yang bernilai lebih kurang RM 40 000, ini juga adalah satu lagi inisiatif Teratak Rahmat untuk memastikan sistem lintar pintas akan lebih selamat setelah 20 tahun digunakan. Selepas itu barulah pergi ke fasa menambah dan memperkemaskan keperluan harian anak-anak di Teratak Rahmat.

Disamping memberi peluang pendidikan duniawi dan agama Islam, termasuk dengan kelas tambahan oleh guru-guru sukarelawan tetapi persoalan adakah Teratak Rahmat dapat bersaing dengan keselesaan yang disediakan oleh ibu bapa mereka?, sentiasa bermain dibenak fikiran barisan tenaga kerja Teratak Rahmat. Contohnya, cadar mereka yang cuma mampu dibasuh sekali sekala, lazimnya hanya dijemur dengan sinaran matahari. Pergi pula ke almari mereka yang uzur, mungkin akan mengganggu privasi mereka ketika sesi lawatan para penderma dan tempat belajar mereka yang kurang selesa, menyebabkan Teratak Rahmat berusaha menyiapkan perpustakaan agar boleh diguna oleh semua penghuni. Harap-harap pada masa akan datang, Teratak Rahmat dapat selesaikan masalah-masalah yang mengganggu keperluan harian anak Teratak Rahmat.



PAUTAN PILIHAN :

Sumbangan Barangan : Perkembangan Terkini TR


Saturday, May 12, 2012

Program Ukhwah Dan Muhibah Untuk Anak Teratak Rahmat


Anak Rahmat sedang bersemangat. Mereka
dipecahkan menjadi 5 kumpulan.

Lazimnya, aktiviti riadah mingguan hanya dilakukan sekitar kediaman Teratak Rahmat, namun kali ini Mak Wan melakukan sesuatu yang berbeza iaitu dengan membawa Anak Rahmat ke tempat percutian Tasik Tasoh yang indah lagi mempersona. Program Motivasi Ukhwah Dan Muhibah yang berasaskan riadah ini dijayakan dengan kerjasama Mak Wan dan sepuluh orang sukarelawan, Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar dan bermakna.
Saya maksudkan 'bermakna' kerana tujuan murni program motivasi ini nampaknya bukan sekadar indah khabar dari rupa, objektif yang dikehendaki rupa-rupanya benar-benar dapat dilihat dengan eksklusif sepanjang program ini berlangsung, kerjasama yang ditunjukkan pula membuatkan pertandingan yang terdapat dalam program motivasi ini nampak amat sengit dan progresif.

Anak Rahmat 'junior' dan 'senior'
berganding bahu dalam 'Ukhuwwah'.
Program berlangsung dengan dua fasa iaitu fasa pertama dimulakan dengan membentuk kumpulan dan sorakan tersendiri, diikuti program mendaki bukit yang agak sukar dengan membawa telur dan belon besar. Selepas mereka berehat cabaran acara Balapan Berhalang dan aktiviti khas 'Ukhuwwah' pula menanti mereka, semua dijayakan dengan baik sekali. Fasa kedua pula dimulakan selepas solat Zohor berjemaah, iaitu pertandingan Explorace. Pertandingan ini berlangsung selama tiga jam dengan pelbagai aktiviti yang mencabar, contohnya mencari harta karun, mencari susun suai gambar (puzzle), teka  silangkata dan soalan trivia.

Inilah jadual program yang padat dan menarik.
Walaupun sukar dan memerlukan ketahanan mental yang tinggi, semua kumpulan berjaya menyiapkan tugasan sebelum jam 5 petang. Kepuasan dan keseronokan jelas terpancar pada wajah Anak Rahmat hingga ada si kecil yang meminta diadakan lagi. Semoga Allah membalas dengan kebaikan atas usaha gigih pihak penganjur.
SOKONGAN BELIA MEMBERI ASPIRASI 
Fasi Adam dan Zuhdi membantu peserta.
Pembesar suara memudahkan lagi mesej yang
ingin disampaikan.
Penglibatan belia sebagai sukarelawan dan fasilitator telah membuatkan program ini berjalan dengan teratur dan sangat bersistematik. Anak Teratak Rahmat amat bertuah kerana dapat merasakan pengalaman bersama sukarelawan yang ikhlas dan tidak meminta apa-apa balasan kecuali berharap program ini akan mencapai objektif dan kejayaan yang diinginkan. Berdasarkan rumusan yang dibuat, semua fasilitator amat berpuas hati dengan penjagaan akhlak dan kerjasama yang ditunjukkan oleh anak-anak Teratak Rahmat.    

Fasi Wani, Farah dan Su bertukar menjadi sukarelawan
hidangan makanan. 

Fasi Siti dijemput oleh Mak Wan
untuk membuat rumusan.


 Program ini ditutup dengan majlis penyampaian cenderahati dan hadiah oleh Ustaz Ihsan bin Idris.  Amat banyak kebaikan yang dapat dijadikan teladan melalui program sebegini hingga tidak dapat dicoretkan semuanya dalam laporan ringkas ini.Semoga program yang baik dan memberi impak positif sebegini akan dianjurkan lagi.




Hadiah jersi kepada juara

Kumpulan juara bergambar
bersama Mak Wan


Biarpun hanya mampu di tempat ketiga
tapi senyumannya...
LINK PILIHAN: http://teratakrahmat.blogspot.com/2012/04/terhimpit-teratak-rahmat-perlukan-rm-50.html

TERHIMPIT:Teratak Rahmat Perlukan RM 50 000 !

Friday, May 11, 2012

Kembara Lisan: Sepagi Di Teratak Rahmat

Sepagi Di Teratak Rahmat



Bila terbaca kisah anak yatim/miskin dihimpit derita dan kepayahan hati ini menjadi resah apabila membaca surah Al-Maa'uun.Banyak pertanyaan dan persoalan yang menari-nari dalam fikiran. Jadi adalah lebih baik penulis pergi sendiri bertanya khabar. Dan ada rezeki untuk ke sana bersama Ir.Wahab Isa dari Wargakilang. Wargakilang yang sering menghulurkan sumbangan kepada mereka yang dihimpit derita.





Kami rasa ada baik mengenali mereka secara lebih dekat lagi.Selama ini hanya berkomunikasi melalui telefon. Aku telah memaklumkan tentang kedatangan kami kepada Ustaz Azwar.Teratak Rahmat rupanya terletak di Dewan Persatuan Al-Islah km1.2,Jalan Mata Ayer,02500 Mata Ayer,Perlis. Kami pada mulanya mencari papan tanda 'Teratak Rahmat'. Tidak ada papan tanda penunjuk arah. Paling mudah bertanya pada orang.Benar seperti kata orang tua-tua," segan bertanya sesat jalan".Oleh kerana maklumat di mana letaknya tidak jelas,kami agak tersasar sedikit.Tetapi tidak jauh.Kami berhenti di Mesjid As-Syakirin lalu menelefon Ustaz Azwar. Dia datang bersama seorang lelaki berambut pendek dan berbadan gempal.


Lelaki yang berbadan gempal itu cukup peramah.Kami cukup selesa dengan cara 'PR'nya.Dengan senyum dan ketawa kami di bawa ke Teratak Rahmat. Lalu Ustaz Azwar memkenalkan kepada kami lelaki itu ialah Dr.Hazman ahli lembaga pengelola Teratak Rahmat.Beliau kini bertugas sebagai pensyarah di Universiti Utara Malaysia.

Menurut Ustaz Azwar di sini terdapat anak yatim dan miskin.Berlatarbelakang peribadi yang kacau dan berkecamuk tidak hairan ramai anak didik di sini yang tidak pandai membaca dan penulis.Tetapi berkat tekun dan sabar mengajar dan memimpin mereka,akhirnya anak-anak di sini sudah pandai menulis,membaca dan mengira.


Dalam perbualan kami dengan Ustaz Azwar dan Dr.Hazwan tidak ada perancangan khusus menjadikan Dewan Islah ini sebagai Pusat Jagaan. Pada mulanya atas keperihatin Ustaz Azwar anak-anak yatim dan miskin tinggal di rumahnya.Tidak ramai.Dua tiga orang sahaja.Tetapi bila bilangannya bertambah, ada yang mencadangkan supaya Dewan Islah digunakan.Lagi pula Dewan hanya digunakan 2 kali seminggu. Maka kerana itulah Dewan itu dimanfaat untuk anak-anak yatim dan miskin sebagai tempat mereka berteduh dan menumpang kasih.

Kebanyakan alatan,perkakas dapur,van dan sebagai disumbangkan oleh warga yang perihatin.Semuanya masih dalam keadaan elok kecuali van serbaguna yang sudah uzur dan perlukan pengganti baru.InsyaLlah mungkin tidak lama lagi adalah penggantinya.Inilah ruang atas tempat anak-anak Teratak Rahmat belajar dan mengulangkaji pelajaran mereka.Lihatlah keadaan meja tulis yang kelihatan dimakan usia.Tetapi inilah yang ada bagi mereka.Dan mereka menerima dengan seadanya.


Cuma yang keadaan merisaukan ialah keadaan keselamatan.Menurut Jabatan Bomba 'partition' yang dibuat daripada kayu tidak disesuai dan bahaya dari segi keselamatan.Dan kerana itu perlu digantikan dengan bahan kalis api. Ini semuanya memerlukan wang.Dan jumlahnya cukup besar.Sekali lagi soal wang menghantui dan meresahkan Ahli Lembaga Pengelola.Tidak ada wang cukup macam-macam boleh terjadi. Yang penting soal anal-anak di sini perlu diselamatkan.

Sama-samalah kita membantu dan menghulur seberapa yang ada.Mungkin saudara merasakan sumbangan yang diberikan itu tidak seberapa tetapi amat besar nilai bila terkumpul.Sedikit-sedikit,lama-lama menjadi menjadi bukit.Jangan lupa membaca kisah burung pipit membantu Nabi Ibrahim semasa dibakar oleh raja yang zalim.

Oleh Shakir Md Taha

Dipetik daripada blog 

KEMBARA KHALIFAH

Thursday, May 3, 2012

Gotong Royong Akikah Lutfi Bin Adam Di Teratak Rahmat

Hari ini, anak Teratak Rahmat kelihatan riang gembira dengan pelbagai celoteh, semasa dan selepas majlis akikah ini berlangsung. Majlis ini dianjurkan oleh Encik Adam Tengku Badrillah untuk menyempurnakan ibadah sunat akikah sempena hari ketujuh lahirnya anak sulung beliau.

Hidangan wajib setiap kali akikah. Gulai Kambing
Lutfi yang comel
Dalam ketika yang lain, sejak bulan lepas Encik Adam sedang sibuk menyusun program motivasi dan riadah untuk anak Teratak Rahmat pada hari Sabtu (5 Mei 2012) ini di 'Tasoh Lake Resort And Retreat'. Program tersebut dirancang dan ditaja bersama ibunya, Puan Wan Zurina Wan Isa agar anak Teratak Rahmat dapat menjadi seorang insan yang prihatin terhadap hubungan persahabatan, berkerjasama dan melatih ketajaman pemikiran serta rasa peka pada keadaan persekitaran . Walau begitu, ianya tidak menghalang beliau menghiburkan sukarelawan dan anak-anak di Teratak Rahmat pada hari penting untuk anak sulungnya, Lutfi bin Adam.

Acara gotong royong dimulakan dengan kambing tersebut disembelih oleh Pengerusi Teratak Rahmat, Cikgu Othman Hussin yang turun padang membantu tiga(3) sukarelawan bergotong-royong dengan Encik Adam. Cikgu Othman turut berkongsi ilmu melapah kambing agar sukarelawan dapat memantapkan dan mengetahui rahsia kelazatan kambing. Begitulah lazimnya ‘keluarga’ sukarelawan Teratak Rahmat akan saling bantu-membantu ketika adanya majlis akikah untuk anak yatim dan miskin di Teratak Rahmat. Selesai melapah dan memotong, daging kambing tersebut dibawa pula kepada empat(4) chef sukarelawan yang akan memasak dan membakar daging kambing tersebut, hasilnya memang lazat sekali.

ARTIS INTAN LADYANA DAN KAMAL ADLI MEMERIAHKAN LAGI MAJLIS
Peluang bergambar bersama artis kesayangan
  Sekiranya sebelum ini Irma Hasmie menghadiahkan jam tangan, acara pada petang ini dikejutkan dan dimeriahkan lagi dengan kehadiran kak Intan dan abang Kamal yang mesra dan penyayang. Sebenarnya kak Intan hadir pada hari ini kerana ingin melihat anak saudaranya, Lutfi bin Adam. Peluang keemasan ini digunakan sebaik mungkin oleh anak Rahmat untuk beramah mesra, suai kenal dan bergambar, memang jelas dari riak muka mereka, betapa gembiranya dengan kejutan tersebut.

ADAM DAN PROJEK BOMBA RM 50 000


Mak Wan bersama ahli keluarga
  Encik Adam dan ibunya adalah sukarelawan yang turut berusaha keras bersama-sama ‘wira-wira tidak didendang’ dalam projek mengumpulkan RM 50,000 untuk menyiapkan sistem-sistem yang diminta oleh bomba agar Teratak Rahmat mendapat kelulusan JKM Perlis, kini RM 25,000 lagi diperlukan .Diharap program sebegini akan diadakan lagi dan semoga Allah membalas kebaikan yang banyak kepada mereka yang telah menghiburkan dan memberi motivasi kepada anak-anak Teratak Rahmat.


LINK PILIHAN: http://teratakrahmat.blogspot.com/2012/04/terhimpit-teratak-rahmat-perlukan-rm-50.html

TERHIMPIT:Teratak Rahmat Perlukan RM 50 000 !





GALERI KENANGAN
Aishah, Ayu, Watie dan Shima bersama
Intan Ladyana

Bersalaman dengan kak Intan

Abang Kamal memberi pos istimewa
Mereka yang pertama bergambar
dengan kak Intan

Bersama Kak In yang selalu
melayan celoteh mereka
Ayie

Wednesday, May 2, 2012

Separuh dari RM 50 000 telah dikumpul, pemasangan dimulakan...

Sebut Harga
Sebut Harga ke-2






















Segala puji bagi Allah, usaha untuk membantu rumah anak yatim Teratak Rahmat dari ditutup berjalan dengan agak baik.RM 25,000 telah berjaya dikumpul untuk mencapai sasaran RM 50,000 sepertimana yang diperlukan untuk projek kelengkapan bomba sebelum ini.





Bismillah(Dengan Nama Allah), Teratak Rahmat telah memulakan langkah berikutnya iaitu memasang kelengkapan untuk kelulusan bomba sesuai dengan had sumbangan yang ada. Projek pemasangan dimulakan dengan pemasangan ‘Fire Alarm System’ dan ‘Fire Extinguisher System’ yang bernilai RM 13,320, moga-moga projek ini dan kesinambungannya akan berjalan dengan baik dan teratur sebelum tiba bulan Jun nanti. Selepas ini, insyaAllah dengan usaha dan berkat kerjasama kita semua, pemasangan ‘Hose Reel System’ yang bernilai RM 33,680 akan dilakukan pula.

Dalam mengahadapi detik yang berdebar-debar ini, diharapkan sukarelawan dan orang ramai akan dapat berusaha mencari sumbangan agar baki RM 25,000 kepada RM 50,000 yang diwar-warkan sebelum ini akan mencapai sasarannya. Wang yang lebih dari pemasangan tiga(3) sistem ini, akan digunakan untuk membina dinding kalis api, meninggikan penghadang koridor dan menambah tirai khas agar pihak bomba berpuas hati dengan tahap keselamatan yang disediakan untuk anak-anak yatim dan miskin di Teratak Rahmat.

Jutaan terima kasih dan semoga Allah membalas kebaikan yang banyak kepada para penyumbang dan orang ramai yang menyebarkan maklumat berkenaan masalah Teratak Rahmat ini. Diharap juga baki RM 25,000 akan dapat dicari untuk melancarkan pembinaan system-sistem yang dikehendaki oleh bomba ini.Untuk mengetahu masalah sebenar Teratak Rahmat bolehlah rujuk link berikut, http://teratakrahmat.blogspot.com/2012/04/terhimpit-teratak-rahmat-perlukan-rm-50.html