Wednesday, November 7, 2012

Teratak Rahmat Dalam Berita 4: ‘Cuma tunggu masa’



Teks dan gambar Kusyi Hirdan
wanitametro@hmetro.com.my
ANAK-ANAK yatim Teratak Rahmat, Mata Ayer, Perlis, tinggal di sebuah dewan lama yang diubah suai menjadi asrama mereka. Bagaimanakah bentuk dewan berkenaan? Ia umpama dewan badminton saja yang mempunyai ruang bawah dan ruang atas.

Disebabkan usianya yang agak lama maka kebanyakan struktur bangunan itu juga sudah lama. Antara yang paling ketara ialah pendawaian dan sistem perpaipan keseluruhan bangunan itu. Dari luar, keadaannya seperti biasa dan seolah-olah bangunan itu tidak menghadapi masalah, begitu juga penghuninya.

“Anak-anak Teratak Rahmat mula menghuni bangunan itu sekitar empat tahun tetapi bangunannya sudah berumur 23 tahun. Jadi tidak hairan keadaannya sudah uzur dan sebenarnya ‘menanti masa’ untuk mendatangkan bahaya kepada penghuni.

“Masalah pendawaian nampaknya menjadi masalah besar yang menjadi kebimbangan pihak pentadbir Teratak Rahmat.

“Teratak Rahmat bimbang berlakunya litar pintas dan seterusnya kebakaran. Kebimbangan ini kian bertambah sekiranya kejadian litar pintas itu berlaku semasa anak-anak sedang tidur. Kejadian bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba pula kerap berlaku di rumah amal ini,” kata pentadbirnya, Hazman Hassan.

Ini bermakna, rumah amal itu perlu segera menggantikan sistem pendawaiannya.

“Kami perlu segera mengganti sistem pendawaian bukan kerana risau berlakunya litar pintas saja tetapi paling utama, kebakaran. Pendawaian sedia ada sudah terlalu uzur,” tambahnya.

Selain itu, sebab lain sistem pendawaian perlu diganti untuk mengelakkan ketirisan kuasa yang meningkatkan bil elektrik. Pihak Teratak Rahmat perlu berjimat cermat dan pembaziran yang tidak menentu sebegitu tidak sesekali mahu mereka lakukan.

“Kami perlu berjimat cermat demi mengumpul perbelanjaan persekolahan, makanan dan kos lain memandangkan tiada bantuan diperoleh secara tetap daripada sebarang agensi kerajaan atau swasta.

“Kos bagi menaik taraf pendawaian seluruh bangunan dianggarkan antara RM15,000 hingga RM20,000. Kami juga mahu menaik taraf sistem perpaipan luaran dan dalaman yang juga sudah berumur 23 tahun, membina tangki air baru dan membaiki prasarana berkaitan yang lain. Untuk jumlah keseluruhan, kami perlukan kira-kira RM40,000,” katanya.

Menurut Hazman, daripada jumlah terbabit, RM29,000 sudah berjaya dikumpul.

“Bagi memanfaatkan sumbangan yang sedia ada, kami akan memulakan kerja menaik taraf dalam masa terdekat iaitu selepas musim perayaan,” katanya.

Bercerita mengenai perkembangan terkini Teratak Rahmat, Hazman memberitahu, sehingga kini pendidikan anak-anak berjalan dengan baik.

“Kami masih mampu mendidik anak-anak ini tanpa menghadapi sebarang masalah yang boleh dikategorikan sebagai kritikal. Jika dibandingkan dengan tahap seriusnya masalah sosial sesetengah remaja hari ini, kami bersyukur dapat memupuk nilai positif dalam kalangan anak-anak ini setakat kemampuan kami.

“Secara jujurnya diakui, peningkatan pelajaran anak-anak Teratak Rahmat agak perlahan. Namun begitu ada sebahagian kecil yang menunjukkan perubahan positif dan selebihnya masih berusaha untuk keluar daripada takuk lama.

“Daripada segi kebersihan, sebagai tuntutan agama, boleh dirumuskan banyak yang berubah. Kesedaran mengenai penjagaan kebersihan diri dan tempat tinggal semakin meningkat.

“Akhlak pula amat memuaskan memandangkan lebih ramai anak-anak ini yang meningkat remaja dan mereka mula matang dalam berfikir.

“Selepas Aidilfitri lalu, Teratak Rahmat mengorak langkah untuk memantapkan lagi pendidikan agama di kalangan penghuninya. Kami mengatur semula kelas bimbingan Islam iaitu tauhid, fiqah, sirah, tafsir, hafalan, akhlak, bahasa Arab, tulisan jawi dan kelas iqra’ setiap malam.

“Kelas dibahagikan kepada dua peringkat iaitu untuk sekolah rendah dan sekolah menengah. Semua pengajar terdiri daripada warden dan sukarelawan. Pendekatan ini akan dilanjutkan sehingga akhir tahun ini dan kami akan menilai hasilnya kelak,” tegas Hazman.

Sehubungan ini, pihak rumah amal terbabit mempelawa orang ramai untuk beramal jariah menerusi pendekatan Wakaf Teratak Rahmat (WaTeR) dengan kadar RM50 sekaki persegi ataupun sebarang jumlah yang dihajatkan.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Muamalat Teratak Rahmat di nombor akaun 0901-0019362-72-9.


Dipetik dari http://www.hmetro.com.my/articles/2012110622451420121106224514/Article

No comments: