Wednesday, November 7, 2012

Teratak Rahmat Dalam Berita 3: MAIPs, IFF gabung tenaga laksana kegiatan kebajikan

8 Oktober 2012
KANGAR - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersama delegasi Islamic Fashion Festival (IFF) berganding tenaga dalam kegiatan kebajikan sempena penganjuran IFF Kangar 2012 di sini Khamis ini.

Penyelaras program kebajikan MAIPs-IFF, Nazim Mohd Nor berkata enam institusi kebajikan termasuk rumah anak yatim dan rumah orang tua disenarai akan dilawati dalam program itu.

Lawatan kebajikan itu adalah antara acara sampingan sempena IFF Kangar 2012 yang akan berlangsung pada 10 Oktober, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, institusi kebajikan tersebut ialah Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Perlis, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mak Teh, Rumah Seri Kenangan, Rumah Kanak-Kanak Arau, Rumah Amal Hembusan Kasih dan Pusat Jagaan Teratak Rahmat.


Beliau berkata semasa lawatan itu, MAIPs akan menyerahkan sumbangan hasil kutipan anjuran IFF kepada semua institusi kebajikan berkenaan.

Nazim berkata, program itu bukan sahaja akan dapat merapatkan hubungan institusi kebajikan dengan IFF tetapi juga MAIPs dengan masyarakat.

Sementara itu, Tourism Malaysia akan memperkenalkan lokasi pelancongan utama di negeri ini dengan mengadakan sesi penggambaran model IFF di enam lokasi pada 11 Oktober.

Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Perlis, Mazlina Ahmad berkata antara lokasi penggambaran ialah di Masjid Terapung Al Hussain, Dataran Keris, Rimba Herba, Rumah Tradisional di Padang Lati, Gua Kelam dan Perpustakaan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).


Katanya, jurugambar dan wartawan majalah terpilih akan berada di Perlis sepanjang penganjuran IFF dan mereka akan memperkenalkan lokasi pelancongan itu menerusi tulisan rencana dan paparan gambar.

IFF yang julung kali berlangsung di Perlis akan menampilkan 15 pereka fesyen terkemuka pada sebelah pagi di Dewan 2020 di sini manakala tujuh pereka fesyen memperagakan ciptaan mereka pada sebelah malam di Mess Pegawai Kanan PDRM. - Bernama

Dipetik dari 
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/maips-iff-gabung-tenaga-laksana-kegiatan-kebajikan

No comments: