Thursday, September 13, 2012

Teratak Rahmat Dalam Media



Artikel telah diterbitkan oleh akhbar Harian Metro keluaran 12 September 2012. Selain itu, artikel ini dapat juga didapati di pautan http://www.hmetro.com.my/articles/Rahsiakaripapsedap/Article

Bercerita mengenai karipap di artikel ini, penulis sebenarnya ingin mengaitkan pada dua kunjungan ke rumah anak yatim di utara. 

Kunjungan ke Rumah Teratak Rahmat, Mata Ayer, Perlis adalah kunjungan hari raya. Penulis dan teman-teman mahu beraya dengan pentadbir rumah terbabit dan menyampaikan kiriman duit raya daripada kawan-kawan yang lain kepada anak-anak Teratak Rahmat. 

Jenuh berpesan kepada pentadbir Teratak Rahmat, Dr Hazman Hassan, supaya jangan susah-susah dengan kedatangan kami. Namun adat Melayu bukan senang dibiarkan begitu saja oleh Dr Hazman.

  Sebaik tiba, kami terus susah hati kerana rupa-rupanya Dr Hazman dan kawan-kawannya menyediakan makanan ‘Perlis’ bagi menjamu kami. Ada laksa, pulut ayam dan juga spera malah Dr Hazman sempat bercerita mengenai makanan asli Perlis yang unik dan tersendiri.
   

Ceritanya, pulut ayam banyak dipengaruhi dengan selera Siam. Ia pulut yang dikukus antaranya dengan minyak bijan kemudian dimakan bersama ayam goreng dan sos cili. Orang Perlis mungkin sudah biasa dengan juadah ini tetapi bagi kami yang pertama kali mencuba, rasanya agak janggal. 


Namun cerita spera sangat menarik perhatian. Spera ialah kuih seperti karipap tetapi intinya bukan seperti karipap biasa sebaliknya kelapa seperti pulut inti. 

Spera yang dihidangkan agak besar sedikit ukurannya malah cara menikmati spera memang unik. Mungkin ada pembaca seperti juga penulis terkejut mendengarnya.


“Spera ini dimakan dengan laksa!” kata Dr Hazman. 

Kami semua tersenyum dan mula ketawa kecil kerana menyangka dia bergurau. 

“Ini bukan gurauan kerana ia antara cara makan spera yang diamalkan di sini. Mungkin ramai anak jati Perlis sendiri yang tak tahu tetapi memang ia suatu kebiasaan yang wujud sejak sekian lama. 

“Spera boleh dipatahkan atau terus diletakkan sebiji ke dalam mangkuk kuah laksa. Rendam ia sekali bersama kuah laksa dan biarkan semuanya sebati dan meresap. Kita makan laksa, hirup kuah dan makan spera yang sudah lembut sekali,” katanya. 

Cuba anda bayangkan rasanya. Rasa laksa, kuah laksa, perencah timun, bawang, telur, kemudian makan pula spera yang berinti kelapa? Jika anda berfikir rasanya yang ‘kelam-kabut’ tetapi apabila mencuba, tidaklah mengejutkan sangat. Malah ia kelainan yang agak sedap. 

Sememangnya, menikmati spera yang direndam bersama kuah laksa adalah kenangan yang sukar dilupakan. 

Selepas kunjungan raya ke Teratak Rahmat, penulis dan rakan-rakan ke Rumah Anak Yatim Ummu Sofiah pula di Trong, Taiping. 

No comments: