Thursday, September 13, 2012

RENCANA UTUSAN: Kemuliaan hati budak 8 tahun

KHAMIS lepas, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun di sebuah pekan kecil di Illinois, Amerika Syarikat menjadi tajuk berita paling banyak dibaca di seluruh dunia. Bukan disebabkan dia memijak gambar Obama atau mengibarkan bendera Union Jack. Bukan juga dia mengakibatkan ibu bapanya malu alang kepalang. Tidak. Sebaliknya cukup membanggakan.

Kanak-kanak tersebut, Wyatt Erber dari pekan Edwardsville yang hanya memiliki kira-kira 24,220 penduduk telah memenangi peraduan anjuran bank di pekan tersebut bernilai AS$1,000 (RM3,000) dan kemudian menyumbangkan kesemuanya kepada bayi berusia dua tahun yang menderita leukemia.

Wyatt mengenali bayi tersebut, Cara Kielty yang merupakan adik kepada kawan jirannya, Connor. Cara disahkan menghidap ‘acute lymphoblastic leukemia’ pada Mei lalu, yang memiliki kadar pemulihan sebanyak 90 peratus. Ia memerlukan Cara menjalani rawatan kimoterapi setiap minggu.

Kira-kira seminggu selepas Cara didiagnos leukemia, Noelle Erber menanyakan anaknya jika dia berminat menyertai satu peraduan bank yang menawarkan hadiah utama wang tunai AS$1,000.

‘‘Wyatt pantas menjawab, ‘mari lakukannya dan jika saya menang AS$1,000 itu, saya mahu berikannya kepada Cara’,’’ cerita ibunya.

Peluang untuk menang tidak mudah. Peraduan tersebut memerlukan Wyatt dan ibunya pergi ke premis tertentu bagi mengumpul 20 petunjuk bagi menjawab soalan. Namun Noelle tidak tergamak memberitahu Wyatt kemungkinan dia tidak akan menang. Tetapi Wyatt begitu bersungguh-sungguh. Hasrat itu turut dinyatakan kepada ibu Cara, Trisha Kielty.

‘‘Saya tahu Wyatt mahu melakukannya untuk Cara, yang mana ia adalah perkara paling manis,’’ ujarnya. ‘‘Tetapi budak 8 tahun memberi duit sebesar itu? Saya cuba memprotes kepada ibunya. Kemudian ibunya memberitahu saya bahawa Wyatt bertanya berapa banyak rawatan kimo boleh dibuat ke atas Cara menggunakan AS$1,000. Ini menunjukkan Wyatt faham’’.

Keluarga Kielty yang menjadi sahabat karib kepada keluarga Erber sejak mereka berjiran lima tahun lalu, memutuskan untuk menerima pemberian Wyatt dan memilih untuk menumpu perhatian kepada hakikat bahawa Wyatt adalah ‘kanak-kanak berhati mulia’.

 
Bermain

Cara yang biasa melihat Wyatt datang bermain dengan abangnya di rumah mereka, sentiasa manja dengan Wyatt.

“Cara akan senyum lebar apabila Wyatt muncul di pintu,’’ kata Trisha.

Kisah kemurahan hati Wyatt itu pantas tersebar. Sebuah badan kebajikan pekan tersebut mengumpul derma yang menyamai hadiah kemenangan Wyatt untuk diserahkan bagi rawatan Cara.

Seorang penderma di Kanada yang membaca kisahnya telah mengutus surat memuji tindakan Wyatt, yang diselitkan dengan wang kertas AS$100 untuk rawatan Cara.

Usai membaca berita di atas, tentunya kita akan tertanya. Kalau kita yang berada di tempat Wyatt, menang peraduan wang tunai bernilai RM3,000 : apakah kita sanggup mendermakan kesemuanya? Berikut adalah kemungkinan lazim bila kita menang RM3,000 :

1) Guna sendiri RM2,700 dan derma 10 peratus sahaja (RM300)

2) Guna keseluruhan RM3,000 dan derma ‘lain kali’ (0 peratus)

3) Derma kepada badan yang ada keluarkan resit (untuk dikemuka pada LHDN) menyebabkan sulit hendak derma kepada anak jiran (0 peratus).

Kemungkinan-kemungkinan di atas bukan lawak Ahad. Ia adalah fakta. Perkara pertama yang difikirkan oleh setiap daripada kita bila menang RM3,000 ialah bayar hutang kad kredit, bayar tunggakan ansuran kereta dan beli telefon pintar Samsung atau iPhone.

Membayar

Mendermakan sedikit daripada wang itu ada dalam cadangan kebanyakan daripada kita tetapi ia berada di kedudukan 15 atau 16 ‘senarai keutamaan hidup’, walaupun ia tidaklah seteruk kedudukan idea ‘membayar hutang PTPTN’ yang di tangga ke-20. Liatnya penerima nikmat PTPTN hendak membayar balik pinjaman pendidikan mereka sendiri itu begitu ketara kerana jumlah kutipan balik bayaran masih rendah iaitu sekitar RM3.2 bilion sedangkan jumlah sepatutnya adalah sebanyak RM6.8 bilion.

Sifat murah hati di kalangan rakyat Malaysia secara umumnya adalah baik. Murah hati memberi sumbangan derma material dan wang tunai sudah menjadi mercu tanda istimewa bila bercerita mengenai rakyat Malaysia. Apa sahaja bencana di luar negara, berduyun-duyun orang kita sukarela menghulurkan bantuan.

Malah sifat mulia seumpamanya harus dipupuk di usia muda. Kisah Wyatt Erber di atas sebenarnya bertunjang daripada nilai-nilai kemanusiaan yang dipupuk oleh ibunya. Sejak awal, Wyatt telah didedahkan kepada kerja-kerja amal yang dilakukan oleh ibunya iaitu membuat kuih yang hasilnya disalur kepada dana pesakit kanser. Apabila Cara disahkan menghidap leukemia, pendedahan awal telah menjadi faktor pendorong kepada Wyatt untuk membantu bayi itu.

Kaedah ini wajar kita contohi. Sebagai ibu bapa, kita harus memikirkan cara yang mirip kepada cara keluarga Wyatt tersebut. Libatkan diri dalam kegiatan amal dan kebajikan, kemudian bawa bersama anak-anak supaya dapat membuka mata dan hati mereka mengenai nasib malang sesuatu pihak. Ini akan membentuk keperibadian yang jitu pada anak-anak iaitu insaf, rendah diri, sentiasa sedia membantu dan murah hati.

Satu lokasi mudah untuk anda cuba praktikkan saranan di atas ialah melawat ke rumah anak-anak yatim terdekat dengan anda. Bincang dengan pengetua di situ supaya anda boleh mengadakan program tertentu seperti mengadakan bengkel membaca atau belajar membuat batang kail, misalnya. Anak-anak yatim ini tidak akan menolak kehadiran anda. Mereka juga rindukan bimbingan dan perhatian.

Jumaat lepas, akhbar Penyebar Fikiran Rakyat ini menjalin kerjasama dengan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) melaksanakan program Sinar Kasih iaitu inisiatif yang inovatif dan proaktif dalam memberi sinar baru kepada anak-anak yatim yang hilang tempat kebergantungan ekonomi.

Anak-anak yatim yang dikenal pasti melalui laporan media khususnya daripada RTM dan Utusan Malaysia akan diberikan bantuan segera sebanyak RM200 setiap bulan bagi tempoh minimum setahun.

Anda pembaca budiman, boleh memainkan peranan membantu membela anak-anak yatim terbiar di kawasan anda dengan menghubungi pejabat Utusan Malaysia terdekat, yang akan mengenengahkan kisah mereka agar mendapat perhatian masyarakat dan Yapeim menerusi program Sinar Kasih ini.

No comments: