Friday, August 10, 2012

WaTeR: Memadam Api Di Dunia Demi Memadam Api Neraka

RM11 Ribu Masih Berbaki Untuk Ke Akhir Garisan Fasa 2

Bagi para pengelola rumah anak yatim, tragedi kebakaran menjadi suatu mimpi ngeri yang dido’akan tanpa henti supaya tidak menjadi realiti. Di Negara Estonia, sebuah kebakaran rumah anak yatim pada tahun 2011 telah mengorbankan 10 orang anak yatim sedangkan 27 orang yang lain berjaya diselamatkan (lihat http://www.independent.co.uk/news/world/europe/estonia-mourns-orphanage-fire-dead-2220870.html ). Tidak jauh dari kita di bumi bertuah ini, kebakaran sebuah rumah anak yatim di Puchong juga di tahun 2011 telah membuatkan 33 orang anak yang kurang bernasib baik bagaikan jatuh ditimpa tangga apabila tinggal sehelai sepinggang  (lihat http://www.nst.com.my/top-news/orphanage-fire-leaves-33-homeless-1.25920 ).


Di Teratak Rahmat, risiko kebakaran bagaikan suatu bom jangka yang wujud secara senyap. Apa tidaknya, bangunan yang menempatkan Teratak Rahmat telah diwakafkan semenjak 23 tahun yang lampau. Pendawaian elektriknya sudah “expired” sehingga litar pintas mungkin sahaja berlaku pada bila-bila masa. Sekiranya berlaku kebakaran (semoga Allah jauhkan), usaha memadamkan kebakaran dengan salur getah sementara menanti Bomba sampai bolehlah dilakukan sedayanya dengan tekanan air yang rendah. Ini disebabkan rangkaian perpaipan dalaman yang menyalurkan air dari paip besar JKR pun sudah berkarat dimamah usia, dalamnya berkeladak tebal menjadikan diameter paip menyempit dan tiris pula di sana sini. Dalam erti kata lain, sekiranya kebakaran benar-benar berlaku di Teratak Rahmat, maka tidak banyak ikhtiar yang dapat dilakukan dalam sela-sela do’a, esak tangis dan pasrah kepada apa sahaja ketentuan-Nya.
Walaupun demikian, Teratak Rahmat cuba bangkit bertindak dengan menyediakan beberapa unit Pemadam Api (Fire Extinguisher) di beberapa lokasi strategik, mengadakan latihan menyelamat atau Fire Drill dengan kerjasama Balai Bomba Arau, serta mengadakan kawalan setiap malam demi memastikan kebakaran yang mungkin berlaku semasa anak-anak sedang tidur dapat dikesan seawal mungkin. Dalam menginsafi audit pendawaian elektrik dan perpaipan sudah memberikan amaran “warna merah”, tidak banyak yang dapat dilakukan oleh Teratak Rahmat memandangkan sedikit dana yang cukup-cukup sahaja adanya perlu didahulukan untuk kos makanan, persekolahan dan bil-bil utiliti yang lebih mendesak.



Akhirnya pengurusan rumah anak yatim ini memberanikan diri untuk melancarkan Wakaf Teratak Rahmat atau WaTeR pada April 2012 yang lalu. Syukur kepada Allah, dengan bantuan semua pihak baik yang jauh dan dekat, dana berjumlah RM60,000 telah berjaya dikumpulkan. Bagai mimpi menjadi kenyataan, Fasa 1 iaitu suatu sistem anti-kebakaran yang diiktiraf oleh piawaian Jabatan Bomba dan Penyelamat dapat disediakan. Walaupun demikian, Teratak Rahmat menyedari bahawa sistem anti-kebakaran ini tidaklah dapat beroperasi secara optimum melainkan masalah litar pintas dan tekanan air yang rendah dapat diatasi secara serentak.



Justeru diluncurkan juga Fasa 2 WaTeR untuk mengatasi masalah litar pintas dan tekanan air rendah yang dimaksudkan. Harapan kami janganlah ada pihak yang salah sangka dengan mengatakan teratak ini bagaikan diberikan betis hendak paha pula. Kami juga mendahulukan jutaan maaf sekiranya seruan ini merosakkan “mood” mana-mana pihak untuk menyambut Aidil Fitri yang meriah dan ceria dengan pakaian, duit raya, kuih-muih, perjalanan balik kampung dan peralatan rumah serba baru.


Sesungguhnya Teratak Rahmat tidak pernah walau sekali mengeksploitasi anak-anak yatim/miskin di bawah jagaannya untuk mengumpulkan derma baik dengan menadah tong sumbangan di pinggir bank, berkeliaran dari rumah ke rumah atau disuruh menegur orang ramai yang lalu-lalang di stesen minyak dan RnR untuk membeli produk tertentu dengan alasan “jualan amal”. Sebaliknya anak-anak kami didorong dan diprogramkan sedaya-upaya supaya belajar bersungguh-sungguh untuk keluar dari kemelut kemiskinan iman, ilmu, amal dan harta. Anak-anak Rahmat juga ditanam dengan sifat malu dan tidak suka meminta-minta seperti mana firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat ke-273, yang bermaksud:
“(Apa yang kamu sedekahkan) adalah untuk orang-orang fakir yang terhalang (usahanya kerana jihad) di jalan Allah, sehingga dia tidak dapat berusaha di bumi; (orang lain) yang tidak tahu, menyangka bahawa mereka adalah orang kaya kerana mereka menjaga diri (dari meminta-minta). Engkau (Muhammad) mengenal mereka daripada sifat-sifat mereka, mereka tidak meminta secara paksa kepada orang lain. Apa pun harta yang baik yang kamu sedekahkan, sungguh Allah Maha Mengetahui”






Maka seruan artikel ini bukan suatu desakan, jauh sekali lagi paksaan dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini. Ia sekadar dorongan untuk sama-sama mensyukuri nikmat-nikmat Allah yang banyak dengan mengingati juga jatuh-bangun anak-anak yang tidak bernasib baik. Harapan dan do’a kami adalah semoga sumbangan ikhlas yang diberikan oleh Tuan-Puan untuk memadamkan api di dunia ini dapat membantu di akhirat kelak. Bukan sahaja sumbangan tersebut memadamkan api neraka, malah menjauhkan sama sekali kita seluruh keluarga daripada azab api yang paling dahsyat dalam sejarah penciptaan makhluk-makhluk Allah. 

Dari ‘Adiy Ibn Hatim R.A, dia bercerita bahawa didengarnya Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya: “Takutlah kamu sekalian terhadap (azab) api Neraka walaupun hanya dengan (mensedekahkan) setengah daripada sebiji buah kurma”
(Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Daripada sasaran RM40,000.00 untuk menaik taraf sistem pendawaian elektrik dan perpaipan yang usang kepada ganti yang jauh lebih baik, RM29,000.00 telah berjaya dikumpulkan sehingga hari ini. Maka bakinya hanya RM11,000.00 yang diperlukan untuk menyempurnakan Fasa 2 bagi WaTeR. Pun begitu, Teratak Rahmat telah bertekad untuk memulakan kerja-kerja naik taraf ini selepas ‘Aidil Fitri yang bakal menjelma tidak berapa hari lagi. Adapun belanja yang masih belum terkumpul akan terus dicari sambil memohon budi-bicara kontraktor untuk memberikan peluang untuk kami “berhutang” sehingga jumlah yang mencukupi dapat melunaskannya.

Bantulah kami seikhlasnya dalam menjaga keselamatan anak-anak yatim/miskin daripada bahaya litar pintas dan kesukaran memadamkannya. “WaTeR: Memadam Api Di Dunia Demi Memadam Api Neraka” RM11,000.00 Masih Berbaki Untuk Ke Akhir Garisan Fasa 2

No comments: