Saturday, August 25, 2012

Rumah Penyumbang Teratak Rahmat Terbakar

Takziah diucapkan kepada keluarga Cikgu Harith atas ujian kebakaran yang ditimpa. Marilah kita panjatkan doa kepada keluarga Cikgu Harith, beliau adalah salah seorang individu yang selalu membantu Teratak Rahmat.

Kami warga Teratak Rahmat sedia membantu untuk gotong-royong mengemaskan rumah cikgu,Insya-Allah. Laporan di bawah dipetik dari akhbar Sinar Harian keluaran 24 Ogos 2012.


KANGAR - Sepasang suami isteri terkejut apabila melihat rumah yang didiami mereka sejak lapan bulan lalu dipenuhi gumpalan asap hitam dalam kejadian kebakaran petang kelmarin di Taman Behor Gonchar Jaya.

Nurrul Aini Ramli, 29, berkata, ketika kejadian dia, suami dan seorang anaknya tidak ada di rumah kerana berada di sebuah pasaraya di Arau.

Menurutnya, dia dan keluarga yang pulang kira-kira jam 5 petang terkejut apabila mereka terlihat asap keluar dari kediaman mereka dari dalam kereta.

“Saya tiada di rumah kerana membeli barangan keperluan, sampai sahaja di rumah saya ternampak asap hitam. Saya buka pintu dan asap hitam yang tebal keluar daripada rumah kami.

“Kami tidak tahu apa sebabnya, nasib baik jiran sebelah rumah telah menelefon pihak bomba. Pada masa itu saya tidak nampak api dan hanya nampak gumpalan asap berwarna hitam pekat, mungkin disebabkan asap yang terlalu tebal membataskan penglihatan kami,” katanya.

Namun, dia bersyukur ketika kejadian mereka sekeluarga tiada di rumah dan tidak berlaku sebarang kecederaan.

Difahamkan pasangan yang merupakan guru di sebuah sekolah menengah vokasional baru sahaja berpindah masuk di rumah milik mereka sejak lapan bulan lalu.

Sementara itu, seramai sembilan anggota bomba yang melibatkan dua jentera bertungkus lumus memadamkan kebakaran berkenaan.

Jurucakap bomba berkata, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan dan berkemungkinan kebakaran terbabit berpunca daripada soket atau peti sejuk.

No comments: