Saturday, May 12, 2012

Program Ukhwah Dan Muhibah Untuk Anak Teratak Rahmat


Anak Rahmat sedang bersemangat. Mereka
dipecahkan menjadi 5 kumpulan.

Lazimnya, aktiviti riadah mingguan hanya dilakukan sekitar kediaman Teratak Rahmat, namun kali ini Mak Wan melakukan sesuatu yang berbeza iaitu dengan membawa Anak Rahmat ke tempat percutian Tasik Tasoh yang indah lagi mempersona. Program Motivasi Ukhwah Dan Muhibah yang berasaskan riadah ini dijayakan dengan kerjasama Mak Wan dan sepuluh orang sukarelawan, Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar dan bermakna.
Saya maksudkan 'bermakna' kerana tujuan murni program motivasi ini nampaknya bukan sekadar indah khabar dari rupa, objektif yang dikehendaki rupa-rupanya benar-benar dapat dilihat dengan eksklusif sepanjang program ini berlangsung, kerjasama yang ditunjukkan pula membuatkan pertandingan yang terdapat dalam program motivasi ini nampak amat sengit dan progresif.

Anak Rahmat 'junior' dan 'senior'
berganding bahu dalam 'Ukhuwwah'.
Program berlangsung dengan dua fasa iaitu fasa pertama dimulakan dengan membentuk kumpulan dan sorakan tersendiri, diikuti program mendaki bukit yang agak sukar dengan membawa telur dan belon besar. Selepas mereka berehat cabaran acara Balapan Berhalang dan aktiviti khas 'Ukhuwwah' pula menanti mereka, semua dijayakan dengan baik sekali. Fasa kedua pula dimulakan selepas solat Zohor berjemaah, iaitu pertandingan Explorace. Pertandingan ini berlangsung selama tiga jam dengan pelbagai aktiviti yang mencabar, contohnya mencari harta karun, mencari susun suai gambar (puzzle), teka  silangkata dan soalan trivia.

Inilah jadual program yang padat dan menarik.
Walaupun sukar dan memerlukan ketahanan mental yang tinggi, semua kumpulan berjaya menyiapkan tugasan sebelum jam 5 petang. Kepuasan dan keseronokan jelas terpancar pada wajah Anak Rahmat hingga ada si kecil yang meminta diadakan lagi. Semoga Allah membalas dengan kebaikan atas usaha gigih pihak penganjur.
SOKONGAN BELIA MEMBERI ASPIRASI 
Fasi Adam dan Zuhdi membantu peserta.
Pembesar suara memudahkan lagi mesej yang
ingin disampaikan.
Penglibatan belia sebagai sukarelawan dan fasilitator telah membuatkan program ini berjalan dengan teratur dan sangat bersistematik. Anak Teratak Rahmat amat bertuah kerana dapat merasakan pengalaman bersama sukarelawan yang ikhlas dan tidak meminta apa-apa balasan kecuali berharap program ini akan mencapai objektif dan kejayaan yang diinginkan. Berdasarkan rumusan yang dibuat, semua fasilitator amat berpuas hati dengan penjagaan akhlak dan kerjasama yang ditunjukkan oleh anak-anak Teratak Rahmat.    

Fasi Wani, Farah dan Su bertukar menjadi sukarelawan
hidangan makanan. 

Fasi Siti dijemput oleh Mak Wan
untuk membuat rumusan.


 Program ini ditutup dengan majlis penyampaian cenderahati dan hadiah oleh Ustaz Ihsan bin Idris.  Amat banyak kebaikan yang dapat dijadikan teladan melalui program sebegini hingga tidak dapat dicoretkan semuanya dalam laporan ringkas ini.Semoga program yang baik dan memberi impak positif sebegini akan dianjurkan lagi.




Hadiah jersi kepada juara

Kumpulan juara bergambar
bersama Mak Wan


Biarpun hanya mampu di tempat ketiga
tapi senyumannya...
LINK PILIHAN: http://teratakrahmat.blogspot.com/2012/04/terhimpit-teratak-rahmat-perlukan-rm-50.html

TERHIMPIT:Teratak Rahmat Perlukan RM 50 000 !

No comments: