Tuesday, May 22, 2012

METRO : Teratak Rahmat perlu RM60,000

Dipetik dari laman  http://www.hmetro.com.my/articles/TeratakRahmatperluRM60_000/Article dan akhbar Harian Metro edisi 22 Mei 2012. Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan.

Teks dan gambar Kusyi Hirdan

ADA orang semakin berusia, semakin memikirkan cara untuk berbakti. Sedekah, amal jariah mula dilakukan semakin kerap. Walaupun sedikit, kesedaran membuatkan kita mahu berkongsi walaupun hanya menyumbang seringgit.

Dalam membuat amal bakti, ada orang yang bergerak sendirian, ada juga berkumpulan. Ada yang sudah kukuh pergerakannya, ada juga baru bermula.

Teratak Rahmat di Perlis, sebuah rumah yang dihuni oleh anak-anak yatim dan miskin dilihat masih hijau kerana baru beroperasi pada penghujung 2008. Tetapi sebenarnya pencapaian Teratak Rahmat sangat membanggakan kerana sepanjang tempoh itu sehingga kini ia berdikari dan beroperasi dalam segala kesederhanaan.

Menceritakan bagaimana Teratak Rahmat ditubuhkan, Dr Hazman Hassan memberitahu, segalanya bermula daripada pengalaman dua warden memelihara beberapa anak yatim di rumah masing-masing selama beberapa tahun.“

Apabila rumah mereka sudah tidak muat untuk menampung anak-anak yatim, sebuah asrama anak yatim dan miskin yang kami namakan Teratak Rahmat ditubuhkan. Kini Teratak Rahmat beroperasi untuk tahun keempat di Pusat Pengajian Persatuan Al-Islah Perlis,” katanya.

Empat tahun mungkin terasa pendek bagi kebanyakan kita tetapi dalam tempoh itu, begitu banyak liku perlu dilalui Dr Hazman yang juga antara pengasas Teratak Rahmat dan rakan-rakannya.

“Teratak Rahmat mula beroperasi secara rasmi sejak Disember 2008 dan cabaran awal yang kami hadapi adalah kekurangan dana bagi menjalankan operasi. Ini kerana kami beroperasi sepenuhnya hasil ehsan orang ramai dan pihak yang prihatin,” katanya.

Tenaga operasi Teratak Rahmat digerakkan 80 peratus anak-anak muda berusia di bawah 40 tahun. Jadi seperti biasa ada pihak berasa kurang yakin kemampuan golongan belia dalam bidang kebajikan. Apabila diduga dengan cabaran demi cabaran, kumpulan kecil ini sangat memerlukan kekuatan hati dan ketabahan diri.

“Antaranya kami menghadapi kesukaran mendaftarkan Teratak Rahmat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Kami sedar tanpa pendaftaran dengan jabatan ini, Teratak Rahmat terus dianggap sebagai entiti ‘haram’. Ada juga tuduhan nakal seperti menyeleweng dana, Teratak Rahmat dikatakan enggan patuh kepada undang-undang berkaitan pendaftaran, persekitaran tidak selamat kepada tumbesaran anak-anak, persekitaran tidak kondusif menurut Akta Kanak-kanak dan dikatakan mendera anak-anak.

“Namun kami cuba atasi setiap cabaran sebaik mungkin. Mengatasi kekurangan dana, kami menggunakan dasar berjimat cermat yang ketat. Untuk itu, warden kami rela bekerja tanpa gaji selama beberapa tahun ini,” kata Dr Hazman, 35, lulusan doktor falsafah (PhD) Pengajian Islam daripada Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Warga operasi Teratak Rahmat perlu sentiasa menggunakan kreativiti mereka.Mereka menggunakan bahan terbuang serta kemahiran warden dalam pertukangan kayu, jahitan serta kerja elektrik bagi dimanfaatkan untuk meminimumkan segala kos yang termampu. Dalam perbelanjaan, keperluan makanan, persekolahan dan pembayaran bil akan didahulukan di Teratak Rahmat.

“Selepas perbelanjaan makanan, persekolahan dan bil diselesaikan, dari situ baru disimpan sedikit demi sedikit untuk pembinaan dan pengubahsuaian dalam memenuhi syarat tiga agensi iaitu Jabatan Kesihatan, Majlis Perbandaran dan Jabatan Bomba seperti mana disyaratkan JKM. Hasilnya dalam masa tiga tahun beroperasi, kelulusan Jabatan Kesihatan dan Majlis Perbandaran Kangar berjaya kami peroleh,” katanya.

Melakukan kebaikan paling mudah dipandang negatif oleh banyak pihak. Entah mengapa itulah yang sering dilalui oleh insan berniat baik. Niat yang sering disangka buruk oleh kebanyakan pihak.

“Untuk mengatasi persepsi negatif, kami sedar kami perlu meningkatkan ilmu, mengasah kemahiran, berkorban dan berkerja keras seikhlas mungkin untuk menangani segala cabaran tanpa jemu atau putus asa.

“Kami juga mengamalkan pendekatan telus dan terbuka kepada lawatan atau tinjauan mana-mana pihak. Akhirnya selepas berusaha kami berdoa dan bertawakal,” tegas Dr Hazman lagi yang juga anak jati Perlis.

Teratak Rahmat kini memerlukan keperluan mendesak bagi memenuhi spesifikasi Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Teratak Rahmat dikatakan bersalah kerana tidak berdaftar dengan JKM.

Teratak Rahmat juga pernah diarahkan berpindah atau anak-anak Teratak Rahmat perlu dihantar ke pusat jagaan lain atau diserahkan semula kepada keluarga atau waris mereka. Hanya dengan ehsan Yang Berbahagia Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Advokasi Ibu Pejabat JKM di Putrajaya, Teratak Rahmat diberikan tempoh tiga bulan untuk memenuhi syarat Jabatan Bomba dan mendaftar iaitu sehingga 15 Jun 2012 ini,” katanya.

Bermakna Teratak Rahmat perlu mengumpulkan dana berjumlah RM60,000 untuk menyiapkan spesifikasi Jabatan Bomba dan Penyelamat termasuk tangki air khas, sistem penggera kebakaran, pecah kaca dan dinding kalis api dalam kadar segera.

“Di samping itu, bagi menjaga keselamatan anak-anak Teratak Rahmat, kami berhasrat untuk menukar dan menaik taraf perpaipan dan pendawaian elektrik di premis Teratak Rahmat. Meskipun kami baru empat tahun memasuki bangunan operasi, bangunan itu sendiri sudah berusia melebihi 25 tahun. Untuk itu, sejumlah RM40,000 diperlukan sebagai fasa kedua nanti iaitu untuk perpaipan dan pendawaian.

“Kami juga berhasrat untuk meningkatkan tahap kondusif Teratak Rahmat dan bercadang meningkatkan lagi mutu beberapa kemudahan di sini.

“Fasa ketiga nanti, kami mahu mewujudkan pintu di ruang makan Teratak Rahmat, menukar atap yang bocor, menambah kipas angin dan kerja lain demi keselesaan penghuninya,” katanya.

Setiap bulan, biaya asas operasi berjumlah RM6,000 sebulan perlu dicari untuk makanan, persekolahan dan bil lain. Ia jumlah yang agak besar tetapi warga operasi Teratak Rahmat tidak pernah berhenti berusaha.

Ia mempunyai lapan kakitangan tetap iaitu setiausaha, warden lelaki dan wanita, pemandu, pengurus teknikal dan teknologi maklumat serta tukang masak.Di samping tugas sendiri, semuanya bertindak sebagai warden dan pembantu warden bagi melancarkan perjalanan operasi menjaga 26 anak-anak di situ.

“Selain petugas tetap, terdapat beberapa lagi sukarelawan yang berkhidmat secara sambilan. Sukarelawan berkala ini kadangkala datang memberikan tazkirah, motivasi atau tuisyen pada anak-anak kami,” kata Dr Hazman lagi sambil memberitahu dia sangat berharap walaupun Teratak Rahmat kecil dan kekurangan kewangan, dia dan teman-temannya akan terus berbakti dalam penjagaan dan memberi pendidikan kepada anak-anak yatim dan miskin di Perlis serta kawasan sekitar.

“Teratak Rahmat diharapkan dapat terus memperkasakan anak-anak yang kurang bernasib baik ini menjadi insan mulia yang dapat memperjuangkan agama, bangsa dan negara,” katanya.

No comments: