Wednesday, May 16, 2012

METRO: Rezeki jaga anak orang


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Hari ini sekali lagi akhbar Metro melaporkan tentang Teratak Rahmat, laporan tersebut boleh dibaca dalam akhbar Metro keluaran 16 Mei 2012 atau seperti di bawah. Dipetik dari http://www.hmetro.com.my/articles/Rezekijagaanakorang/Article
PENGIKTIRAFAN...Mustapa (empat dari kanan) dan Pikuonis (enam dari kiri) bergambar bersama pemenang dan finalis Pencarian Ibu-Hati Harian Metro 2012.

Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

KETIGA-TIGA mereka memiliki gelaran sama, isteri dan juga ibu. Namun apa yang membuatkan mereka berbeza dan menonjol berbanding wanita seusia adalah pembabitan dalam kerja amal sekali gus menjadi inspirasi kepada wanita dalam meningkatkan taraf hidup bukan saja untuk keluarga tetapi masyarakat setempat.

Atas kecemerlangan dan daya usaha yang tidak berbelah bagi serta mengutamakan kepentingan orang lain melebihi diri sendiri, Nurulhuda Idris, 32, Yasmin Rasyid, 37, dan Azalinda Alias, 37, dinobatkan sebagai pemenang Pencarian Ibu-Hati Harian Metro 2012 tajaan Softlan yang berlangsung di Hotel Holiday Villa Subang, 13 Mei lalu mengalahkan lima peserta lain.

Bagi Nurulhuda yang juga pengasas, warden dan pembantu tadbir di Rumah Anak Yatim dan Miskin Teratak Rahmat Perlis, bersyukur atas kemenangan yang tidak disangka-sangka. Wang kemenangan RM5,000 itu dapat digunakan untuk memperbaiki penempatan anak-anak yatim supaya kehidupan mereka menjadi lebih sempurna.
“Sepanjang empat tahun membuka Teratak Rahmat, kami cuba sedaya upaya mendapat kelulusan Jabatan Kebajikan Masyarakat namun kewangan yang terhad dengan peruntukan RM60,000 untuk Jabatan Bomba dan Penyelamat menyebabkan ia tertangguh. Tetapi kami tidak akan berputus asa mengumpul dana setakat termampu kerana jika tidak, penempatan ini terpaksa ditutup dan sudah tentu ini memberi masalah kepada anak-anak yatim di bawah jagaan saya,” katanya.

Wanita berjiwa cekal berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Industri Universiti Sains Malaysia (USM) ini bukan berasal daripada keluarga senang. Tetapi jiwa keibuan terserlah apabila melihat anak-anak terbiar lalu dibawa pulang ke rumah.

“Ketika itu saya baru mendirikan rumah tangga dan mendapati ada seorang remaja yang ingin lari dari rumah. Memikirkan nasibnya yang mungkin terabai, saya mengambilnya sebagai anak angkat. Daripada seorang akhirnya bertambah dan kini menjadi 30 kesemuanya,” katanya yang memberitahu semua kanak-kanak ini datang daripada pelbagai latar belakang berbeza seperti anak yatim, yatim piatu serta memerlukan perlindungan.

Berpegang prinsip rezeki ada di mana-mana dan semoga dengan menjaga anak-anak orang, Allah akan menjaga empat anaknya, Nurulhuda akan terus menabur bakti kepada mereka yang memerlukan.

Tambahnya, pada zaman serba mencabar ini keruntuhan akhlak dan salah laku berlaku di mana-mana. Dengan penubuhan Teratak Rahmat, ini sedikit sebanyak dapat membentuk peribadi mereka menjadi insan berguna kepada agama, masyarakat dan negara.

Walaupun dibesarkan dalam persekitaran selesa, wanita berdarah campuran Melayu dan Cina ini sejak kecil diajar berdikari dan tidak membazir makanan. Ibu sentiasa mengingatkan sebiji nasi atau sepinggan makanan adalah rezeki daripada Allah dan harus bersyukur kerana dapat menikmatinya.

Bagi Pensyarah Fakulti Sains Teknologi dan Media, Universiti Malaya yang juga pengasas dan Presiden EcoKnights, Yasmin Rasyid, sifat ini terbawa-bawa sehingga dewasa. Malah dia menjadikan alam sekitar sebagai sahabat dengan membabitkan diri dalam kerja pemuliharaan alam sekitar.

Menurutnya, kini kesedaran masyarakat semakin meningkat namun ramai tidak mengamalkannya. Dengan memberi tumpuan kepada wanita kerana golongan ini lebih berkuasa dalam menentukan produk isi rumah serta kerja membabitkan alam sekitar, Yasmin memberitahu wanita seharusnya dididik supaya lebih menghargai persekitaran.

“Sebenarnya memelihara alam sekitar bermula dari rumah. Ini boleh dilakukan dengan melihat sekeliling dan menukar kepada aktiviti yang lebih menyihatkan. Misalnya tidak menggunakan racun serangga, menanam tumbuhan hijau, mengurangkan penggunaan plastik dan makanan dalam tin. Walaupun nampak mudah tetapi tidak ramai mempraktikkan sebagai amalan harian.

“Mesej inilah yang saya ingin sampaikan kepada semua wanita di seluruh negara,” katanya yang pernah bertugas di WWF Malaysia sebagai pegawai penyelidik untuk program Forest For Water, Water For Life.

Menurut Yasmin, tidak guna kerajaan membelanjakan ratusan ribu ringgit menjalankan pelbagai kempen namun hasilnya sangat menyedihkan. Gembira dengan penganugerahan Pencarian Ibu-Hati Harian Metro 2012, Yasmin bertekad akan terus memperjuangkan isu alam sekitar terutama kepada wanita kerana mereka berperanan besar dalam membentuk generasi muda supaya lebih menghargai alam. Pada masa sama, dia juga mengadakan aktiviti dan bengkel untuk badan korporat, ibu bapa dan anak-anak berkaitan penjagaan alam sekitar.

Bagi perunding kecantikan, Azalinda Alias, 37, tidak sampai tiga bulan menjadi ibu tunggal pada usia 25 tahun selepas kematian suami hidupnya berubah mendadak apabila cedera parah akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya sehingga tangan kirinya terpaksa dipotong. Namun begitu, semua itu tidak mematahkan semangat wanita kelahiran Johor Bahru, Johor ini untuk bangkit daripada sejarah silam dan memulakan hidup baru.

Tambahnya, semuanya bermula selepas bergelar ibu tunggal dan suami tidak meninggalkan harta untuk menyara dua anak. “Sepanjang bergelar ibu tunggal banyak cabaran yang terpaksa saya hadapi. Cemuhan serta penghinaan masyarakat perkara biasa. Ramai melemparkan pandangan sinis dan tidak mahu membantu. “Namun saya kuatkan semangat dan bertekad mahu merubah kehidupan,” katanya yang membuka salun kecantikan dan spa sejak dua tahun lalu. Selain aktif dalam Persatuan Ibu Tunggal Johor, wanita ini juga kerap membantu golongan miskin, anak yatim dan pesakit kronik. Malah selain menjaga dua anak, dia turut menyara tiga anak yatim dan seorang ibu tunggal. Wanita ini juga pernah dinobatkan sebagai Johan Tokoh Anugerah Orang Kelainan Upaya (OKU) Terbuka Wanita peringkat Segamat pada November 2010.

Dipilih sebagai tiga pemenang utama Pencarian Hati-Ibu Harian Metro 2012 cukup mengujakan Azalinda. Wang kemenangan itu dapat digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan. Pada masa sama, dia menasihati ibu tunggal supaya tidak berputus asa dan tabah menghadapi ujian. “Rezeki ada di mana-mana. Asalkan rajin berusaha dan sentiasa berserah kepada Allah,” katanya.

  Ketiga-tiga mereka membawa pulang hadiah lumayan wang tunai RM5,000 dan loket berlian bernilai RM5,000 sumbangan Softlan, plak anugerah, barangan elektrik dan hamper barangan penaja. Lima pemenang sagu hati menerima RM1,000, plak serta hamper sumbangan penaja. Mereka adalah Siti Norkiah Mhd Ishak, 37, Noor Hayati Mohd Kamaluddin, 34, Suriyah Md Noor, 45, Rosni Abu Bakar, 35, dan Ismaruzaini Ibrahim, 32. Hadiah disampaikan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar. Turut hadir, Pengarah Pemasaran Colgate-Palmolive Marketing Sdn Bhd, Chris Pikuonis dan Pengurus Pemasaran Colgate-Palmolive Marketing Sdn Bhd, Liew Pooi Wan. Tidak ketinggalan, majlis diserikan dengan gelagat lucu pengacara Sharifah Shahirah serta nyanyian daripada penyanyi tersohor, Ziana Zain.

No comments: