Tuesday, May 22, 2012

METRO: Didik anak yatim seperti anak sendiri

Dipetik dari laman http://www.hmetro.com.my/articles/Didikanakyatimsepertianaksendiri/Article dan akhbar Metro keluaran 22 Mei 2012, Ruangan Hati, halaman H11.

 NURUL Huda Idris, 32, yang juga pembantu takbir merangkap warden wanita di Teratak Rahmat sudah bersama rumah amal itu sejak awal penubuhannya lagi.

“Di awal penubuhannya, kami bermula dengan apa yang ada. Tentu saja pengalaman kami masih cetek tetapi kami berusaha mewujudkan suasana kekeluargaan walau pun di dalam kekurangan,” katanya.

Nurul Huda dan teman-temannya termasuk suaminya yang juga antara pengasas Teratak Rahmat meneruskan juga perjalanan rumah amal itu walaupun dalam serba kekurangan berbanding asrama lain.

“Anak-anak Teratak Rahmat datang dengan latar belakang yang hampir sama iaitu kemiskinan, kurang kesedaran mengenai kebersihan, cetek intelektual, lemah iman dan bergelut dengan masalah peribadi keluarga masing-masing.

“Jadi, pada awal penubuhan kami berhadapan dengan sekumpulan anak-anak yang akhlaknya agak kasar, kebersihan kurang terurus serta tahap akademik sangat rendah sehinggakan ada yang pada usia sekolah menengah tetapi masih belum tahu membaca dan kemurungan,” katanya.

Cerita Nurul Huda, apabila dia dan rakan-rakannya yang juga warga operasi Teratak Rahmat sedar dan mengakui kelemahan yang ada, mereka tahu keadaan itu perlu segera ditampung.

“Namun manusia bukanlah sistem komputer yang boleh diprogram mengikut kehendak kita, segalanya memerlukan masa dan cara yang halus dan bertepatan untuk menanganinya. Alhamdulillah, kini anak-anak ini semakin ceria, kebersihan mereka juga mula terurus, akhlak yang ditunjukkan semakin beradab dan tahap akademik semakin meningkat sehingga ada yang mampu menempatkan diri mereka di kelas pertama,” cerita Nurul penuh bangga.

Berkenaan prasarana pula, Nurul Huda yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi, Universiti Sains Malaysia berkata, Teratak Rahmat cuba menyediakan tempat yang lebih selesa, selamat, bersih dan baik mengikut kemampuan.

“Di Teratak Rahmat ini ada anak yatim, miskin dan bermasalah. Kategori anak yatim adalah keutamaan kami, kedua faktor kemiskinan dan yang ketiga bermasalah daripada segi perceraian ibu bapa dan seumpamanya.

“Walaupun bukan semua anak-anak ini anak yatim, boleh dirumuskan hampir 90 peratus daripada anak-anak ini adalah ‘yatim kemampuan kewangan’ iaitu miskin dan ‘yatim kasih sayang’ iaitu bermasalah.

“Bagi memudahkan penyelenggaraan, kami masih mengekalkan kuota yang sama seperti awal penubuhannya. Ini supaya ia bersesuaian dengan kapasiti iaitu sekitar 30 orang untuk tempoh satu tahun. Cadangan dan permintaan orang ramai memang ada untuk menambah bilangan anak-anak ini tetapi kami menunggu sehingga dapat menyediakan ruang yang lebih selesa terlebih dulu,” katanya.

Menurut Nurul Huda, pihak Teratak Rahmat tidak mahu persekitaran yang terlalu padat menyebabkan ketidakselesaan di kalangan penghuni dan menimbulkan masalah lain.

Sekiranya berhadapan dengan masalah dengan anak-anak di bawah jagaannya, Nurul Huda, ibu empat anak yang baru-baru ini dinobatkan sebagai antara tiga pemenang utama Pencarian Ibu-Hati Harian Metro 2012 tajaan Softlan, sentiasa mengambil pendekatan memerhati terlebih dulu.

“Saya mulakan dengan memahami apa sebenarnya yang berlaku. Kesilapan pertama biasanya tidak diambil kira, tetapi kami ‘menandakan’ perkara terbabit supaya apabila ia berulang atau timbul masalah lain, kami boleh membuat penilaian rujukan kemudian. Biasanya jika anak yang berada di bawah usia 12 tahun, kaedahnya agak ringkas. Kami membuat teguran terus dan tegas. Berlainan dengan anak remaja yang memerlukan untuk lebih bermain dengan ‘sikap’.

“Kami perlu mendekati mereka bagi mendapatkan kepercayaan dan pada masa sama, membuatkan timbul rasa hormat pada kami, proses ini tidak mudah dan mengambil masa. Apabila kami sudah mendapatkan kepercayaan dan hormat daripada mereka barulah setiap teguran kami mereka terima.

“Namun, kenyataannya remaja tetap remaja. Mereka di dalam peringkat yang penuh rasa memberontak. Jadi sekuat mana usaha kami untuk mendampingi mereka tetap akan ada penolakan daripada mereka,” katanya.

Pada Nurul, dalam mengurus dan mendidik dia mengamalkan konsep jujur dan adil.Dia mahu jujur dengan anak-anak itu dan mereka juga boleh jujur dengannya.Setiap hukuman atau pertimbangan pada satu-satu perkara itu juga perlu adil setakat kemampuannya.

Menurutnya, keperluan daripada segi makan pakai anak-anak Teratak Rahmat dapat mereka sediakan seadanya.

“Kami mahu menyediakan suasana persekitaran yang selamat, selesa dan bersih kepada anak-anak di sini termasuk kemudahan seperti kipas di bilik dan ruang belajar serta sistem perpaipan yang lebih lancar. Kini sistem yang ada akan terganggu sekiranya anak-anak menggunakan bilik air serentak. Kami mahu menambah baik kemudahan sedia ada di sini.

“Setiap yang kami usahakan, kami mengharapkan ia membuahkan hasil yang baik.Cabaran terbesar adalah apabila didikan dan kasih yang disemai tetapi hasilnya lain daripada yang diharapkan. Perkara ini biasanya terjadi apabila anak-anak itu sudah sampai masa untuk membuat keputusan hidup sendiri.

“Pada usia saya kini, alhamdulillah saya dapat mengagak perjalanan yang akan dilalui sekiranya seseorang anak itu memilih jalan tertentu bagi meneruskan hidupnya. Ini berdasarkan pengalaman dan pengamatan.

“Saya selalunya sedih sekiranya anak-anak itu membuat keputusan tidak seperti diharapkan. Risau mereka kesal di kemudian hari. Tetapi apa boleh buat kerana kerana kami bukanlah diktator yang memaksa mereka mengikut keputusan kami saja.Suami jadi penguat semangat dan sering memberitahu, saya perlu membiarkan mereka membuat silap supaya daripada situ mereka belajar erti hidup. Namun sebagai seorang ibu, itulah perkara yang sangat susah dilakukan - melihat anak kita melakukan kesilapan,” katanya.

INFO:
Untuk pertanyaan dan lawatan ke Teratak Rahmat di KM 1.2, Jalan Mata Ayer, 02500 Mata Ayer Perlis, sila hubungi Azwar Ibrahim di talian 019-5726482, Nurul Huda (019-4219382), Hazman (019-4759382) dan Zahiri (019-5128281).


E-mel boleh dihantar ke alamat teratakrahmat@gmail.com, blog:http://teratakrahmat.blogspot.com, Facebook : www.facebook.com/teratakrahmat


Sekiranya ingin menyumbang wang tunai, boleh menyalurkannya ke akaun rasmi Teratak Rahmat di Bank Muamalat (nombor akaun 0901-0019362-72-9). Setiap deposit harus dimaklumkan kepada Teratak Rahmat supaya resit dapat disediakan.

No comments: