Monday, May 14, 2012

METRO: 3 insan berjiwa murni


SUBANG JAYA: Tiga wanita yang banyak menyumbang kepada program kemasyarakatan dan kerja amal dipilih sebagai pemenang utama Ibu-Hati Harian Metro 2012, bersempena meraikan Hari Ibu yang diadakan di Hotel Holiday Villa, Subang di sini semalam.

 Mereka terdiri dari Pensyarah, Pengasas dan Presiden EcoKnights dan Penasihat Alam Sekitar Yasmin Rasyid, 37; Pengasas, Warden dan Pembantu Tadbir Rumah Anak Yatim dan Miskin Teratak Rahmat, Perlis, Nurulhuda Idris, 32; dan Perunding Kecantikan Azlinda Alias, 37.

 Masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000 dan loket berlian bernilai RM5,000 sumbangan Softlan, plak anugerah, barangan elektrik dan hamper daripada penaja, manakala lima lagi finalis, masing-masing menerima wang tunai RM1,000.
HARGAI...Mustapa (lapan dari kiri) bersama pemenang dan finalis Pencarian Ibu-Hati Harian Metro, semalam.
 Hadiah disampaikan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar. Turut hadir, Pengarah Pemasaran Colgate-Palmolive Marketing Sdn Bhd, Chris Pikuonis dan Pengurus Pemasaran Colgate-Palmolive Marketing Sdn Bhd, Liew Pooi Wan.

 Ketika ditemui Yasmin Rasyid, 37, yang aktif dalam kerja amal pemuliharaan alam sekitar bersyukur kerana berjaya menarik golongan muda menjadi sukarelawan. Katanya, usaha yang dilakukannya diharap dapat membantu membuka minda masyarakat untuk turut serta dalam aktiviti kemasyarakatan. Malah, kemampuannya mewujudkan Festival Filem Eko harus dipuji kerana dapat melahirkan ramai bakat baru dalam industri perfileman serta menggalakkan anak muda menjadi aktivis alam sekitar.

 Sementara itu Nurulhuda yang asalnya hanya membantu suami menguruskan asrama anak yatim, tetapi akhirnya menjadikannya sebagai kerjaya dengan menganggap 25 penghuni rumah itu seperti anak sendiri. Mengamalkan konsep tinggal di rumah bersama anak yatim dan miskin, dia berharap semoga dengan menjaga mereka, Allah akan menjaga dan melindungi empat anaknya.

 Bagi Azlinda Alias, 37, pula gelaran ibu tunggal dan orang kelainan upaya, tidak menghalangnya menjalankan kerja sukarelawan dan mengumpul dana bagi membantu golongan miskin, anak yatim dan pesakit kronik melalui Persatuan Ibu Tunggal Johor.

 Kecekalan dan ketabahan meneruskan kehidupan dan membantu mereka yang memerlukan perhatian ramai sehingga dinobatkan di antara tiga peserta akhir.

 Terdahulu, Chris Pikuonis dalam ucapannya berkata, penganjuran anugerah buat kali kedua ini sebagai meraikan semua ibu di Malaysia serta memberi penghargaan kepada wanita daripada pelbagai latar belakang.

 “Softlan berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Harian Metro selama dua tahun berturut-turut dengan memberi penghargaan kepada semua wanita di seluruh negara. Diharap anugerah ini akan menjadi pemangkin kepada usaha mereka pada masa depan dalam membantu masyarakat amnya,” katanya.

 Pada sebelah pagi turut diadakan pertandingan memasak dan menggubah bunga manakala pertunjukan fesyen Serasi Bersama suami dan isteri diadakan pada waktu petang.

 Majlis diserikan dengan kehadiran Ziana Zain sebagai artis undangan.

No comments: