Wednesday, May 16, 2012

MENYANTUNI ANAK YATIM

عَنْ سَعْدٍ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  : أَنَا وَكَافِلُ اليَتِيْمِ فِي الجَنَّةِ هَكَذَا – وَأشَارَ بِالسُّبَابَةِ وَالوُسْطَى وَفَرَّجَ بَيْنَهُمَا – 
( رَوَاهُ البُخَارِيُّ) 
Daripada Sa’id Bin Abi Waqqas RA – katanya : Rasulullah SAW bersabda : Aku dan orang yang menyantuni anak yatim begini dalam syurga – lalu baginda mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dan merenggangkan antara keduanya. (HR Bukhari)

Pengajaran Al-Hadis :

1. Maksud anak yatim menurut syara’ (agama) ialah anak yang kematian ayah dan umurnya belum baligh. Tetapi jika anak tersebut sudah sampai umur baligh maka berakhirlah keyatimannya. Menyantuni anak yatim dapat ditinjau dari dua sudut, iaitu : 1. Menyantuni agamanya, dengan cara mengasuhnya, mendidiknya, mengajarnya dengan pelbagai ilmu-ilmu agama, memperbaiki akhlaknya dan lain-lain. ; 2. Menyantuni dunianya, iaitu dengan menjaga makan, minum, pakaian dan tempat tinggal mereka dan lain-lain.

2. Kedudukan orang yang menyantuni anak yatim sebagaimana dijelaskan diatas sangat dekat dengan kedudukan Rasulullah SAW di dalam syurga kelak pada hari akhirat. Nabi SAW mengisyaratkan dengan dua jarinya, telunjuk dan tengah dalam hadis diatas menunjukkan betapa kedekatan antara mereka dengan Nabi SAW. Dua jari tersebut, bukan saja memberi gambaran betapa dekatnya dari sudut jaraknya, tetapi juga menggambarkan betapa dekatnya dari sudut ketinggiannya.

3. Ibnu Hajar Al-‘Asqalaniy berkata : Barangsiapa mendengar hadis ini hendaknya terdorong untuk mengamalkannya agar layak menjadi pendamping Nabi SAW di dalam syurga. Dan tiada kedudukan paling tinggi di akhirat nanti yang boleh mengatasi kedudukan Rasulullah SAW. Oleh itu, selagi hayat dikandung badan, marilah kita sama-sama memanfaatkan masa sebaik-baiknya untuk menyantuni anak-anak yatim sesuai dengan kemampuan masing-masing. Mungkin dengan harta, atau dengan ilmu, atau dengan kekuatan, sama ada kekuatan badan atau pikiran. Ya Allah, berilah kami taufiq-Mu untuk mengamalkan kandungan hadis diatas, Amin ya Rabbal ‘Aalamin.


No comments: