Sunday, May 13, 2012

Kad Ucapan Kepada Ibu Selepas Berdikari...

Pada minggu lepas, anak-anak Teratak Rahmat menyiapkan kad ucapan sepertimana yang diminta oleh Mak Wan untuk kelas motivasi beliau, ada yang siapkan satu, ada yang dua dan ada yang siapkan empat kad ucapan. Ingatan mereka kepada ibu bapa yang jauh di mata sentiasa kuat dan segar bahkan mungkin lebih mendalam dari apa yang penulis rasakan. Saya terperasan satu ungkapan daripada Anak Rahmat yang amat berseni maksudnya ‘Kasih sayang kepada ibuku tidak pernah sempurna umpama ‘puzzle’ yang tidak lengkap…’. Allah lebih maha mengetahui, apakah yang terpendam dalam dada Anak Rahmat. Harapan penulis ialah semoga Anak Rahmat akan selalu ingat untuk utuskan kad ucapan kepada ibu, tidak perlulah menjadi manusia yang menanti ketibaan Hari Ibu pada Ahad kedua bulan Mei, untuk curahkan kasih sayang. Ciptalah kemuncak kasih sayang adik dengan apa-apa rezeki yang dikurniakan Allah.

Di Teratak Rahmat mereka diajar berdikari dengan kemampuan yang ada, apa-apa sumbangan yang diberi, itulah nikmat yang mereka kecapi dan apa-apa yang terkurang, itulah yang mereka akan sabar dan tempuhi dengan rasa kesyukuran.

Mak Wan atau dikenali sebagai teacher cuba menyelami perasaan kasih sayang Anak Rahmat terhadap ibu mereka dengan melihat ungkapan dan kesungguhan mereka menyiapkan kad ucapan kepada ibu. Disebabkan kesempitan hidup yang melanda keluarga, akhirnya mereka terpaksa menumpang kasih di Teratak Rahmat. Teratak Rahmat cuba untuk menyediakan keperluan harian yang selesa tetapi ianya adalah secara berfasa-fasa.

Maka buat masa sekarang fasa pertama untuk projek sistem keselamatan bomba diutamakan dahulu tambahan surat peringatan telah diterima daripada JKM Perlis. Itulah projek yang memerlukan sumbangan bernilai RM 50 000 seperti yang dimaklumkan sebelum ini. Berikutnya fasa kedua iaitu memperbaiki system pendawaian elektrik yang bernilai lebih kurang RM 40 000, ini juga adalah satu lagi inisiatif Teratak Rahmat untuk memastikan sistem lintar pintas akan lebih selamat setelah 20 tahun digunakan. Selepas itu barulah pergi ke fasa menambah dan memperkemaskan keperluan harian anak-anak di Teratak Rahmat.

Disamping memberi peluang pendidikan duniawi dan agama Islam, termasuk dengan kelas tambahan oleh guru-guru sukarelawan tetapi persoalan adakah Teratak Rahmat dapat bersaing dengan keselesaan yang disediakan oleh ibu bapa mereka?, sentiasa bermain dibenak fikiran barisan tenaga kerja Teratak Rahmat. Contohnya, cadar mereka yang cuma mampu dibasuh sekali sekala, lazimnya hanya dijemur dengan sinaran matahari. Pergi pula ke almari mereka yang uzur, mungkin akan mengganggu privasi mereka ketika sesi lawatan para penderma dan tempat belajar mereka yang kurang selesa, menyebabkan Teratak Rahmat berusaha menyiapkan perpustakaan agar boleh diguna oleh semua penghuni. Harap-harap pada masa akan datang, Teratak Rahmat dapat selesaikan masalah-masalah yang mengganggu keperluan harian anak Teratak Rahmat.



PAUTAN PILIHAN :

Sumbangan Barangan : Perkembangan Terkini TR


No comments: