Tuesday, October 4, 2011

Silat : Anak TR Mempamerkan Kemahiran Mereka..


Pada 1 Oktober 2011, 11 orang anak TR telah terpilih menyertai pertandingan silat 5 penjuru. Pengalaman mengkaji dan bertempur dengan pasukan silat Sekolah Sukan Yala adalah satu peluang yang amat susah untuk didapati. Pasukan silat Sekolah Sukan Yala yang dilatih oleh 2 orang warganegara Malaysia termasuk seorang juara dunia telah membuatkan peserta tergamam dengan corak permainan seperti pesilat profesional.

Adik Alias bersama Adik Azhar di dewan MSN Perlis.
Daripada 11 orang hanya 6 anak TR sahaja yang berpeluang menguji ilmu dengan pasukan silat dari Yala dan alhamdulillah semua yang terlibat telah melepasi ujian ketahanan badan, dimana semua anak TR, biarpun ada yang kalah di dalam gelanggang tetapi mereka keluar tanpa mengalami kecederaan. Inilah antara objektif ilmu seni bela diri yang amat penting.

Apa yang lebih manis ialah adik Intan Norsaidah binti Ghazali telah membuktikan bahawa perempuan yang cuba menjadi lelaki tidak mempunyai apa-apa kelebihan setelah mengalahkan pesilat tersebut dengan kemenangan mutlak. Hanya takdir Allah kemudian latihan yang padu diperlukan dalam kehidupan ini, sikap ingin menyerupai lelaki adalah sia-sia sahaja di dunia ini dan diakhirat nanti. Semoga Allah memberikan petunjuk kepada semua peserta pertandingan silat.

Adik Wan Suhaimi sedang bersedia.
Adik Wan Suhaimi pula berada dalam dimensi yang lain apabila diminta untuk beradu dalam perlawanan khas oleh pihak Sekolah Sukan Yala setelah adik Wan menunjukkan semangat yang jitu dan semangat kesukanan yang tinggi dalam perlawanan pertama, dimana lawannya adalah wakil Sekolah Sukan Yala. Dalam perlawanan kedua dengan wakil Sekolak Sukan Yala yang kedua, sekali lagi adik Wan menunjukkan corak permainan bersih tetapi pada kali ini dia telah memperbetulkan tekniknya setelah tewas pada perlawanan pertama. Keputusannya, kedua-dua pesilat dinobat sebagai pemenang dan mendapat hadiah saguhati daripada Ketua Pasukan Silat Sekolah Sukan Yala.

Turut mendapat jemputan untuk perlawanan khas oleh pihak Sekolah Sukan Yala ialah adik Mohd Rizuan Somsat. Adik Rizuan sangat teruja dengan jemputan tersebut kerana lawannya adalah rakan karib dari kampungnya di Yala. Walaupun ini adalah perlawanan kali pertama setelah 3 tahun berlatih silat, adik Rizuan telah memberi cabaran dengan corak permainan bersih sehingga akhir perlawanan, dia turut diberi saguhati oleh Ketua Pasukan Sekolah Sukan Yala.
Tendangan Intan Norhakimah bertembung dengan pesilat Thailand

Inilah sebahagian antara kisah menarik dalam perlawanan silat 5 penjuru yang berlangsung di dewan Majlis Sukan Negeri. Turut bertanding ialah adik Intan Norhakimah Ghazali, Mohd Alias Abd Rahim dan Muhd Rusydi Zulkifle. Seramai lebih kurang 40 orang pesilat daripada Pertubuhan Silat Seni Pusaka Tujuh termasuk anak Teratak Rahmat telah menyertai dan memberi sokongan kepada program ini. Namun disebabkan kategori yang dipertandingkan adalah terhad, maka hanya sebahagian pesilat  sahaja yang terlibat.

Pertubuhan Silat Seni Pusaka Tujuh adalah sebuah pertubuhan silat yang telah mendapat kelulusan Majlis Fatwa sepertimana terdapat dalam Portal Rasmi Fatwa Malaysia di sesawang http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/tentang-seni-silat-pesaka-tujuh-negeri-perlisKelulusan ini bermakna anak-anak Teratak Rahmat telah mempelajari aliran silat yang selamat dari khurafat, tahayul dan amalan sesat.
Kelulusan Majlis Fatwa adalah penting agar silat yang dipelajari adalah bersih dari
amalan syirik yang licik dan berkembang pesat mengikut zaman.
Semoga semua anak Teratak Rahmat mendapat ilmu dan kemahiran berguna untuk memantapkan ilmu seni bela diri masing-masing, satu ilmu yang dituntut dalam al-Quran, disaran oleh Nabi dan diamalkan oleh ulama-ulama Islam tersohor. Sekian.


AYIE

No comments: