Saturday, October 1, 2011

7 Kelebihan Berkorban Di Teratak Rahmat Daripada Sunnah Rasulullah (7-IN-1)


Jemputan Menyertai Ibadah Korban di Teratak Rahmat  
Assalamualaikum Warahmatullah 
Yang Berbahagia Tuan-tuan dan Puan-puan yang dirahmati Allah. 

Dengan segala hormatnya dimaklumkan bahawa asrama anak-anak yatim/miskin Teratak Rahmat, Mata Ayer, Perlis akan melaksanakan Ibadah Korban yang dijangka diadakan pada 10 Zulhijjah 1432H bersamaan 6 November 2011 (ahad). Justeru, pihak urusetia menyeru mana-mana individu yang berhajat melaksanakan ibadah ini untuk menyegerakan niat murni tersebut. Insya-Allah korban ini akan dijadikan “BANK DAGING” iaitu sumber daging tempatan segar untuk makanan anak-anak yatim/miskin di Teratak Rahmat yang mampu bertahan sehingga 7 bulan. 

 Maklumat lanjut iaitu harga bersekali dengan kos pengurusan adalah seperti berikut: 
 1 bahagian lembu - RM400.00 
 1 ekor kambing - RM500.00 - RM 700 (mengikut saiz kambing)
Pembayaran boleh dilakukan secara tunai atau ansuran mulai sekarang. 

 Berpandukan hadith-hadith sahih dalam Sunnah Rasulullah s.a.w, 7 kelebihan menyertai ibadah korban di Teratak Rahmat ialah: 

 1. BERAMAL PADA SEBAIK-BAIK HARI 
Korban akan disembelih pada 10 Zulhijjah iaitu pada Hari Raya Aidil Adha pertama. Selepas bulan Ramadan, 10 hari pertama dalam bulan zulhijjah adalah sebaik-baik masa untuk umat Islam mengerjakan amal kebajikan. Pesan Rasulullah s.a.w: Maksudnya: “Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari pertama dalam bulan Zulhijjah”. Para sahabat baginda bertanya: “Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan hari-hari tersebut)?”. Ujar baginda: “Tidak juga jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah)” (hadith riwayat al-Bukhari). 
Ustaz Ihsan menyembelih kambing sambil dibantu oleh sukarelawan TR


 2. KORBAN DIJADIKAN SEDEKAH TERBAIK 
Daging korban dijadikan sedekah kepada anak-anak yang menghuni Teratak Rahmat, sedangkan sedekah yang ikhlas kerana Allah menjadi penghindar dari api neraka. Pesan Rasulullah s.a.w: Maksudnya: “Siapa yang sanggup mendinding dirinya daripada api neraka walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma, maka hendaklah dia lakukan”(hadith riwayat Muslim) Sedekah ini pula merupakan sedekah terbaik dalam “liga”nya kerana daging lembu tempatan segar adalah sumber protein terbaik sebagai makanan yang berkhasiat untuk anak-anak sedang membesar. Pesan Rasulullah s.a.w: Maksudnya: “Wahai manusia! Sesungguhnya Allah itu Maha Baik, maka Dia tidak menerima (amalan) melainkan yang baik-baik sahaja” (hadith riwayat Muslim) 



 3. KORBAN DIJADIKAN MAKANAN ANAK-ANAK YATIM 
Daging korban yang disedekahkan akan dijadikan makanan anak-anak yatim di Teratak Rahmat. Maka membantu anak-anak yatim termasuk dengan memberikan jaminan makanan kepada mereka, dijanjikan ganjaran yang cukup besar. Pesan Rasullah s.a.w: Maksudnya: “Aku dan penjaga (memberi perlindungan) kepada anak yatim seperti ini di dalam syurga”. Berkata Malik: “Baginda telah mengisyaratkan dua jari baginda iaitu dengan merapatkan jari telunjuk dan jari hantu” (hadith riwayat Muslim).


 4. KORBAN DIJADIKAN MAKANAN ANAK-ANAK MISKIN 
Selain anak-anak yatim, anak-anak yang dibelenggu kemiskinan di Teratak Rahmat juga akan menikmati makanan daripada daging korban yang disedekahkan. Kelebihan membantu anak-anak miskin termaktub dalam pesanan Rasulullah s.a.w Maksudnya: “Orang yang mengurus (kebajikan) janda dan orang miskin, bagaikan orang yang berjuang di jalan Allah”, Kata Abu Hurairah: “Saya juga menduga baginda bersabda ‘(Mereka yang mengurus kebajikan orang miskin) bagaikan orang yang selalu solat malam tetapi tidak pernah merasa letih dan bagaikan orang berpuasa yang tidak pernah berbuka” (hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim) (GAMBAR ANAK-ANAK SOLAT) 

 5. KORBAN MENUNAIKAN KEPERLUAN UMAT ISLAM SETEMPAT 
Memang benar ada banyak peluang berkorban Aidil Adha di Palestin, Somalia, Filipina, Kemboja, Selatan Thai dan tempat-tempat lain. Walau bagaimanapun prihatian dengan yang berjiran dan hampir dengan kita, masih ada anak-anak yatim/miskin Islam yang perlu dibela nasib mereka secara berterusan. Tambahan pula, berkorban dalam negara juga bererti menyokong ekonomi desa umat Islam tempatan. Pesan Rasulullah s.a.w: Maksudnya: “Sesama umat Islam itu bersaudara. Oleh sebab itu, janganlah menganiaya dan jangan mendiamkannya. Siapa sahaja yang memperhatikan kepentingan saudaranya, Allah akan memperhatikan kepentingannya. Siapa sahaja yang melapangkan satu kesusahan sesama umat Islam, nescaya Allah akan melapangkan satu kesusahan daripada beberapa kesusahannya pada Hari Kiamat. Sesiapa sahaja yang menutupi keburukan seorang umat Islam, maka Allah akan menutupi keburukannya pada Hari Kiamat” (hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim) 


 6. MANFAAT KORBAN BERTERUSAN 
Sedekah korban di Teratak Rahmat dimanfaatkan secara berterusan sehingga 7 atau 8 bulan selepas Hari Raya Aidil Adha. Memiliki kemudahan 3 peti sejuk besar yang boleh memuatkan daging, tulang dan organ lain daripada 7 ekor lembu yang bersaiz sederhana besar; bahan-bahan korban ini akan dicincang dan disimpan rapi dalam peti sejuk tersebut. Apabila tiba gilirannya, daging ini akan dikeluarkan secara sedikit demi sedikit dan berperingkat-peringkat, untuk dijadikan lauk anak-anak yatim/miskin. Berkenaan pentingnya amalan kebajikan dilakukan secara berterusan, Rasulullah s.a.w telah berpesan: Maksudnya: “Katakanlah, saya beriman kepada Allah, kemudian istiqamahlah kamu (iaitu berterusanlah teguh)” (hadith riwayat Muslim) Pesan Rasulullah s.a.w lagi: Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik amalan adalah amalan yang berterusan, walaupun sedikit” (hadith riwayat al-Baihaqi)   

Inilah antara peti 'bank' daging di Teratak Rahmat

7. MEMBUKA PINTU REZEKI 
Anak-anak yatim dan miskin yang dididik di Teratak Rahmat adalah golongan lemah dalam kalangan umat Islam, yang perlu dibantu secara berterusan dan sistematik supaya keluar dari kemelut kemiskinan dan masalah sosial. Adapun membantu golongan yang lemah, Rasulullah menjamin amalan ini sebagai salah satu daripada kunci-kunci rezeki yang diberkati Allah . Pesan Rasulullah s.a.w: Maksudnya: “Sesungguhnya kamu dibantu (Allah) dan mendapat rezeki disebabkan adanya bantuan kamu kepada orang-orang yang lemah dalam kalangan kamu” (hadith riwayat al-Tirmidhi) 

Untuk sebarang pertanyaan dan pendaftaran, sila hubungi Dr. Hazman Hassan di telefon 019-4459382 atau Zahiri bin Zubir (017-4258281) dan boleh juga hantar emel ke ibnarawi99@yahoo.com . Sekian.

No comments: