Sunday, July 10, 2011

Pustaka Kanak-Kanak & Remaja Teratak Rahmat: “TUNGGUL KAYU DITARAH PELICIN”

“Tunggul Kayu Ditarah Pelicin….”

Apa maksudnya ya?

Jangan risau, teruskan membaca artikel ini sampai ke hujungnya….

Masih ingat kepada Projek Perpustakaan Kanak-kanak & Remaja Teratak Rahmat? Projek yang ditunjangi oleh Tuan Iskandar Syah Ismail alias Doctor Bubbles ini kian rancak diusahakan oleh beliau, Persatuan Penghibur Kanak-kanak Buih Merah dan sahabat-sahabat seperjuangannya.



Seperti yang dipersetujui, pihak beliau mencari dana untuk buku, peralatan dan perabot dalam perpustakaan. Kami di Teratak Rahmat pula bertekad untuk menyediakan ruang dengan menegakkan dinding, tingkap dan pintu yang bersesuaian, di samping memasang kipas elektrik untuk keselesaan pengguna perpustakaan.

Syukur kepada Allah, seruan kami untuk orang ramai membantu sudah disahut: derma berupa papan lapis (plywood) dan kayu-kayan terpakai sudah diterima. Inilah bahan asas yang akan digarap dan diperindah oleh para warden kami yang turut bertindak sebagai jurubina ruang ini, tentunya dengan kos yang paling minimum

Papan lapis dan kayu-kayan yang masih elok… apa salahnya dimanfaatkan?


Anak-anak Teratak Rahmat membantu menyusun papan lapis dan meja yang turut didermakan


Rasa-rasanya, apakah warna dinding perpustakaan kita?

Wahai Allah seru sekalian….

Kami di Teratak Rahmat bersyukur dengan segala nikmat kurniaan-Mu … biarpun serba sederhana kami bahagia dengan segenap anugerah-Mu wahai Al-Rahman

Wahai Allah Al-Rahim yang merahmati segala makhluk ciptaan-Nya…

Hanya khazanah kekayaan-Mu sahaja lah yang dapat membalas setiap cebisan jasa baik, daripada segala insan dan pihak yang prihatin dengan nasib anak-anak di bawah didikan keluarga besar kami di teratak ini…

Akhirul kalam, kata orang tua-tua:

“TUNGGUL KAYU DITARAH PELICIN PUN ELOK JUGA, JANGANKAN MANUSIA”

Ertinya walaupun tidak cantik, apabila pandai ‘disolek’, nampak cantik juga.

Kayu-kayan terpakai terpakai, kalau dimanfaatkan baik-baik untuk perpustakaan anak-anak Teratak Rahmat juga berupaya nampak berseri seperti yang baru. Adakah saudara-saudari bersetuju dengan saya? J


Hazman Hassan

Ahli Lembaga Pengelola Teratak Rahmat

Sabtu, 9 Julai 2011

No comments: