Monday, September 21, 2009

Berbuka Puasa Bersama Rombongan Tekad Matang dan Encik Bostani Abdul Rahman

Alhamdulillah, walaupun berdepan kemelut kewangan tahunan yang melonjak hampir RM 200,000 setahun. Teratak Rahmat amat gembira dalam menyambut bulan Ramadhan pada tahun ini. Pada bulan Ramadhan kali ini , Teratak Rahmat dikunjungi lagi oleh rombongan Syarikat Tekad Matang yang bersama-sama berbuka puasa dan bersolat Maghrib pada hari tersebut.

Majlis berbuka puasa tersebut berjalan lancar dan dimeriahkan lagi dengan majlis penyampaian sumbangan kepada Anak Rahmat dan juga bantuan kewangan kepada Teratak Rahmat. Santapan berbuka pada hari tersebut telah di sediakan oleh Encik Bostani Abdul Rahman dengan hidangan nasi beriyani ayam, dalca dan gulai kambing yang lazat dan amat mengenyangkan.

Sesudah selesai Majlis Berbuka Puasa bersama Tekad Matang, yang sudah dua kali menganjurkan jamuan makan kepada Teratak Rahmat, warga Teratak Rahmat meneruskan kegembiraan pada malam itu dengan Penyampaian Hadiah Pertandingan Mengemas Bilik Anak Rahmat Kali Ke-3. Di mana pada kali ini, bilik T2 telah mencipta sejarah kerana menjadi billik lelaki pertama menjuarai pertandingan tersebut.

Wednesday, September 9, 2009

Infak Ramadhan Pertubuhan Kebajikan Al Nidaa'



Alhamdulillah pada 6 September 2009, Majlis Infak Ramadhan oleh Pertubuhan Kebajikan Al Nidaa Malaysia telah diadakan dengan jayanya di Bangunan Persatuan Al Islah Perlis bermula pukul 4.00 petang sehingga 9.30 malam. Majlis ini dianjurkan oleh Pertubuhan Al Nidaa' Malaysia dengan kerjasama warga Teratak Rahmat.

Anak Rahmat menyambut ketibaan rombongan Pertubuhan Kebajikan Al Nidaa' Malaysia


Encik Ahmad Kamal Ariffin menandatangani Buku Tetamu Teratak Rahmat.

Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran Encik Ahmad Kamal Ariffin selaku Setiausaha Pertubuhan Al Nidaa' Malaysia, Cikgu Haji Othman Hussin selaku Pengerusi Teratak Rahmat merangkap Naib Yang Dipertua Persatuan Al Islah Perlis dan rombongan daripada Pertubuhan Al Nidaa' Malaysia. Majlis yang sangat bermakna tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan Saudara Pengerusi Majlis, Encik Hazman bin Hassan merangkap Unit Pendidikan Teratak Rahmat, kemudiannya disusuli dengan taklimat dan amanat oleh Cikgu Haji Othman bin Hussin berkenaan cara operasi Teratak Rahmat dan masalah-masalah semasa yang dihadapi seperti kos tanggungan yang tinggi iaitu RM 238, 530.00 setahun sepertimana yang terdapat dalam laporan di Profil Teratak Rahmat. Kepada individu atau sesiapa yang ingin mendapat Profil Teratak Rahmat tersebut bolehlah muat turun/ download di sini [ PROFIL TERATAK RAHMAT ].

Ucapan balas daripada Setiausaha Pertubuhan Al Nidaa' Malaysia.

Selepas itu, Setiausaha Pertubuhan Al Nidaa’ Malaysia, Encik Ahmad Kamal Ariffin yang merupakan tetamu kehormat dan antara orang penting dalam menjayakan majlis ini menyampaikan ucapan balasnya. Dalam amanatnya, Encik Ahmad Kamal Ariffin telah menyeru agar semua anak Teratak Rahmat tidak mempersia-siakan peluang yang Allah kurniakan ini untuk berusaha mengubah diri masing-masing agar cemerlang dalam hidup ini dan beliau juga berhasrat untuk berusaha membantu Teratak Rahmat dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi sekarang.

Seterusnya majlis ini diteruskan dengan Penyampaian Infak Ramadhan oleh Puan Rohaya Bachik kepada Anak Rahmat dan juga orang-orang yang berusaha dalam Teratak Rahmat. Selepas itu , Encik Ahmad Kamal Ariffin meneruskan pula Penyampaian Infak Ramadhan dengan memberikan saguhati kepada wakil Teratak Rahmat, Cikgu Othman Hussin.

Encik Ahmad Kamal Ariffin menyampaikan sumbangan kepada Anak Rahmat Lelaki.

Kami warga Teratak Rahmat amat bersyukur atas jasa baik rombongan Pertubuhan Kebajikan Al Nidaa' Malaysia kerana memilih Teratak Rahmat sebagai destinasi pilihan untuk menghulurkan wang bantuan dan zakat. Jelas wajah kegembiraan terukir pada setiap warga Teratak Rahmat dan kami mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang amat bermakna ini.

Majlis pada petang itu diteruskan dengan solat fardhu Asar berjemaah dan sesudah itu rombongan Pertubuhan Pertubuhan Al Nidaa' Malaysia dibawa melawat bazar Ramadhan Mata Ayer sementara menanti tibanya waktu berbuka puasa.

Iftar ala kampung bersama-sama.

Iftar pada hari tersebut dihidangkan kuih-muih, buah kurma dan agar-agar sebagai makanan ringan sebelum solat Maghrib berjemaah dan selepas selesai solat berjemaah, warga Teratak Rahmat dan peserta rombongan dihidangkan dengan santapan nasi berlauk ala kampung seperti sotong masak sambal, masak lemak rebung dan ikan kembung masak sambal.

Sesudah berbuka bersama-sama, peserta rombongan daripada Pertubuhan Kebajikan Al Nidaa' Malaysia bersolat Isyak berjemaah terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan mereka yang jauh dan kami warga Teratak Rahmat doakan agar perjalanan mereka semua akan dirahmati Allah s.a.w.

Warga Teratak Rahmat bergambar kenangan bersama ahli rombongan.

Kami sekali lagi memanjangkan rasa syukur kepada Allah atas sumbangan yang diberikan dan mengucapkan terima kasih atas sokongan dan sumbangan tersebut, yang amat bermakna kepada kami semua di Teratak Rahmat.

Allahu'aglam.

Laporan oleh:
Zahiri bin Zubir
Warden Litar Teratak Rahmat

Monday, September 7, 2009

Iftar dan Solat Terawih Bersama TNB dan PKPI

Pada 3 September 2009 yang lalu, sempena bulan puasa pada tahun ini, Pakatan TNB dan Persatuan Kebajikan Pekerja Islam (PKPI) pertama kalinya telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan bersama Teratak Rahmat di Bangunan Persatuan Al Islah. Teratak Rahmat menjadi sebuah rumah kebajikan yang bertuah apabila terpilih sebagai rumah kebajikan yang perlu dibantu oleh Pakatan TNB dan PKPI bagi kawasan zon utara pada tahun ini.

Majlis Berbuka Puasa tersebut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Pengerusi PKPI daripada Kuala Lumpur, Tuan Muhd Tarmizi Abdul Hamid dan Pengerusi Pakatan TNB Perlis, Tuan Saharenam Mukhtar yang turut bersama-sama dari awal program sehingga selesai solat terawih pada malam tersebut. Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Teratak Rahmat yang merangkap Naib Yang Dipertua Persatuan Al Islah Perlis, Tuan Haji Othman Hussin, rombongan daripada Pakatan TNB dan Persatuan Kebajikan Pekerja Islam serta warga Teratak Rahmat.


Semua yang menjayakan majlis bergambar kenang-kenangan.


Sempena bulan Ramadhan, majlis telah dimulakan dengan siraman ayat suci al-Quran dan intisarinya oleh Ustaz Zulkifli Ahmad merangkap Warden Tetap Teratak Rahmat. Kemudiannya majlis diteruskan dengan ucapan Pengerusi PKPI dan disusuli dengan Pengerusi Pakatan TNB Perlis yang menjelaskan peranan serta perjuangan masing-masing dan selain itu mereka juga menasihati anak-anak Rahmat agar sentiasa maju kehadapan, antaranya ialah Tuan Saharenam Mukhtar menyarankan Anak Teratak Rahmat hendaklah sentiasa berusaha dengan gitu dalam bidang akademik agar pada masa hadapan mereka dapat mengecap kehidupan yang berjaya dan cemerlang.

Selepas itu, Tuan Haji Othman Hussin pun menyampaikan taklimat dan ucapan balas dengan mengucapkan terima kasih kepada Pakatan TNB dan PKPI yang sangat perihatin kepada kebajikan dan anak-anak yatim. Selain itu, beliau juga turut memperjelaskan perkembangan awal Anak Rahmat semasa di sekolah, dimana terdapat banyak kes Anak Rahmat yang bersekolah rendah terpaksa dimasukkan ke kelas pemulihan dan ada yang terpaksa turun kelas sementara daripada tahun enam kepada tahun satu dengan tujuan yang baik setelah pelajaran mereka sebelum ini mungkin diabaikan ibu bapa masing-masing akibat kesempitan hidup.

Kemudiannya, majlis diteruskan dengan majlis penyampaian sumbangan kepada anak-anak Rahmat dan juga penyampaian saguhati kepada Pengerusi Teratak Rahmat yang diisempurnakan oleh Tuan Saharenam Mukhtar selaku Pengerusi Pakatan TNB.

Anak Rahmat berbuka bersama-sama rombongan Pakatan TNB dan PKPI

Pada petang tersebut, nyata anak Teratak Rahmat kelihatan sungguh gembira dengan sumbangan yang amat bermakna tersebut, kami warga Teratak Rahmat mengucapkan jutaan terima kasih atas keperihatinan Pakatan TNB Malaysia dan Persatuan Kebajikan Pekerja-pekerja Islam yang memilih Teratak Rahmat sebagai destinasi program kebajikan Pakatan TNB dan PKPI pada tahun ini.

Solat fardhu berjemaah bersama para tetamu.

Sesudah selesai acara tersebut, azan Maghrib pun berkumandang dan tanpa melengahkan masa majlis berbuka puasa pun diteruskan hidangan makanan ringan seperti kuih-muih, kurma dan bubur lambuk terlebih dahulu. Selepas selesainya solat Maghrib berjemaah maka bermulalah jamuan atau santapan sebenar pada hari itu iaitu nasi kuning yang dihidangkan secara 'buffet' bersama-sama ayam goreng berempah, acar, dalca, dan daging masak hitam.

Para tetamu dan warga Teratak Rahmat berbuka selepas bersolat jemaah.

Acara penutup pada malam itu ialah solat fardhu Isyak dan solat terawih berjemaah yang diselitkan dengan tazkirah daripada Ustaz Muhammad Ihsan bin Idris yang dijemput khas pada malam tersebut. Kami warga Teratak Rahmat mengucap terima kasih sekali lagi atas penyempunaan majlis yang bersejarah ini, bantuan dan sokongan daripada Pakatan TNB dan PKPI kepada pembangunan Teratak Rahmat, moga-moga Teratak Rahmat dapat melahirkan insan yang benar-benar cemerlang di akhirat dan juga di dunia.

Allahu'aglam.

Laporan oleh,
Zahiri bin Zubir.