Sunday, June 21, 2009

Kunjungan Bermakna




Pada malam Ahad bersamaan 6 Jun 2009 yang lepas, Teratak Rahmat telah dilawati oleh rombongan Masjid Darul Ghufran, Tampines, Singapura.Rombongan ini adalah rombongan masjid yg pertama dari Singapura, sebuah negara yang mempunyai lebih kurang 70 buah masjid. Sambil melawat Kuala Perlis dan Langkawi pada tahun ini, Masjid Darul Ghufran telah memaklumkan 2 bulan lebih awal untuk ke Teratak Rahmat.

Pada malam yang meriah itu, Pengerusi Teratak Rahmat, Cikgu Osman Hussin dan Yang Dipertua Persatuan Al Islah Perlis, Dato' Alim Setia Ahmad Yusof Amin turut hadir untuk menyambut 2 bas tetamu dari negara republik itu. Majlis yang sederhana itu berjalan lancar mengikut agenda yang dirancang, Pengerusi Majlis pada malam itu, Encik Hazman bin Hassan terlebih dahulu memulakan majlis dengan ucapan alu-aluan dan pantun kepada ahli rombongan yang hadir. Kemudian diikuti amanat dari Pengerusi Teratak Rahmat berkenaan tujuan, perancangan dan keperluan Teratak Rahmat.

Selepas selesai amanat dari Cikgu Osman Hussin, tibalah saat-saat yang dinantikan oleh rombongan Masjid Darul Ghufran, iaitu untuk mendengar tazkirah Mufti Negeri Perlis, Dr. Juanda Jaya. Namun disebabkan masalah yang tidak dapat dielakkan, majlis diteruskan dengan menggantikan Dato' Alim Setia Ahmad Yusof Amin yang juga merangkap Penasihat Syariah Teratak Rahmat dan ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis sebagai penceramah pada malam itu.

Setelah selesai tazkirah berkenaan 'Ahli Sunnah Wal Jamaah' tersebut, program disambung dengan Pentomen 'Hulurkan Tangan Membantu', sebuah pentomen khas Teratak Rahmat yang telah menitiskan air mata hadirin pada malam tersebut. Untuk lebih menjiwai persembahan pentomen tersebut, bolehlah merujuk laman Youtube.com dengan tajuk 'Pentomen Teratak Rahmat'.



Kemudian disusuli pula dengan persembahan silat oleh Anak Rahmat dan warden Teratak Rahmat sebagai persembahan penutup pada malam itu, setelah selesai bersilat maka tibalah masanya wakil rombongan Masjid Darul Ghufran, Saudara Mirza Abdul Latin bin Mirza Abdul Latif untuk membalas pantun saudara Pengerusi Majlis dan seterusnya berucap pada malam itu. Namun bukan sekadar membalas pantun dan berucap rombongan ini juga turut menyampaikan sumbangan yang dikumpulkan sewaktu dalam perjalanan untuk ke Teratak Rahmat. Pihak Teratak Rahmat amat berterima kasih atas bantuan dan kesungguhan ahli rombongan pada malam tersebut.

Setelah selesai majlis pada malam itu, ahli rombongan dan warga Teratak Rahmat bersama-sama menikmati santapan malam yang disediakan, kemudiannya diteruskan dengan sesi bergambar kenang-kenangan sebelum rombongan Masjid Darul Ghufran pulang menuju destinasi berikutnya.
Program ini adalah salah satu program yang berharga bagi seluruh warga Teratak Rahmat dan disebut-sebut kami hingga dewasa ini.