Wednesday, September 9, 2009

Infak Ramadhan Pertubuhan Kebajikan Al Nidaa'



Alhamdulillah pada 6 September 2009, Majlis Infak Ramadhan oleh Pertubuhan Kebajikan Al Nidaa Malaysia telah diadakan dengan jayanya di Bangunan Persatuan Al Islah Perlis bermula pukul 4.00 petang sehingga 9.30 malam. Majlis ini dianjurkan oleh Pertubuhan Al Nidaa' Malaysia dengan kerjasama warga Teratak Rahmat.

Anak Rahmat menyambut ketibaan rombongan Pertubuhan Kebajikan Al Nidaa' Malaysia


Encik Ahmad Kamal Ariffin menandatangani Buku Tetamu Teratak Rahmat.

Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran Encik Ahmad Kamal Ariffin selaku Setiausaha Pertubuhan Al Nidaa' Malaysia, Cikgu Haji Othman Hussin selaku Pengerusi Teratak Rahmat merangkap Naib Yang Dipertua Persatuan Al Islah Perlis dan rombongan daripada Pertubuhan Al Nidaa' Malaysia. Majlis yang sangat bermakna tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan Saudara Pengerusi Majlis, Encik Hazman bin Hassan merangkap Unit Pendidikan Teratak Rahmat, kemudiannya disusuli dengan taklimat dan amanat oleh Cikgu Haji Othman bin Hussin berkenaan cara operasi Teratak Rahmat dan masalah-masalah semasa yang dihadapi seperti kos tanggungan yang tinggi iaitu RM 238, 530.00 setahun sepertimana yang terdapat dalam laporan di Profil Teratak Rahmat. Kepada individu atau sesiapa yang ingin mendapat Profil Teratak Rahmat tersebut bolehlah muat turun/ download di sini [ PROFIL TERATAK RAHMAT ].

Ucapan balas daripada Setiausaha Pertubuhan Al Nidaa' Malaysia.

Selepas itu, Setiausaha Pertubuhan Al Nidaa’ Malaysia, Encik Ahmad Kamal Ariffin yang merupakan tetamu kehormat dan antara orang penting dalam menjayakan majlis ini menyampaikan ucapan balasnya. Dalam amanatnya, Encik Ahmad Kamal Ariffin telah menyeru agar semua anak Teratak Rahmat tidak mempersia-siakan peluang yang Allah kurniakan ini untuk berusaha mengubah diri masing-masing agar cemerlang dalam hidup ini dan beliau juga berhasrat untuk berusaha membantu Teratak Rahmat dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi sekarang.

Seterusnya majlis ini diteruskan dengan Penyampaian Infak Ramadhan oleh Puan Rohaya Bachik kepada Anak Rahmat dan juga orang-orang yang berusaha dalam Teratak Rahmat. Selepas itu , Encik Ahmad Kamal Ariffin meneruskan pula Penyampaian Infak Ramadhan dengan memberikan saguhati kepada wakil Teratak Rahmat, Cikgu Othman Hussin.

Encik Ahmad Kamal Ariffin menyampaikan sumbangan kepada Anak Rahmat Lelaki.

Kami warga Teratak Rahmat amat bersyukur atas jasa baik rombongan Pertubuhan Kebajikan Al Nidaa' Malaysia kerana memilih Teratak Rahmat sebagai destinasi pilihan untuk menghulurkan wang bantuan dan zakat. Jelas wajah kegembiraan terukir pada setiap warga Teratak Rahmat dan kami mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang amat bermakna ini.

Majlis pada petang itu diteruskan dengan solat fardhu Asar berjemaah dan sesudah itu rombongan Pertubuhan Pertubuhan Al Nidaa' Malaysia dibawa melawat bazar Ramadhan Mata Ayer sementara menanti tibanya waktu berbuka puasa.

Iftar ala kampung bersama-sama.

Iftar pada hari tersebut dihidangkan kuih-muih, buah kurma dan agar-agar sebagai makanan ringan sebelum solat Maghrib berjemaah dan selepas selesai solat berjemaah, warga Teratak Rahmat dan peserta rombongan dihidangkan dengan santapan nasi berlauk ala kampung seperti sotong masak sambal, masak lemak rebung dan ikan kembung masak sambal.

Sesudah berbuka bersama-sama, peserta rombongan daripada Pertubuhan Kebajikan Al Nidaa' Malaysia bersolat Isyak berjemaah terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan mereka yang jauh dan kami warga Teratak Rahmat doakan agar perjalanan mereka semua akan dirahmati Allah s.a.w.

Warga Teratak Rahmat bergambar kenangan bersama ahli rombongan.

Kami sekali lagi memanjangkan rasa syukur kepada Allah atas sumbangan yang diberikan dan mengucapkan terima kasih atas sokongan dan sumbangan tersebut, yang amat bermakna kepada kami semua di Teratak Rahmat.

Allahu'aglam.

Laporan oleh:
Zahiri bin Zubir
Warden Litar Teratak Rahmat

No comments: