Monday, September 7, 2009

Iftar dan Solat Terawih Bersama TNB dan PKPI

Pada 3 September 2009 yang lalu, sempena bulan puasa pada tahun ini, Pakatan TNB dan Persatuan Kebajikan Pekerja Islam (PKPI) pertama kalinya telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan bersama Teratak Rahmat di Bangunan Persatuan Al Islah. Teratak Rahmat menjadi sebuah rumah kebajikan yang bertuah apabila terpilih sebagai rumah kebajikan yang perlu dibantu oleh Pakatan TNB dan PKPI bagi kawasan zon utara pada tahun ini.

Majlis Berbuka Puasa tersebut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Pengerusi PKPI daripada Kuala Lumpur, Tuan Muhd Tarmizi Abdul Hamid dan Pengerusi Pakatan TNB Perlis, Tuan Saharenam Mukhtar yang turut bersama-sama dari awal program sehingga selesai solat terawih pada malam tersebut. Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Teratak Rahmat yang merangkap Naib Yang Dipertua Persatuan Al Islah Perlis, Tuan Haji Othman Hussin, rombongan daripada Pakatan TNB dan Persatuan Kebajikan Pekerja Islam serta warga Teratak Rahmat.


Semua yang menjayakan majlis bergambar kenang-kenangan.


Sempena bulan Ramadhan, majlis telah dimulakan dengan siraman ayat suci al-Quran dan intisarinya oleh Ustaz Zulkifli Ahmad merangkap Warden Tetap Teratak Rahmat. Kemudiannya majlis diteruskan dengan ucapan Pengerusi PKPI dan disusuli dengan Pengerusi Pakatan TNB Perlis yang menjelaskan peranan serta perjuangan masing-masing dan selain itu mereka juga menasihati anak-anak Rahmat agar sentiasa maju kehadapan, antaranya ialah Tuan Saharenam Mukhtar menyarankan Anak Teratak Rahmat hendaklah sentiasa berusaha dengan gitu dalam bidang akademik agar pada masa hadapan mereka dapat mengecap kehidupan yang berjaya dan cemerlang.

Selepas itu, Tuan Haji Othman Hussin pun menyampaikan taklimat dan ucapan balas dengan mengucapkan terima kasih kepada Pakatan TNB dan PKPI yang sangat perihatin kepada kebajikan dan anak-anak yatim. Selain itu, beliau juga turut memperjelaskan perkembangan awal Anak Rahmat semasa di sekolah, dimana terdapat banyak kes Anak Rahmat yang bersekolah rendah terpaksa dimasukkan ke kelas pemulihan dan ada yang terpaksa turun kelas sementara daripada tahun enam kepada tahun satu dengan tujuan yang baik setelah pelajaran mereka sebelum ini mungkin diabaikan ibu bapa masing-masing akibat kesempitan hidup.

Kemudiannya, majlis diteruskan dengan majlis penyampaian sumbangan kepada anak-anak Rahmat dan juga penyampaian saguhati kepada Pengerusi Teratak Rahmat yang diisempurnakan oleh Tuan Saharenam Mukhtar selaku Pengerusi Pakatan TNB.

Anak Rahmat berbuka bersama-sama rombongan Pakatan TNB dan PKPI

Pada petang tersebut, nyata anak Teratak Rahmat kelihatan sungguh gembira dengan sumbangan yang amat bermakna tersebut, kami warga Teratak Rahmat mengucapkan jutaan terima kasih atas keperihatinan Pakatan TNB Malaysia dan Persatuan Kebajikan Pekerja-pekerja Islam yang memilih Teratak Rahmat sebagai destinasi program kebajikan Pakatan TNB dan PKPI pada tahun ini.

Solat fardhu berjemaah bersama para tetamu.

Sesudah selesai acara tersebut, azan Maghrib pun berkumandang dan tanpa melengahkan masa majlis berbuka puasa pun diteruskan hidangan makanan ringan seperti kuih-muih, kurma dan bubur lambuk terlebih dahulu. Selepas selesainya solat Maghrib berjemaah maka bermulalah jamuan atau santapan sebenar pada hari itu iaitu nasi kuning yang dihidangkan secara 'buffet' bersama-sama ayam goreng berempah, acar, dalca, dan daging masak hitam.

Para tetamu dan warga Teratak Rahmat berbuka selepas bersolat jemaah.

Acara penutup pada malam itu ialah solat fardhu Isyak dan solat terawih berjemaah yang diselitkan dengan tazkirah daripada Ustaz Muhammad Ihsan bin Idris yang dijemput khas pada malam tersebut. Kami warga Teratak Rahmat mengucap terima kasih sekali lagi atas penyempunaan majlis yang bersejarah ini, bantuan dan sokongan daripada Pakatan TNB dan PKPI kepada pembangunan Teratak Rahmat, moga-moga Teratak Rahmat dapat melahirkan insan yang benar-benar cemerlang di akhirat dan juga di dunia.

Allahu'aglam.

Laporan oleh,
Zahiri bin Zubir.

No comments: