Sunday, May 31, 2009

Kempen daripada Ustaz Hussein Yee

Teratak Rahmat amat mensyukuri nikmat yang diberi Allah dewasa ini, ditambah pula dengan nikmat ilmu dan kunjungan Pengerusi Baitulmal Negeri Perlis dan Yang Dipertua Persatuan Al Islah Perlis serta orang ramai khasnya Ustaz Hussein Yee yang datang mengunjungi dan memberi kuliah khas semata-mata untuk mengajak orang ramai menginfakkan harta kepada Teratak Rahmat kerana Allah s.w.t.

Program yang amat bermakna ini berjaya dilaksanakan dengan jayanya pada 1Mei 2009 anjuran Persatuan Al Islah Perlis di dewan Bangunan Al Islah dimana bangunan inilah juga adalah asrama dan dewan kuliah semasa Teratak Rahmat sementara menanti penyelesaian masalah kewangan untuk membina Asrama Teratak Rahmat yang sebenarnya di tapak sendiri.

Ustaz Hussein Yee di dalamnya kuliahnya, beliau turut menekankan agar Teratak Rahmat tidak mudah tunduk dengan apa jua fitnah dan ujian malah beliau memperingatkan warga Teratak Rahmat bahawa ujian Allah pasti hadir tidak kira dari dalam atau luar, selepas ini.

Selain berpesan kepada warga Teratak Rahmat, beliau juga cuba memanfaatkan masa yang ada untuk menyedarkan para hadirin tentang untungnya menginfakkan harta di jalan Allah bagi setiap orang yang beriman dan beliau juga menerangkan tentang betapa ruginya orang-orang beriman sekiranya mereka takut untuk mengeluarkan sebahagian harta mereka untuk orang lain kerana Allah s.w.t.

Siraman rohani yang dicurahkan oleh Ustaz Hussein Yee tidak lengkap sekiranya kita hanya sekadar membaca coretan ini, oleh itu, disini kami turut cuba sediakan kemudahan untuk ‘download’ rakaman suara Ustaz Hussein Yee tersebut pada masa akan datang.

Ucapan terima kasih kami dahulukan kepada semua yang sudi hadir dan menyumbang kepada Teratak Rahmat terutamanya sumbangan permulaan yang bermakna dari Pengerusi Baitulmal Negeri Perlis.

Segala yang dilaksanakan pada hari ini diharap tidak terhenti sekadar itu, moga-moga ianya berterusan sehinggalah selesai masalah-masalah Teratak Rahmat yang lain seperti kekurangan dana untuk membina bangunan sendiri dan turut menjadi harapan Teratak Rahmat untuk menambah lagi anak-anak miskin atau yatim pada masa akan datang. Moga-moga perjuangan untuk meramaikan kembali pemuda dan pemudi yang tunduk dan patuh pada Allah ini tidak terhenti pada masa akan datang, bersamalah kita berjuang menyelamatkan manusia sejagat.
Allahu a'lam.

Antara Bantuan Lain :




No comments: