Sunday, May 10, 2009

Diskusi Buku ' Tafsir Al Azhar'


Tajuk: TafsirAl-Azhar

Penulis: HAMKA

Pengulas: Ustaz Hazman bin Hassan

“ Barangsiapa yang telah menanam jasa, satu saat kelak dia akan beroleh hasil dari jasanya itu. Kemuliaan akan menjadi pengiringnya ke mana pun dia pergi. Kalau orang yang sama hidup dengan dia melupakan, namun setelah matinya orang yang kemudian akan membongkar kemuliaan itu kembali dan menyatakannya ke muka khalayak. Orang yang berjasa tidak boleh gamang dan kecewa jika di masa hidupnya dilupakan orang. Orang tidak boleh menyesal jika tinggal di sebuah gubuk yang buruk. Tidak boleh kecewa jika makan minumnya dan pakaiannya tidak semewah orang lain. Sebab kelak buah tangannya akan menjadi modal kemajuan angkatan yang akan datang.”

Dipetik dari karya Hamka ‘Falsafah Hidup’

BAGI memupuk pelajar meminati bahan bacaan,Program Diskusi Buku diteruskan bagi sesi kedua di Dewan Al Islah Perlis baru-baru ini.Seramai lebih 30 remaja mengambil bahagian dalam program yang dianjurkan oleh Anjung Maklumat Islah (AMI) ini. Pada sesi kali ini, AMI menjemput Ustaz Hazman bin Hassan untuk mengulas Tafsir Al-Azhar yang ditulis oleh HAMKA ketika beliau dipenjarakan oleh Sukarno, Ustaz Hazman adalah seorang pensyarah dari Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Di hadapan anak-anak Teratak Rahmat ini, beliau telah berjaya mengulas dengan jelas dan berinformasi tentang kepayahan Hamka untuk menyiapkan sebuah kitab tafsir lengkap Al-Quran Al Karim ketika beliau dalam penjara.

HAMKA (1908-1981), adalah akronim kepada nama sebenar Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah. Beliau adalah seorang ulama, aktivis politik dan penulis Indonesia yang amat terkenal di alam Nusantara. Beliau lahir pada 17 Februari 1908 di kampung Molek, Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia. Ayahnya ialah Syeikh Abdul Karim bin Amrullah atau dikenali sebagai Haji Rasul, seorang pelopor Gerakan Islah (tajdid) di Minangkabau, sekembalinya dari Makkah pada tahun 1906.

Hamka mendapat pendidikan rendah di Sekolah Dasar Maninjau sehingga kelas dua. Ketika usia HAMKA mencapai 10 tahun, ayahnya telah mendirikan Sumatera Thawalib di Padang Panjang. Di situ Hamka mempelajari agama dan mendalami bahasa Arab. Hamka juga pernah mengikuti pengajaran agama di surau dan masjid yang diberikan ulama terkenal seperti Syeikh Ibrahim Musa, Syeikh Ahmad Rasyid, Sutan Mansur, R.M. Surjopranoto dan Ki Bagus Hadikusumo.

Hamka mula-mula bekerja sebagai guru agama pada tahun 1927 di Perkebunan Tebing Tinggi, Medan dan guru agama di Padang Panjang pada tahun 1929. Hamka kemudian dilantik sebagai dosen di Universitas Islam, Jakarta dan Universitas Muhammadiyah, Padang Panjang dari tahun 1957 hingga tahun 1958. Setelah itu, beliau diangkat menjadi rektor Perguruan Tinggi Islam, Jakarta dan Profesor Universitas Mustopo, Jakarta. Dari tahun 1951 hingga tahun 1960, beliau menjabat sebagai Pegawai Tinggi Agama oleh Menteri Agama Indonesia, tetapi meletakkan jabatan itu ketika Sukarno menyuruhnya memilih antara menjadi pegawai negeri atau bergiat dalam politik Majelis Syuro Muslimin Indonesia (Masyumi).


Hamka adalah seorang otodidiak dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan seperti filsafat, sastra, sejarah, sosiologi dan politik, baik Islam maupun Barat. Dengan kemahiran bahasa Arabnya yang tinggi, beliau dapat menyelidiki karya ulama dan pujangga besar di Timur Tengah seperti Zaki Mubarak, Jurji Zaidan, Abbas al-Aqqad, Mustafa al-Manfaluti dan Hussain Haikal.
Melalui bahasa Arab juga, beliau meneliti karya sarjana Perancis, Inggris dan Jerman seperti Albert Camus, William James, Sigmund Freud, Arnold Toynbee, Jean Paul Sartre, Karl Marx dan Pierre Loti. Hamka juga rajin membaca dan bertukar-tukar pikiran dengan tokoh-tokoh terkenal Jakarta seperti HOS Tjokroaminoto, Raden Mas Surjopranoto, Haji Fachrudin, Ar Sutan Mansur dan Ki Bagus Hadikusumo sambil mengasah bakatnya sehingga menjadi seorang ahli pidato yang handal.

Hamka pernah menerima beberapa anugerah pada peringkat nasional dan antarabangsa seperti anugerah kehormatan Doctor Honoris Causa, Universitas al-Azhar, 1958; Doktor Honoris Causa, Universitas Kebangsaan Malaysia, 1974; dan gelar Datuk Indono dan Pengeran Wiroguno dari pemerintah Indonesia.

Hamka telah pulang ke rahmatullah pada 24 Julai 1981, namun jasa dan pengaruhnya masih terasa sehingga kini dalam memartabatkan agama Islam. Beliau bukan sahaja diterima sebagai seorang tokoh ulama dan sasterawan di negara kelahirannya, malah jasanya di seluruh alam Nusantara, termasuk Malaysia dan Singapura, turut dihargai.

Antara karya beliau adalah:
  1. Hak Asasi Manusia dipandang dari segi Islam 1968.
  2. Falsafah Ideologi Islam 1950(sekembali dr Mekkah).
  3. Keadilan Sosial dalam Islam 1950 (sekembali dr Mekkah).
  4. Cita-cita kenegaraan dalam ajaran Islam (Kuliah umum) di Universiti Keristan 1970.
  5. Studi Islam 1973, diterbitkan oleh Panji Masyarakat.
  6. Himpunan Khutbah-khutbah.
  7. Urat Tunggang Pancasila.
  8. Doa-doa Rasulullah S.A.W,1974.
  9. Sejarah Islam di Sumatera.
  10. Bohong di Dunia.
  11. Muhammadiyah di Minangkabau 1975,(Menyambut Kongres Muhammadiyah di Padang).
  12. Pandangan Hidup Muslim,1960.
  13. Kedudukan perempuan dalam Islam,1973.


No comments: