Sunday, March 15, 2009

Tetamu Dari Terengganu

Dengan inayah Allah jua, Teratak Rahmat sekali lagi menerima kunjungan tetamu dari jauh iaitu rombongan kakitangan Petronas Gas dari Jertih, Terengganu Darul Iman. Hasil tazkiyyah yang diberikan oleh al-Fadhil Ustaz Fathul Bari Dato’ Mat Jaya, rombongan kakitangan Petronas Gas akhirnya menjejak kaki mereka di Teratak Rahmat pada jam 3.00 petang, hari khamis 19 Febuari 2009.


Rombongan ini amat-amat prihatin dengan keadaan Teratak Rahmat sehingga mereka sungguh-sungguh meminta Teratak Rahmat untuk TIDAK MENYEDIAKAN SEBARANG JUADAH kepada mereka… Apakan daya, kami di Teratak Rahmat engkar jua dengan permintaan mereka dengan menyediakan juga minuman sejuk berupa sirap ros untuk mereka membasahkan tekak (Perhatian: Untuk tetamu-tetamu lain yang berminat menjenguk kami di Teratak Rahmat, kami siap sedia menghidupkan Sunnah Rasululullah bagi memuliakan tetamu walaupun dalam keadaan serba sederhana. Maka janganlah bimbang apabila stok makanan Teratak Rahmat susut sedikit demi melaksanakan suruhan agama)

Rombongan ini disambut oleh Cikgu Othman Husin dan seluruh keluarga besar Teratak Rahmat. Sesudah Cikgu Othman memberikan ucapan sambutan dan sedikit penerangan tentang Teratak Rahmat, majlis mendengar pula amanat Ustaz Zakaria selaku wakil rombongan. Semoga tazkirah beliau dapat membuka mata dan minda Anak-anak Rahmat khususnya untuk cemerlang di dunia sampai ke akhirat.

Anak-anak Rahmat seterusnya teruja dengan acara kemuncak majlis ini apabila mereka dihadiahkan dengan beg Petronas Gas berisi topi , kain sarung dan coklat. Selain itu mereka juga diberikan wang saku sebanyak RM10 setiap seorang.

Tidak cukup dengan itu, Teratak Rahmat juga bersyukur untuk menerima sumbangan derma kilat anggota-anggota rombongan berupa wang tunai RM1000 dan barang-barang dapur yang terdiri daripada 4 kampit beras Jati, gula , susu , biskut dan milo.

Bagi warden-warden Teratak Rahmat pula, pengalaman menyaksikan kilauan lensa yang tidak putus-putus daripada puluhan kamera digital untuk merakamkan cebisan kenangan amat-amat menakjubkan. Selepas sesi bergambar dan ramah-mesra dengan Anak-anak dan warden Teratak Rahmat, anggota rombongan turut memberikan pandangan dan saranan khususnya dalam memastikan kesinambungan kerjasama kebajikan dan sinergi amal soleh antara Teratak Rahmat dengan Petronas Gas Jertih.

Kami di Teratak Rahmat berdoa kepada Allah mudah-mudahan segala sumbangan rombongan warga kerja Petronas Gas akan diganjari oleh-Nya dengan balasan yang jauh lebih baik dan berterusan di dunia dan akhirat.

Dilaporkan Oleh:

Zahiri Zubir

Warden Teratak Rahmat

No comments: