Monday, February 16, 2009

Mat Rempit Menyerang Teratak Rahmat

Keheningan petang hari sabtu 25 Januari 2009 telah disirnakan dengan hadirnya hampir seratus orang pemuda bermotosikal ke Teratak Rahmat, Jalan Mata Ayer. Mereka yang dimaksudkan bukanlah Mat Rempit dalam erti kata sebenar, akan tetapi merupakan peserta-peserta dalam Konvoi Kembara Ma’al Hijrah 1430H yang menziarahi Teratak Rahmat.








Konvoi Kembara Ma'al Hijrah tiba di Teratak .






Kunjungan konvoi bermotosikal yang mengelilingi Negeri Perlis ini turut disertai oleh anggota polis trafik, ambulans Hospital Tuanku Fauziah, bas Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta ahli-ahli Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi Negeri Perlis. Turut menyertai konvoi adalah para pegawai agensi-agensi kerajaan iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis, Jabatan Belia Dan Sukan (JBS) Negeri Perlis, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan jabatan lain yang menganjurkan konvoi. Oleh itu kami mengucapkan berbanyak-banyak Terima Kasih kepada seluruh peserta konvoi, terutamanya kepada Encik Abdul Haris bin Ishak selaku Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Perlis, Timbalan Pengarah JKM serta wakil Pengarah JAIPs kerana sudi untuk menjejakkan kaki mereka ke Teratak Rahmat.














Pengarah Belia Dan Sukan Negeri Perlis menulis nama dalam buku Tetamu Teratak Rahmat.















Wakil dari Jabatan Agama Islam Negeri Perlis menyampaikan
ceramah agama.

Acara lawatan bersejarah ini dimulakan dengan taklimat berkenaan Teratak Rahmat disampaikan oleh Ketua Unit Pendidikan mewakili Pengerusi Teratak Rahmat yang mempunyai urusan di Langkawi. Sesudah itu majlis menjemput Ustaz Hashim Othman Al-Hafiz daripada JAIPs untuk menyampaikan tazkirah ringkasnya. Kemuncak kepada lawatan ini adalah penyampaian sumbangan kepada Anak-anak Rahmat.

Anak-anak Teratak Rahmat gembira menerima sumbangan dari konvoi Kembara Ma'al Hijrah


Anak Rahmat amat gembira menerima sebuah beg comel berlogo KPWKM yang berisikan kain pelekat/kain batik, kuih bahulu, kopi, teh, gula, dan sebotol minuman berkarbonat 1.5L perisa oren. Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan iaitu Encik Abdul Haris Bin Ishak juga menyampaikan sumbangan peribadi Allayarhamha Hajjah Juninah Binti Ishak, kakak beliau berupa wang tunai berjumlah RM1000. Teratak Rahmat juga bertuah kerana mendapat pemberian pakaian terpakai sebanyak 5 kotak daripada warga kerja Jabatan Belia Dan Sukan.

Sebelum konvoi meneruskan perjalanan ke destinasi berikutnya, peserta konvoi dan Anak-anak Rahmat diraikan dengan jamuan minum petang yang turut ditaja oleh penganjur konvoi. Teratak Rahmat sangat terharu dengan penghormatan sebegini kerana tetamu pula yang bersusah-payah menyediakan juadah untuk tuan rumah.....
Kehadiran konvoi ini berjaya menceriakan lagi Anak-anak Rahmat dan seluruh warga kerjanya. Teratak Rahmat sekali lagi merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur konvoi kerana sudi memilih Teratak Rahmat sebagai salah satu destinasi persinggahan utama konvoi.

Sesungguhnya pemilihan Teratak Rahmat ini menjadi pembakar semangat untuk seluruh keluarga besar Teratak Rahmat apabila langkah ini berjaya menjadikan Teratak Rahmat sebagai mercutanda terbaru dalam lanskap kebajikan dan kerja-kerja sosial di Negeri Perlis. Moga bertemu lagi dengan konvoi yang serupa pada tahun hadapan pula...Amin

No comments: