Friday, October 16, 2009

RAYUAN SEDEKAH KORBAN 1430 H



Allah berfirman:
Maksudnya: ‘Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya’(al-Hajj:37).

Sedekah Korban adalah ibadah yang berupa pemberian sedekah daging korban yang disembelih pada Hari Raya ‘Aidil ‘Adha. Maka sedekah korban adalah ibadah yang istimewa kerana ia adalah gabungan ibadah korban dengan bersedekah, di samping dilaksanakan pada hari-hari yang amat mulia di sisi Allah.

Oleh itu Teratak Rahmat, memohon umat Islam yang akan menunaikan ibadah korban agar sudi untuk menghulurkan sedekah berupa daging daripada haiwan korban yang disembelih sempena sambutan ‘Aidil Adha 1430 H / 2009 ini. Matlamat rayuan ini adalah untuk mengumpul sebanyak mungkin daging korban segar untuk dijadikan makanan selama setahun penghuni Teratak Rahmat.

Daging yang disumbangkan akan disimpan di dalam peti sejuk besar dan akan dikeluarkan sedikit demi sedikit untuk dijadikan makanan penghuni Teratak Rahmat. Daging yang tidak muat disimpan dalam peti sejuk pula akan diproses menjadi daging kering supaya dapat disimpan lama. Semoga dengan pendekatan ini dapatlah anak-anak yang dididik di Teratak Rahmat menikmati daging sebagai sumber protein yang penting tetapi mahal harganya. Pada ketika anak-anak yatim/miskin dan golongan yang kurang bernasib baik di Teratak Rahmat dibantu dengan makanan berkhasiat lagi berkat, penyumbang sedekah korban juga dapat menunaikan kewajipan mereka dan berpeluang mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.

Dengan itu, sedekah korban boleh dihantar ke Pusat Pengajian Persatuan Al-Islah Km 1.2, Jalan Mata Ayer. Untuk memudah ahli-ahli Persatuan Al-Islah dan penyokong Sunnah menunaikan tuntutan agama ini, ahli-ahli jawatankuasa Teratak Rahmat juga boleh datang mengambil sumbangan daging tersebut di rumah/tempat tinggal penyumbang pada masa yang boleh dirundingkan. Untuk keterangan lanjut, sila hubungi saudara Hazman Hassan, Ketua Unit Pendidikan Teratak Rahmat di telefon 019-4459382 atau email di ibnarawi99@yahoo.com

Bagi individu atau keluarga yang ingin mengadakan sembelihan korban pada tahun ini tetapi masih belum berkesempatan mendapatkan haiwan korban, Teratak Rahmat boleh menguruskan sembelihan tersebut. Harga korban yang ditawarkan hanyalah RM350 bagi setiap bahagian lembu. Tawaran ini masih dibuka sehingga 5 Zulhijjah 1430 H Insya-Allah. Bagi pertanyaan, sila hubungi saudara Hazman Hassan di telefon sebagaimana di atas.

Semoga peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah menerusi sedekah korban pada hari-hari yang agung dalam Islam ini dapat direbut. Kami berdoa supaya segala sedekah korban yang dihulurkan akan mendapat balasan syurga di akhirat dan kesejahteraan di dunia.

Salam Hormat Daripada Kami


Yang Benar
Othman Haji Husin
Pengerusi Teratak Rahmat

Monday, September 21, 2009

Berbuka Puasa Bersama Rombongan Tekad Matang dan Encik Bostani Abdul Rahman

Alhamdulillah, walaupun berdepan kemelut kewangan tahunan yang melonjak hampir RM 200,000 setahun. Teratak Rahmat amat gembira dalam menyambut bulan Ramadhan pada tahun ini. Pada bulan Ramadhan kali ini , Teratak Rahmat dikunjungi lagi oleh rombongan Syarikat Tekad Matang yang bersama-sama berbuka puasa dan bersolat Maghrib pada hari tersebut.

Majlis berbuka puasa tersebut berjalan lancar dan dimeriahkan lagi dengan majlis penyampaian sumbangan kepada Anak Rahmat dan juga bantuan kewangan kepada Teratak Rahmat. Santapan berbuka pada hari tersebut telah di sediakan oleh Encik Bostani Abdul Rahman dengan hidangan nasi beriyani ayam, dalca dan gulai kambing yang lazat dan amat mengenyangkan.

Sesudah selesai Majlis Berbuka Puasa bersama Tekad Matang, yang sudah dua kali menganjurkan jamuan makan kepada Teratak Rahmat, warga Teratak Rahmat meneruskan kegembiraan pada malam itu dengan Penyampaian Hadiah Pertandingan Mengemas Bilik Anak Rahmat Kali Ke-3. Di mana pada kali ini, bilik T2 telah mencipta sejarah kerana menjadi billik lelaki pertama menjuarai pertandingan tersebut.

Wednesday, September 9, 2009

Infak Ramadhan Pertubuhan Kebajikan Al Nidaa'



Alhamdulillah pada 6 September 2009, Majlis Infak Ramadhan oleh Pertubuhan Kebajikan Al Nidaa Malaysia telah diadakan dengan jayanya di Bangunan Persatuan Al Islah Perlis bermula pukul 4.00 petang sehingga 9.30 malam. Majlis ini dianjurkan oleh Pertubuhan Al Nidaa' Malaysia dengan kerjasama warga Teratak Rahmat.

Anak Rahmat menyambut ketibaan rombongan Pertubuhan Kebajikan Al Nidaa' Malaysia


Encik Ahmad Kamal Ariffin menandatangani Buku Tetamu Teratak Rahmat.

Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran Encik Ahmad Kamal Ariffin selaku Setiausaha Pertubuhan Al Nidaa' Malaysia, Cikgu Haji Othman Hussin selaku Pengerusi Teratak Rahmat merangkap Naib Yang Dipertua Persatuan Al Islah Perlis dan rombongan daripada Pertubuhan Al Nidaa' Malaysia. Majlis yang sangat bermakna tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan Saudara Pengerusi Majlis, Encik Hazman bin Hassan merangkap Unit Pendidikan Teratak Rahmat, kemudiannya disusuli dengan taklimat dan amanat oleh Cikgu Haji Othman bin Hussin berkenaan cara operasi Teratak Rahmat dan masalah-masalah semasa yang dihadapi seperti kos tanggungan yang tinggi iaitu RM 238, 530.00 setahun sepertimana yang terdapat dalam laporan di Profil Teratak Rahmat. Kepada individu atau sesiapa yang ingin mendapat Profil Teratak Rahmat tersebut bolehlah muat turun/ download di sini [ PROFIL TERATAK RAHMAT ].

Ucapan balas daripada Setiausaha Pertubuhan Al Nidaa' Malaysia.

Selepas itu, Setiausaha Pertubuhan Al Nidaa’ Malaysia, Encik Ahmad Kamal Ariffin yang merupakan tetamu kehormat dan antara orang penting dalam menjayakan majlis ini menyampaikan ucapan balasnya. Dalam amanatnya, Encik Ahmad Kamal Ariffin telah menyeru agar semua anak Teratak Rahmat tidak mempersia-siakan peluang yang Allah kurniakan ini untuk berusaha mengubah diri masing-masing agar cemerlang dalam hidup ini dan beliau juga berhasrat untuk berusaha membantu Teratak Rahmat dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi sekarang.

Seterusnya majlis ini diteruskan dengan Penyampaian Infak Ramadhan oleh Puan Rohaya Bachik kepada Anak Rahmat dan juga orang-orang yang berusaha dalam Teratak Rahmat. Selepas itu , Encik Ahmad Kamal Ariffin meneruskan pula Penyampaian Infak Ramadhan dengan memberikan saguhati kepada wakil Teratak Rahmat, Cikgu Othman Hussin.

Encik Ahmad Kamal Ariffin menyampaikan sumbangan kepada Anak Rahmat Lelaki.

Kami warga Teratak Rahmat amat bersyukur atas jasa baik rombongan Pertubuhan Kebajikan Al Nidaa' Malaysia kerana memilih Teratak Rahmat sebagai destinasi pilihan untuk menghulurkan wang bantuan dan zakat. Jelas wajah kegembiraan terukir pada setiap warga Teratak Rahmat dan kami mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang amat bermakna ini.

Majlis pada petang itu diteruskan dengan solat fardhu Asar berjemaah dan sesudah itu rombongan Pertubuhan Pertubuhan Al Nidaa' Malaysia dibawa melawat bazar Ramadhan Mata Ayer sementara menanti tibanya waktu berbuka puasa.

Iftar ala kampung bersama-sama.

Iftar pada hari tersebut dihidangkan kuih-muih, buah kurma dan agar-agar sebagai makanan ringan sebelum solat Maghrib berjemaah dan selepas selesai solat berjemaah, warga Teratak Rahmat dan peserta rombongan dihidangkan dengan santapan nasi berlauk ala kampung seperti sotong masak sambal, masak lemak rebung dan ikan kembung masak sambal.

Sesudah berbuka bersama-sama, peserta rombongan daripada Pertubuhan Kebajikan Al Nidaa' Malaysia bersolat Isyak berjemaah terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan mereka yang jauh dan kami warga Teratak Rahmat doakan agar perjalanan mereka semua akan dirahmati Allah s.a.w.

Warga Teratak Rahmat bergambar kenangan bersama ahli rombongan.

Kami sekali lagi memanjangkan rasa syukur kepada Allah atas sumbangan yang diberikan dan mengucapkan terima kasih atas sokongan dan sumbangan tersebut, yang amat bermakna kepada kami semua di Teratak Rahmat.

Allahu'aglam.

Laporan oleh:
Zahiri bin Zubir
Warden Litar Teratak Rahmat

Monday, September 7, 2009

Iftar dan Solat Terawih Bersama TNB dan PKPI

Pada 3 September 2009 yang lalu, sempena bulan puasa pada tahun ini, Pakatan TNB dan Persatuan Kebajikan Pekerja Islam (PKPI) pertama kalinya telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan bersama Teratak Rahmat di Bangunan Persatuan Al Islah. Teratak Rahmat menjadi sebuah rumah kebajikan yang bertuah apabila terpilih sebagai rumah kebajikan yang perlu dibantu oleh Pakatan TNB dan PKPI bagi kawasan zon utara pada tahun ini.

Majlis Berbuka Puasa tersebut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Pengerusi PKPI daripada Kuala Lumpur, Tuan Muhd Tarmizi Abdul Hamid dan Pengerusi Pakatan TNB Perlis, Tuan Saharenam Mukhtar yang turut bersama-sama dari awal program sehingga selesai solat terawih pada malam tersebut. Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Teratak Rahmat yang merangkap Naib Yang Dipertua Persatuan Al Islah Perlis, Tuan Haji Othman Hussin, rombongan daripada Pakatan TNB dan Persatuan Kebajikan Pekerja Islam serta warga Teratak Rahmat.


Semua yang menjayakan majlis bergambar kenang-kenangan.


Sempena bulan Ramadhan, majlis telah dimulakan dengan siraman ayat suci al-Quran dan intisarinya oleh Ustaz Zulkifli Ahmad merangkap Warden Tetap Teratak Rahmat. Kemudiannya majlis diteruskan dengan ucapan Pengerusi PKPI dan disusuli dengan Pengerusi Pakatan TNB Perlis yang menjelaskan peranan serta perjuangan masing-masing dan selain itu mereka juga menasihati anak-anak Rahmat agar sentiasa maju kehadapan, antaranya ialah Tuan Saharenam Mukhtar menyarankan Anak Teratak Rahmat hendaklah sentiasa berusaha dengan gitu dalam bidang akademik agar pada masa hadapan mereka dapat mengecap kehidupan yang berjaya dan cemerlang.

Selepas itu, Tuan Haji Othman Hussin pun menyampaikan taklimat dan ucapan balas dengan mengucapkan terima kasih kepada Pakatan TNB dan PKPI yang sangat perihatin kepada kebajikan dan anak-anak yatim. Selain itu, beliau juga turut memperjelaskan perkembangan awal Anak Rahmat semasa di sekolah, dimana terdapat banyak kes Anak Rahmat yang bersekolah rendah terpaksa dimasukkan ke kelas pemulihan dan ada yang terpaksa turun kelas sementara daripada tahun enam kepada tahun satu dengan tujuan yang baik setelah pelajaran mereka sebelum ini mungkin diabaikan ibu bapa masing-masing akibat kesempitan hidup.

Kemudiannya, majlis diteruskan dengan majlis penyampaian sumbangan kepada anak-anak Rahmat dan juga penyampaian saguhati kepada Pengerusi Teratak Rahmat yang diisempurnakan oleh Tuan Saharenam Mukhtar selaku Pengerusi Pakatan TNB.

Anak Rahmat berbuka bersama-sama rombongan Pakatan TNB dan PKPI

Pada petang tersebut, nyata anak Teratak Rahmat kelihatan sungguh gembira dengan sumbangan yang amat bermakna tersebut, kami warga Teratak Rahmat mengucapkan jutaan terima kasih atas keperihatinan Pakatan TNB Malaysia dan Persatuan Kebajikan Pekerja-pekerja Islam yang memilih Teratak Rahmat sebagai destinasi program kebajikan Pakatan TNB dan PKPI pada tahun ini.

Solat fardhu berjemaah bersama para tetamu.

Sesudah selesai acara tersebut, azan Maghrib pun berkumandang dan tanpa melengahkan masa majlis berbuka puasa pun diteruskan hidangan makanan ringan seperti kuih-muih, kurma dan bubur lambuk terlebih dahulu. Selepas selesainya solat Maghrib berjemaah maka bermulalah jamuan atau santapan sebenar pada hari itu iaitu nasi kuning yang dihidangkan secara 'buffet' bersama-sama ayam goreng berempah, acar, dalca, dan daging masak hitam.

Para tetamu dan warga Teratak Rahmat berbuka selepas bersolat jemaah.

Acara penutup pada malam itu ialah solat fardhu Isyak dan solat terawih berjemaah yang diselitkan dengan tazkirah daripada Ustaz Muhammad Ihsan bin Idris yang dijemput khas pada malam tersebut. Kami warga Teratak Rahmat mengucap terima kasih sekali lagi atas penyempunaan majlis yang bersejarah ini, bantuan dan sokongan daripada Pakatan TNB dan PKPI kepada pembangunan Teratak Rahmat, moga-moga Teratak Rahmat dapat melahirkan insan yang benar-benar cemerlang di akhirat dan juga di dunia.

Allahu'aglam.

Laporan oleh,
Zahiri bin Zubir.

Sunday, August 16, 2009

Pertandingan Mengemas Bilik Anak TR


Alhamdulillah,pada 8 haribulan Ogos tahun 2009 yang lepas, Teratak Rahmat telah berjaya menyempurnakan Pertandingan Mengemas Bilik Anak Teratak Rahmat buat kali pertama.

Pertandingan yang diadakan setiap 2 minggu ini telah berjaya menerapkan sikap ingin mengemas bilik daripada sampah, pencemaran udara dan debu, selain itu, anak-anak Teratak Rahmat juga sekarang amat bersemangat untuk menghias bilik dengan cantik dan sentiasa menitikberatkan elemen pendidikan harian mereka dalam projek bekerjasama semasa mengemas bilik masing-masing.

Anak TR hanya mempunyai 6 bilik dan setiap bilik dinamakan dengan T1 hingga T6, bilik T1, T2 dan T3 adalah bilik untuk asrama muslimin manakala bilik T4, T5 dan T6 adalah bilik untuk asrama muslimat.

Pertandingan buat kali pertama ini telah dimenangi oleh salah sebuah bilik yang bersih dari pencemaran udara dan debu iaitu bilik T5, bilik ini juga amat menitikberatkan kekemasan dari dalam bilik hingga ke loker baju yg tersusun dan meja 'study' yang kemas dan menarik sehingga berjay amengalahkan bilik yang lebih cantik dari mereka.

Sebagai ganjaran bilik yang mendapat tempat pertama akan mendapat hamper, manakala bilik yang mendapat tempat akhir akan dikenakan tindakan 'khas', dimana bilik T3 telah diperintahkan untuk membantu Kak Fiza dalam membuat kerja-kerja pembersihan kantin selama 2 minggu sebagai balasan atas sikap 'selesa' mereka dengan bilik yang tidak kemas.

Marilah kita melihat perubahan kepada Anak-anak TR dalam misi menjadikan bilik mereka sentiasa selamat daripada berada dalam kedudukan tercorot.

Sunday, June 21, 2009

Kunjungan Bermakna




Pada malam Ahad bersamaan 6 Jun 2009 yang lepas, Teratak Rahmat telah dilawati oleh rombongan Masjid Darul Ghufran, Tampines, Singapura.Rombongan ini adalah rombongan masjid yg pertama dari Singapura, sebuah negara yang mempunyai lebih kurang 70 buah masjid. Sambil melawat Kuala Perlis dan Langkawi pada tahun ini, Masjid Darul Ghufran telah memaklumkan 2 bulan lebih awal untuk ke Teratak Rahmat.

Pada malam yang meriah itu, Pengerusi Teratak Rahmat, Cikgu Osman Hussin dan Yang Dipertua Persatuan Al Islah Perlis, Dato' Alim Setia Ahmad Yusof Amin turut hadir untuk menyambut 2 bas tetamu dari negara republik itu. Majlis yang sederhana itu berjalan lancar mengikut agenda yang dirancang, Pengerusi Majlis pada malam itu, Encik Hazman bin Hassan terlebih dahulu memulakan majlis dengan ucapan alu-aluan dan pantun kepada ahli rombongan yang hadir. Kemudian diikuti amanat dari Pengerusi Teratak Rahmat berkenaan tujuan, perancangan dan keperluan Teratak Rahmat.

Selepas selesai amanat dari Cikgu Osman Hussin, tibalah saat-saat yang dinantikan oleh rombongan Masjid Darul Ghufran, iaitu untuk mendengar tazkirah Mufti Negeri Perlis, Dr. Juanda Jaya. Namun disebabkan masalah yang tidak dapat dielakkan, majlis diteruskan dengan menggantikan Dato' Alim Setia Ahmad Yusof Amin yang juga merangkap Penasihat Syariah Teratak Rahmat dan ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis sebagai penceramah pada malam itu.

Setelah selesai tazkirah berkenaan 'Ahli Sunnah Wal Jamaah' tersebut, program disambung dengan Pentomen 'Hulurkan Tangan Membantu', sebuah pentomen khas Teratak Rahmat yang telah menitiskan air mata hadirin pada malam tersebut. Untuk lebih menjiwai persembahan pentomen tersebut, bolehlah merujuk laman Youtube.com dengan tajuk 'Pentomen Teratak Rahmat'.



Kemudian disusuli pula dengan persembahan silat oleh Anak Rahmat dan warden Teratak Rahmat sebagai persembahan penutup pada malam itu, setelah selesai bersilat maka tibalah masanya wakil rombongan Masjid Darul Ghufran, Saudara Mirza Abdul Latin bin Mirza Abdul Latif untuk membalas pantun saudara Pengerusi Majlis dan seterusnya berucap pada malam itu. Namun bukan sekadar membalas pantun dan berucap rombongan ini juga turut menyampaikan sumbangan yang dikumpulkan sewaktu dalam perjalanan untuk ke Teratak Rahmat. Pihak Teratak Rahmat amat berterima kasih atas bantuan dan kesungguhan ahli rombongan pada malam tersebut.

Setelah selesai majlis pada malam itu, ahli rombongan dan warga Teratak Rahmat bersama-sama menikmati santapan malam yang disediakan, kemudiannya diteruskan dengan sesi bergambar kenang-kenangan sebelum rombongan Masjid Darul Ghufran pulang menuju destinasi berikutnya.
Program ini adalah salah satu program yang berharga bagi seluruh warga Teratak Rahmat dan disebut-sebut kami hingga dewasa ini.

Sunday, May 31, 2009

Kempen daripada Ustaz Hussein Yee

Teratak Rahmat amat mensyukuri nikmat yang diberi Allah dewasa ini, ditambah pula dengan nikmat ilmu dan kunjungan Pengerusi Baitulmal Negeri Perlis dan Yang Dipertua Persatuan Al Islah Perlis serta orang ramai khasnya Ustaz Hussein Yee yang datang mengunjungi dan memberi kuliah khas semata-mata untuk mengajak orang ramai menginfakkan harta kepada Teratak Rahmat kerana Allah s.w.t.

Program yang amat bermakna ini berjaya dilaksanakan dengan jayanya pada 1Mei 2009 anjuran Persatuan Al Islah Perlis di dewan Bangunan Al Islah dimana bangunan inilah juga adalah asrama dan dewan kuliah semasa Teratak Rahmat sementara menanti penyelesaian masalah kewangan untuk membina Asrama Teratak Rahmat yang sebenarnya di tapak sendiri.

Ustaz Hussein Yee di dalamnya kuliahnya, beliau turut menekankan agar Teratak Rahmat tidak mudah tunduk dengan apa jua fitnah dan ujian malah beliau memperingatkan warga Teratak Rahmat bahawa ujian Allah pasti hadir tidak kira dari dalam atau luar, selepas ini.

Selain berpesan kepada warga Teratak Rahmat, beliau juga cuba memanfaatkan masa yang ada untuk menyedarkan para hadirin tentang untungnya menginfakkan harta di jalan Allah bagi setiap orang yang beriman dan beliau juga menerangkan tentang betapa ruginya orang-orang beriman sekiranya mereka takut untuk mengeluarkan sebahagian harta mereka untuk orang lain kerana Allah s.w.t.

Siraman rohani yang dicurahkan oleh Ustaz Hussein Yee tidak lengkap sekiranya kita hanya sekadar membaca coretan ini, oleh itu, disini kami turut cuba sediakan kemudahan untuk ‘download’ rakaman suara Ustaz Hussein Yee tersebut pada masa akan datang.

Ucapan terima kasih kami dahulukan kepada semua yang sudi hadir dan menyumbang kepada Teratak Rahmat terutamanya sumbangan permulaan yang bermakna dari Pengerusi Baitulmal Negeri Perlis.

Segala yang dilaksanakan pada hari ini diharap tidak terhenti sekadar itu, moga-moga ianya berterusan sehinggalah selesai masalah-masalah Teratak Rahmat yang lain seperti kekurangan dana untuk membina bangunan sendiri dan turut menjadi harapan Teratak Rahmat untuk menambah lagi anak-anak miskin atau yatim pada masa akan datang. Moga-moga perjuangan untuk meramaikan kembali pemuda dan pemudi yang tunduk dan patuh pada Allah ini tidak terhenti pada masa akan datang, bersamalah kita berjuang menyelamatkan manusia sejagat.
Allahu a'lam.

Antara Bantuan Lain :




Sunday, May 10, 2009

Diskusi Buku ' Tafsir Al Azhar'


Tajuk: TafsirAl-Azhar

Penulis: HAMKA

Pengulas: Ustaz Hazman bin Hassan

“ Barangsiapa yang telah menanam jasa, satu saat kelak dia akan beroleh hasil dari jasanya itu. Kemuliaan akan menjadi pengiringnya ke mana pun dia pergi. Kalau orang yang sama hidup dengan dia melupakan, namun setelah matinya orang yang kemudian akan membongkar kemuliaan itu kembali dan menyatakannya ke muka khalayak. Orang yang berjasa tidak boleh gamang dan kecewa jika di masa hidupnya dilupakan orang. Orang tidak boleh menyesal jika tinggal di sebuah gubuk yang buruk. Tidak boleh kecewa jika makan minumnya dan pakaiannya tidak semewah orang lain. Sebab kelak buah tangannya akan menjadi modal kemajuan angkatan yang akan datang.”

Dipetik dari karya Hamka ‘Falsafah Hidup’

BAGI memupuk pelajar meminati bahan bacaan,Program Diskusi Buku diteruskan bagi sesi kedua di Dewan Al Islah Perlis baru-baru ini.Seramai lebih 30 remaja mengambil bahagian dalam program yang dianjurkan oleh Anjung Maklumat Islah (AMI) ini. Pada sesi kali ini, AMI menjemput Ustaz Hazman bin Hassan untuk mengulas Tafsir Al-Azhar yang ditulis oleh HAMKA ketika beliau dipenjarakan oleh Sukarno, Ustaz Hazman adalah seorang pensyarah dari Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Di hadapan anak-anak Teratak Rahmat ini, beliau telah berjaya mengulas dengan jelas dan berinformasi tentang kepayahan Hamka untuk menyiapkan sebuah kitab tafsir lengkap Al-Quran Al Karim ketika beliau dalam penjara.

HAMKA (1908-1981), adalah akronim kepada nama sebenar Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah. Beliau adalah seorang ulama, aktivis politik dan penulis Indonesia yang amat terkenal di alam Nusantara. Beliau lahir pada 17 Februari 1908 di kampung Molek, Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia. Ayahnya ialah Syeikh Abdul Karim bin Amrullah atau dikenali sebagai Haji Rasul, seorang pelopor Gerakan Islah (tajdid) di Minangkabau, sekembalinya dari Makkah pada tahun 1906.

Hamka mendapat pendidikan rendah di Sekolah Dasar Maninjau sehingga kelas dua. Ketika usia HAMKA mencapai 10 tahun, ayahnya telah mendirikan Sumatera Thawalib di Padang Panjang. Di situ Hamka mempelajari agama dan mendalami bahasa Arab. Hamka juga pernah mengikuti pengajaran agama di surau dan masjid yang diberikan ulama terkenal seperti Syeikh Ibrahim Musa, Syeikh Ahmad Rasyid, Sutan Mansur, R.M. Surjopranoto dan Ki Bagus Hadikusumo.

Hamka mula-mula bekerja sebagai guru agama pada tahun 1927 di Perkebunan Tebing Tinggi, Medan dan guru agama di Padang Panjang pada tahun 1929. Hamka kemudian dilantik sebagai dosen di Universitas Islam, Jakarta dan Universitas Muhammadiyah, Padang Panjang dari tahun 1957 hingga tahun 1958. Setelah itu, beliau diangkat menjadi rektor Perguruan Tinggi Islam, Jakarta dan Profesor Universitas Mustopo, Jakarta. Dari tahun 1951 hingga tahun 1960, beliau menjabat sebagai Pegawai Tinggi Agama oleh Menteri Agama Indonesia, tetapi meletakkan jabatan itu ketika Sukarno menyuruhnya memilih antara menjadi pegawai negeri atau bergiat dalam politik Majelis Syuro Muslimin Indonesia (Masyumi).


Hamka adalah seorang otodidiak dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan seperti filsafat, sastra, sejarah, sosiologi dan politik, baik Islam maupun Barat. Dengan kemahiran bahasa Arabnya yang tinggi, beliau dapat menyelidiki karya ulama dan pujangga besar di Timur Tengah seperti Zaki Mubarak, Jurji Zaidan, Abbas al-Aqqad, Mustafa al-Manfaluti dan Hussain Haikal.
Melalui bahasa Arab juga, beliau meneliti karya sarjana Perancis, Inggris dan Jerman seperti Albert Camus, William James, Sigmund Freud, Arnold Toynbee, Jean Paul Sartre, Karl Marx dan Pierre Loti. Hamka juga rajin membaca dan bertukar-tukar pikiran dengan tokoh-tokoh terkenal Jakarta seperti HOS Tjokroaminoto, Raden Mas Surjopranoto, Haji Fachrudin, Ar Sutan Mansur dan Ki Bagus Hadikusumo sambil mengasah bakatnya sehingga menjadi seorang ahli pidato yang handal.

Hamka pernah menerima beberapa anugerah pada peringkat nasional dan antarabangsa seperti anugerah kehormatan Doctor Honoris Causa, Universitas al-Azhar, 1958; Doktor Honoris Causa, Universitas Kebangsaan Malaysia, 1974; dan gelar Datuk Indono dan Pengeran Wiroguno dari pemerintah Indonesia.

Hamka telah pulang ke rahmatullah pada 24 Julai 1981, namun jasa dan pengaruhnya masih terasa sehingga kini dalam memartabatkan agama Islam. Beliau bukan sahaja diterima sebagai seorang tokoh ulama dan sasterawan di negara kelahirannya, malah jasanya di seluruh alam Nusantara, termasuk Malaysia dan Singapura, turut dihargai.

Antara karya beliau adalah:
  1. Hak Asasi Manusia dipandang dari segi Islam 1968.
  2. Falsafah Ideologi Islam 1950(sekembali dr Mekkah).
  3. Keadilan Sosial dalam Islam 1950 (sekembali dr Mekkah).
  4. Cita-cita kenegaraan dalam ajaran Islam (Kuliah umum) di Universiti Keristan 1970.
  5. Studi Islam 1973, diterbitkan oleh Panji Masyarakat.
  6. Himpunan Khutbah-khutbah.
  7. Urat Tunggang Pancasila.
  8. Doa-doa Rasulullah S.A.W,1974.
  9. Sejarah Islam di Sumatera.
  10. Bohong di Dunia.
  11. Muhammadiyah di Minangkabau 1975,(Menyambut Kongres Muhammadiyah di Padang).
  12. Pandangan Hidup Muslim,1960.
  13. Kedudukan perempuan dalam Islam,1973.


Wednesday, April 1, 2009

Akaun Teratak Rahmat

Untuk makluman semua, akaun Bank Teratak Rahmat TELAH DITUKAR (1 APRIL 2009).Untuk keterangan lanjut serta untuk menyalurkan sumbangan tunai, pihak kami boleh dihubungi sebagaimana yang tertera di atas atau melalui telefon (Azwar @ 019-4776482). Bagi tujuan bank-in, sumbangan boleh dimasukkan ke akaun Bank Muamalat TERATAK RAHMAT di nombor akaun 0901-0019362-72-9.



Akaun MAYBANK bernombor 164070471200 atas nama Azwar Ibrahim juga boleh digunakan.Akaun bank lain juga boleh diusahakan dengan permintaan. Selepas itu mohon maklumkan kami berkenaan deposit tersebut untuk resit disediakan

Sekiranya anda mahu menyumbang dengan cek, tuliskan cek anda atas nama
TERATAK RAHMAT
. (Di belakang cek, sila tuliskan Teratak Rahmat dan program khusus yang mahu anda bantu, sekiranya ada.)

Hantarkan cek anda kepada:
Pengerusi Teratak Rahmat
d/a Pusat Pengajian Persatuan Al-Islah Perlis
Km 1.2, Jalan Mata Ayer
02600 Mata Ayer
Perlis, Malaysia


Teratak Rahmat kini menyediakan kemudahan untuk pemilik akaun Bank CIMB menyumbang untuk kebajikan anak-anak yatim/miskin di bawah jagaannya. Di samping akaun Bank Muamalat dan akaun Maybank yang sedia ada, kini salurkanlah bantuan ikhlas anda ke akaun CIMB bernombor 14330001133200 atas nama Hazman Hassan.

Firman Allah, maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian daripada apa yang telah Kami kurniakan kepada kamu, sebelum tibanya hari (Kiamat) yang tidak ada jual beli padanya dan tidak ada kawan-teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, merekalah orang-orang yang zalim ”

(al-Baqarah:254)

Wednesday, March 18, 2009

Kad Teratak Rahmat Untuk Mufti

video

Sila Klik Di Sini Untuk Rakaman Berikutnya..
Pada pagi ahad 22 Februari 2009, Persatuan Al-Islah Perlis telah menganjurkan majlis ceramah ta’aruf antara masyarakat Islam Perlis dengan Mufti Kerajaan Perlis yang baru. Kebetulan program ini adalah program bersama masyarakat yang pertama dihadiri oleh mufti selepas dilantik secara rasmi ke jawatan tersebut pada 3 Februari 2009.

eeeeeeeeeeeeeeeeeeeekkkkkkkkkGambar ini dipetik daripada Berita Harian

Beliau yang dimaksudkan adalah Sahibus Samahah Dr. Juanda Jaya yang menggantikan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (sila lihat blog beliau di http://drjuanda.blogspot.com/ serta ikuti juga ruangan rencana mingguan beliau iaitu TAJDID IMAN di akhbar Berita Harian ).
Mufti muda berkelulusan PhD dalam pengajian syariah daripada UKM Bangi serta berpengalaman luas dalam pentadbiran hal-ehwal Islam di Sarawak. Dr Juanda juga merupakan pengarang dan penterjemah buku-buku Islami yang prolifik. Berikut adalah contoh-contoh buku karangan beliau yang digarap dengan fakta yang sahih tetapi dimuatkan dengan pendekatan ‘ringan’ supaya mudah dihayati oleh golongan yang baru berjinak-jinak mempelajari Islam menerusi bacaan:
Anak kelahiran Sibu di Bumi Kenyalang ini ini tidaklah asing kepada umat Islam di Perlis. Tambahan pula sudah sekian lama Dr Juanda menganggotai Jawatankuasa Syariah Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang bertindak sebagai majlis fatwa bagi Negeri Perlis:
(lihat berita di Utusan Malaysia 29 Januari 2009: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0129&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_29.htm&arc=hive ).

Majlis telah berjalan lancar di mana lebih 300 orang telah meluangkan masa hampir dua setengah jam untuk meneliti ceramah ta’aruf Dr. Juanda. Seterusnya majlis disambung dengan sesi soal-jawab yang hangat tetapi penuh ukhuwwah Islamiyyah selepas itu.

Demi untuk mendalamkan ilmu tentang agama Allah ini, seluruh keluarga besar Teratak Rahmat baik warden mahupun Anak-anak Rahmat telah mengambil peluang keemasan dengan menghadiri majlis ini.


Sebagai menzahirkan rasa gembira dengan kedatangan beliau, Anak-anak Rahmat telah menyediakan sekeping kad ucapan Selamat Bertugas kepada Sahibus Samahah Dr. Juanda. Untuk itu seorang Anak Rahmat, adik Mohd Alias Bin Abdul Rahim (10 tahun) telah dijemput mewakili keluarga besar Teratak Rahmat untuk menyampaikan kad comel serba sederhana tersebut kepada beliau.

Selamat berjuang Sahibus Samahah Dr. Juanda, janganlah dilupa kami di Teratak Rahmat

Laporan Oleh:
Zuraida Zubir
Warden Teratak Rahmat