Sunday, November 23, 2008

Sejarah & Latarbelakang

Program memperjuangkan nasib golongan terpinggir, khususnya anak-anak yatim/miskin telah dijalankan oleh beberapa ahli jawatankuasa Teratak Rahmat secara informal semenjak 1990 lagi. Dalam tempoh itu, banyak anak-anak yatim/miskin dan golongan terpinggir seperti bohsia dan penagih dadah berjaya dibawa pulang ke pangkal jalan, serta kini menyumbang kembali sebagai anggota masyarakat yang produktif.

Para sukarelawan yang mengendalikan program-program ini lama-kelamaan sedar bahawa golongan terpinggir mempunyai permasalahan yang melampaui skop program yang ditawarkan. Satu daripada isu tersebut adalah bagaimana untuk memastikan bimbingan yang diberikan dapat berterusan secara harian dan tidak berakhir sekadar beberapa hari mereka menyertai program-program yang diadakan.

Adalah disedari bahawa bagi sesetengah anak-anak ini, rumah mereka sendiri tidak lebih baik daripada sebuah ‘neraka dunia’ akibat pengabaian, penderaan dan eksploitasi fizikal, mental dan seksual oleh keluarga/penjaga sendiri. Ini disebabkan golongan ibu-bapa, keluarga dan penjaga mereka sendiri bukan sahaja miskin harta, malah miskin ilmu dan miskin iman. Ada yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang lengkap, oleh itu mereka tidak berpeluang mendapat hak-hak yang dinikmati oleh warganegara. Justeru itu lahirlah keperluan untuk mengasaskan sebuah rumah perlindungan harian.

Selepas melakukan beberapa sesi intensif percambahan fikiran, merancang dan usaha-usaha bermuafakat, Persatuan Al-Islah Perlis, Silat Pusaka Tujuh dan PERINTIS Perlis menyanggupi untuk berkerjasama dengan para sukarelawan bagi menggalas amanah yang besar ini. Dengan itu Teratak Rahmat menjadi realiti secara secara rasmi sebagai badan autonomi di bawah naungan Persatuan Al-Islah Perlis.

No comments: