Sunday, November 23, 2008

Program-program Kami

Terdapat 4 program utama Teratak Rahmat:
  1. ASRAMA HARIAN, iaitu asrama yang menempatkan penghuni tetap Teratak Rahmat. Pada waktu pagi, penghuni akan ke sekolah menengah berhampiran untuk menimba ilmu. Selepas waktu persekolahan, Teratak Rahmat menjadi ‘sekolah’ yang memantapkan lagi penghayatan keagamaan menerusi sesi hafazan al-Qur’an dan hadith, solat berjam’aah dan kuliah maghrib, kelas kemahiran, latihan silat, penyeliaan kerja-kerja rumah yang diberikan oleh guru di sekolah, serta program-program pembinaan syakhsiyah penghuni. Kini Teratak Rahmat kekurangan sumber kewangan dan kemudahan penginapan untuk menerima lebih ramai penghuni
  2. MA’HAD SABTU AHAD (MSA), iaitu sekolah hujung minggu atau weekend school yang berkonsep hampir sama dengan Asrama Harian. Akan tetapi bezanya adalah peserta MSA hanya berkampung di Teratak Rahmat bermula pada petang jumaat sehingga petang ahad sahaja. Untuk MSA, Teratak Rahmat masih memiliki kekangan kewangan dan tempat untuk menerima pertambahan peserta. Kami sesungguhnya mencari para penaja yang dapat menyumbangkan bahan-bahan mentah makanan yang dapat dimasak oleh para sukarelawan dan peserta MSA secara bergotong-royong.
  3. ‘TETAMU SEMALAM’ – Teratak Rahmat menerima kes-kes yang dirujukkan oleh masyarakat atau dikesan sendiri oleh sukarelawan Teratak Rahmat, khasnya untuk mengatasi masalah lari dari rumah, buang bayi, keganasan rumah-tangga, penderaan kanak-kanak, kehamilan remaja, kahwin lari, krisis dengan keluarga, kemiskinan kronik dan sebagainya. Peserta ditempatkan secara sementara di Teratak Rahmat sebelum diberikan kaunseling dan disatukan semula dengan keluarga/penjaga masing-masing. Keselamatan peserta juga dijaga dengan ketat oleh warden-warden Teratak Rahmat.
  4. TEMUSERU/OUTREACH – Kami berkerjasama dengan masyarakat akar-umbi untuk menangani masalah sosial yang wujud bagi membantu golongan terpinggir dengan Teratak Rahmat memberikan bantuan awal, sebelum mereka dirujukkan kepada agensi-agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan yang berkaitan. Satu projek temuseru yang tergendala akibat kekurangan dana apabila program pemulihan bohsia di mana 5 orang bohsia yang mengalami masalah ketagihan dadah, arak dan seks diberikan kaunseling untuk dibawa pulang ke pangkal jalan.

No comments: