Sunday, November 23, 2008

Perkembangan Teratak Rahmat

1. PROGRAM SERIBU SEJAHTERA

HANYA RM 2.80 SEHARI

Firman Allah:

Maksudnya:

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan bagi (sesiapa yang dikehendaki-Nya); DAN APA SAHAJA YANG KAMU SEDEKAHKAN MAKA ALLAH AKAN MENGGANTIKANNYA KEMBALI; dan Dia lah jua sebaik-baik pemberi rezeki”

( Al-Quran,Surah Saba’: Ayat 39 )

Program ' SERIBU SEJAHTERA ' adalah usaha pengumpulan dan pengagihan sedekah untuk perbelanjaan pembelian dan pembinaan aset serta pengoperasian Teratak Rahmat. Matlamat jangka pendek program ' SERIBU SEJAHTERA ' ini adalah untuk mengumpulkan dana sekurang-kurangnya sebanyak RM100,000 untuk pengoperasian Teratak Rahmat sepanjang tahun 2009.
' SERIBU ' merujuk kepada RM1000 di mana Jawatankuasa Teratak Rahmat dengan rendah hati mencadangkan kepada setiap individu secara perseorangan ataupun suami-isteri/keluarga/rumah secara berkongsi dapat mengambil kesempatan dengan menyumbang sekurang-kurangnya RM1000 setahun. Seribu juga membawa makna banyak dalam ungkapan bahasa Melayu.
' SEJAHTERA' pula bermakna ‘aman dan makmur, senang dan tenteram, terpelihara daripada bencana (kesusahan, gangguan dan lain-lain)’. Kaitan antara sedekah dengan sejahtera dapat difahami apabila kelebihan sedekah difahami. Dengan mengemukakan ratusan dalil daripada al-Qur’an dan hadith sahih, Syeikh Ali Ibn Muhammad al-Dahhami dalam karangannya al-Sadaqatu Fada’iluha wa Anwa’uha menyenaraikan faedah sedekah kepada 20 kelebihan utama seperti berikut:
  1. Sedekah dapat memadamkan kemurkaan Allah
  2. Sedekah dapat menghapuskan dosa
  3. Sedekah merupakan pelindung daripada api neraka
  4. Orang yang bersedekah dipayungi oleh sedekahnya pada Hari Kiamat
  5. Sedekah dapat mengubati penyakit-penyakit fizikal
  6. Sedekah boleh merawat penyakit-penyakit hati / psikospiritual
  7. Sedekah menolak berbagai-bagai jenis bala
  8. Seorang hamba Allah itu akan mencapai hakikat al-Birr (kebaikan) hanya dengan sedekah
  9. Orang yang bersedekah setiap hari akan didoakan balasan yang baik oleh malaikat, akan tetapi sebaliknya kepada orang yang enggan bersedekah
  10. Harta orang yang bersedekah diberkati oleh Allah
  11. Tidak akan tertinggal harta kepada pemiliknya melainkan harta itu daripada kumpulan harta yang disedekahkan
  12. Allah melipat-gandakan pahala kepada orang yang bersedekah
  13. Orang yang bersedekah akan masuk ke syurga daripada pintu khusus yang dinamakan Pintu Sedekah
  14. Apabila terkumpul amalan sedekah, bersama puasa sunnat, mengiringi jenazah dan menziarahi orang sakit pada satu hari, maka dijanjikan balasan syurga
  15. Sedekah dapat melapangkan dada, melega dan mententeramkan hati
  16. Apabila orang yang bersedekah juga orang yang berilmu, maka dia berada pada kedudukan paling utama di sisi Allah
  17. Rasulullah menempatkan orang kaya yang rajin bersedekah seperti al-Qur’an yang rajin dibaca
  18. Sedekah di jalan Allah bersama-sama dengan pengorbanan nyawa merupakan penunaian janji antara seorang hamba dengan Allah dan menyempurnakan ikrar yang dibuat oleh hamba tersebut
  19. Sedekah merupakan bukti kebenaran iman seorang hamba Allah
  20. Sedekah dapat membersihkan harta dan mengikis kotoran yang menghinggapi harta akibat perbuatan sia-sia, sumpah, dusta dan kelalaian
Maka tidak keterlaluan dikatakan bahawa sejahtera adalah perkataan tunggal dalam bahasa Melayu yang paling hampir untuk merumuskan pelbagai kelebihan duniawi dan ukhrawi bagi orang-orang mukmin yang bersedekah. Oleh yang demikian, bertemulah kesejahteraan dengan kelebihan yang banyak dalam program SERIBU SEJAHTERA.
Justeru itu kami di Teratak Rahmat bersyukur kepada Allah apabila dapat melancarkan program SERIBU SEJAHTERA sebagai wadah untuk bersedekah dan beramal soleh di antara golongan yang diberikan kelebihan harta oleh Allah dengan golongan yang kurang bernasib baik. TERATAK RAHMAT menyediakan borang penyertaan program, menguruskan agihan sedekah, mengeluarkan resit dan membuat laporan berkala mengenai perkembangan pembiayaan daripada sumbangan sedekah ' SERIBU SEJAHTERA ' ini.
Bermula Januari 2009, sumbangan RM1000 bagi setiap individu / pasangan suami-isteri / keluarga / rumah bolehlah disalurkan kepada Teratak Rahmat menurut pendekatan di bawah :
  • RM1000 sekaligus atau
  • RM500 setiap 6 bulan atau
  • RM333 setiap 4 bulan atau
  • RM250 setiap 3 bulan atau
  • RM100 setiap bulan X 10 bulan atau
  • RM84 setiap bulan X 12 bulan (bersamaan RM2.80 SEHARI) **)
  • Bagi sumbangan yang mahu dibuat dalam tempoh melebihi satu (1) tahun, pendekatan berikut boleh dipertimbangkan:
  • RM50 setiap bulan X 20 bulan atau
  • RM25 setiap bulan X 40 bulan
Adapun sumbangan yang tidak mencapai jumlah terkumpul RM1000 turut dialu-alukan oleh Teratak Rahmat dengan penuh kesyukuran.
Para penyumbang juga diseru untuk mempromosikan program ini di kalangan saudara-mara, sahabat-handai dan rakan sekerja. Semoga sedekah Tuan/Puan yang tulus-ikhlas diterima oleh Allah serta dapat membantu saudara-saudara seIslam yang ditimpa kesusahan.

Yang Benar
Othman Haji Husin
Pengerusi Teratak Rahmat

No comments: