Sunday, November 23, 2008

Apakah Teratak Rahmat?


Teratak Rahmat adalah rumah kebajikan dan pusat aktiviti kepada anak-anak yatim/miskin serta lain-lain golongan yang terpinggir, khususnya di Negeri Perlis. Berusaha untuk menyediakan persekitaran yang selamat, sihat, penyayang serta diredai Allah, Teratak Rahmat kini memulakan program rintis dengan menerima 20 orang penghuni lelaki dan perempuan yang terdiri daripada anak-anak yatim/miskin.Para penghuni diberikan perlindungan, makanan serta pendidikan akademik dan agama serta disediakan pelbagai aktiviti yang sihat.
Pada hujung minggu pula, Teratak Rahmat menerima tambahan peserta, di mana Ma’had Sabtu Ahad (MSA) dijalankan sebagai weekend school. Kebanyakan peserta adalah berusia belasan tahun, tetapi peserta yang berusia di bawah 12 tahun juga semakin bertambah. Kini Teratak Rahmat menampung hampir 70 orang penghuni tetap dan peserta mingguan yang berdaftar.
Siapakah penghuni Teratak Rahmat? Kebanyakannya adalah anak-anak yang miskin dan teraniaya daripada sekitar Perlis dan Kedah. Dalam kebanyakan hal, keperluan pendidikan dan kehidupan mereka yang asas tidak dapat dipenuhi, dan ada kes di mana orang dewasa yang sepatutnya menjaga mereka tidak menjalankan tanggungjawab. Oleh itu, mereka diselamatkan daripada pelbagai risiko yang boleh menggelapkan masa depan mereka dan dijaga di Teratak Rahmat.
Teratak Rahmat adalah badan muafakat yang diberikan kuasa autonomi di bawah Persatuan Al-Islah Perlis, sebuah pertubuhan bukan kerajaan berteraskan agama dan kerohanian yang terbesar di Perlis. Justeru itu Teratak Rahmat berazam untuk membantu dengan sedaya upaya segenap golongan yang memerlukan.

No comments: