Friday, December 26, 2008

Majlis Ukhwwah Teratak Rahmat

Alhamdulillah, pada 6 Disember 2008-Teratak Rahmat telah berjaya menganjurkan 'Majlis Ukhwwah Teratak Rahmat' buat pertama kalinya. Majlis sempena pelancaran blog Teratak Rahmat dan pengumuman program lanjutan Teratak Rahmat iaitu Anjung Maklumat Islah
( A.M.I) dan Taska Kanak-kanak ( I-Kids) ini dijayakan dalam keadaan sederhana tetapi meriah dang lancar.



Untuk maklumat selanjutnya ( Sila Klik Di Sini )

Sunday, November 23, 2008

Apakah Teratak Rahmat?


Teratak Rahmat adalah rumah kebajikan dan pusat aktiviti kepada anak-anak yatim/miskin serta lain-lain golongan yang terpinggir, khususnya di Negeri Perlis. Berusaha untuk menyediakan persekitaran yang selamat, sihat, penyayang serta diredai Allah, Teratak Rahmat kini memulakan program rintis dengan menerima 20 orang penghuni lelaki dan perempuan yang terdiri daripada anak-anak yatim/miskin.Para penghuni diberikan perlindungan, makanan serta pendidikan akademik dan agama serta disediakan pelbagai aktiviti yang sihat.
Pada hujung minggu pula, Teratak Rahmat menerima tambahan peserta, di mana Ma’had Sabtu Ahad (MSA) dijalankan sebagai weekend school. Kebanyakan peserta adalah berusia belasan tahun, tetapi peserta yang berusia di bawah 12 tahun juga semakin bertambah. Kini Teratak Rahmat menampung hampir 70 orang penghuni tetap dan peserta mingguan yang berdaftar.
Siapakah penghuni Teratak Rahmat? Kebanyakannya adalah anak-anak yang miskin dan teraniaya daripada sekitar Perlis dan Kedah. Dalam kebanyakan hal, keperluan pendidikan dan kehidupan mereka yang asas tidak dapat dipenuhi, dan ada kes di mana orang dewasa yang sepatutnya menjaga mereka tidak menjalankan tanggungjawab. Oleh itu, mereka diselamatkan daripada pelbagai risiko yang boleh menggelapkan masa depan mereka dan dijaga di Teratak Rahmat.
Teratak Rahmat adalah badan muafakat yang diberikan kuasa autonomi di bawah Persatuan Al-Islah Perlis, sebuah pertubuhan bukan kerajaan berteraskan agama dan kerohanian yang terbesar di Perlis. Justeru itu Teratak Rahmat berazam untuk membantu dengan sedaya upaya segenap golongan yang memerlukan.

Kata-kata Aluan Pengerusi


Dengan pengalaman selama beberapa lama sebagai pendidik dan aktivis masyarakat, saya dan ahli jawatankuasa terpanggil untuk menubuhkan Teratak Rahmat. Sudah sekian waktu, masalah-masalah sosial yang wujud khususnya di Perlis tidak dikendalikan secara terancang dan bersistematik oleh masyarakat akar-umbi.
Justeru itu Teratak Rahmat berusaha memberikan harapan kepada golongan yang terpinggir bahawa masih wujud banyak pilihan di jalan kebaikan dan keimanan, daripada terjebak di jalan kejahatan dan kemunkaran dalam mengatasi ujian hidup masing-masing. Teratak Rahmat berikhtiar untuk menginsafkan ahli masyarakat bahawa kehidupan dan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah adalah amat bernilai, wajar disyukuri dan patut dikongsi bersama dengan orang lain. Teratak Rahmat turut berusaha untuk menjadi pusat rujukan antara golongan terpinggir dan masyarakat akar-umbi, dengan agensi-agensi kerajaan dan badan-badan lain.
Kami di Teratak Rahmat sesungguhnya insaf bahawa dengan kami berjuang memperkasakan golongan terpinggir dan mengupayakan mereka dengan kemahiran ukhrawi dan duniawi, maka itulah ‘anugerah taqwa’ yang tidak ternilai harganya kepada kami. Untuk golongan terpinggir, kami ada wawasannya.
R.A.H.M.A.T – Rahmat Allah Hadir Membawa Anugerah Taqwa
Salam Hormat
Haji Othman Hussin
Zulqa’idah 1429 H/ November 2008M

Sejarah & Latarbelakang

Program memperjuangkan nasib golongan terpinggir, khususnya anak-anak yatim/miskin telah dijalankan oleh beberapa ahli jawatankuasa Teratak Rahmat secara informal semenjak 1990 lagi. Dalam tempoh itu, banyak anak-anak yatim/miskin dan golongan terpinggir seperti bohsia dan penagih dadah berjaya dibawa pulang ke pangkal jalan, serta kini menyumbang kembali sebagai anggota masyarakat yang produktif.

Para sukarelawan yang mengendalikan program-program ini lama-kelamaan sedar bahawa golongan terpinggir mempunyai permasalahan yang melampaui skop program yang ditawarkan. Satu daripada isu tersebut adalah bagaimana untuk memastikan bimbingan yang diberikan dapat berterusan secara harian dan tidak berakhir sekadar beberapa hari mereka menyertai program-program yang diadakan.

Adalah disedari bahawa bagi sesetengah anak-anak ini, rumah mereka sendiri tidak lebih baik daripada sebuah ‘neraka dunia’ akibat pengabaian, penderaan dan eksploitasi fizikal, mental dan seksual oleh keluarga/penjaga sendiri. Ini disebabkan golongan ibu-bapa, keluarga dan penjaga mereka sendiri bukan sahaja miskin harta, malah miskin ilmu dan miskin iman. Ada yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang lengkap, oleh itu mereka tidak berpeluang mendapat hak-hak yang dinikmati oleh warganegara. Justeru itu lahirlah keperluan untuk mengasaskan sebuah rumah perlindungan harian.

Selepas melakukan beberapa sesi intensif percambahan fikiran, merancang dan usaha-usaha bermuafakat, Persatuan Al-Islah Perlis, Silat Pusaka Tujuh dan PERINTIS Perlis menyanggupi untuk berkerjasama dengan para sukarelawan bagi menggalas amanah yang besar ini. Dengan itu Teratak Rahmat menjadi realiti secara secara rasmi sebagai badan autonomi di bawah naungan Persatuan Al-Islah Perlis.

Program-program Kami

Terdapat 4 program utama Teratak Rahmat:
  1. ASRAMA HARIAN, iaitu asrama yang menempatkan penghuni tetap Teratak Rahmat. Pada waktu pagi, penghuni akan ke sekolah menengah berhampiran untuk menimba ilmu. Selepas waktu persekolahan, Teratak Rahmat menjadi ‘sekolah’ yang memantapkan lagi penghayatan keagamaan menerusi sesi hafazan al-Qur’an dan hadith, solat berjam’aah dan kuliah maghrib, kelas kemahiran, latihan silat, penyeliaan kerja-kerja rumah yang diberikan oleh guru di sekolah, serta program-program pembinaan syakhsiyah penghuni. Kini Teratak Rahmat kekurangan sumber kewangan dan kemudahan penginapan untuk menerima lebih ramai penghuni
  2. MA’HAD SABTU AHAD (MSA), iaitu sekolah hujung minggu atau weekend school yang berkonsep hampir sama dengan Asrama Harian. Akan tetapi bezanya adalah peserta MSA hanya berkampung di Teratak Rahmat bermula pada petang jumaat sehingga petang ahad sahaja. Untuk MSA, Teratak Rahmat masih memiliki kekangan kewangan dan tempat untuk menerima pertambahan peserta. Kami sesungguhnya mencari para penaja yang dapat menyumbangkan bahan-bahan mentah makanan yang dapat dimasak oleh para sukarelawan dan peserta MSA secara bergotong-royong.
  3. ‘TETAMU SEMALAM’ – Teratak Rahmat menerima kes-kes yang dirujukkan oleh masyarakat atau dikesan sendiri oleh sukarelawan Teratak Rahmat, khasnya untuk mengatasi masalah lari dari rumah, buang bayi, keganasan rumah-tangga, penderaan kanak-kanak, kehamilan remaja, kahwin lari, krisis dengan keluarga, kemiskinan kronik dan sebagainya. Peserta ditempatkan secara sementara di Teratak Rahmat sebelum diberikan kaunseling dan disatukan semula dengan keluarga/penjaga masing-masing. Keselamatan peserta juga dijaga dengan ketat oleh warden-warden Teratak Rahmat.
  4. TEMUSERU/OUTREACH – Kami berkerjasama dengan masyarakat akar-umbi untuk menangani masalah sosial yang wujud bagi membantu golongan terpinggir dengan Teratak Rahmat memberikan bantuan awal, sebelum mereka dirujukkan kepada agensi-agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan yang berkaitan. Satu projek temuseru yang tergendala akibat kekurangan dana apabila program pemulihan bohsia di mana 5 orang bohsia yang mengalami masalah ketagihan dadah, arak dan seks diberikan kaunseling untuk dibawa pulang ke pangkal jalan.

Sumbangan Kepada Teratak Rahmat



KENAPA KAMI PERLUKAN SOKONGAN ANDA?

Janganlah dianggap sumbangan anda tidak seberapa. Sesungguhnya sedikit manapun sumbangan anda, manfaat yang dibawanya adalah besar dan berpanjangan.
Kesemua program dijalankan oleh para sukarelawan di mana Teratak Rahmat hanya mampu menggajikan warden tetap yang bertugas 24 jam dengan elaun RM300 sebulan. Oleh itu kami amat mengharapkan sumbangan, sedekah, wakaf dan zakat daripada pelbagai pihak dan agensi untuk memberikan kepada keperluan asas dahulu kepada para penghuni tetap, peserta mingguan dan peserta khas Teratak Rahmat. Selepas keperluan asas dipenuhi, barulah aktiviti-aktiviti pendidikan, kesihatan dan rekreasi penghuni dan peserta dapat dijalankan.

Jadilah Sahabat Teratak Rahmat



Sebarkan rahmat sebagai ‘Sahabat' Teratak Rahmat.
Teratak Rahmat sendiri adalah pusat yang diasaskan oleh sukarelawan. Malah ia bergantung kepada ‘keluarga’ Teratak Rahmat untuk memberikan penghuni dan pesertanya kehidupan yang lebih baik dan pilihan-pilihan yang lebih bermakna dalam mengharungi liku-liku kehidupan. Menjadi ‘keluarga’ Teratak Rahmat bererti menjadi sukarelawan/sukarelawati kepada Teratak Rahmat. Caranya amat mudah, hubungi Teratak Rahmat dan kami akan berbincang dengan anda berkenaan keperluan Teratak Rahmat dengan sumbangan yang anda kehendaki. Anda juga akan dirangkaikan dengan pengurus projek dan ketua pasukan sukarelawan yang akan membantu dan menyokong para sukarelawan.
Anda boleh menjadi ‘Sahabat’ Teratak Rahmat dengan:
i. Menyumbangkan beberapa jam setiap minggu, ataupun sehari dalam sebulan, sekali setiap beberapa bulan atau apabila Teratak Rahmat menjalankan program khas misalnya

Perkembangan Teratak Rahmat

1. PROGRAM SERIBU SEJAHTERA

HANYA RM 2.80 SEHARI

Firman Allah:

Maksudnya:

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan bagi (sesiapa yang dikehendaki-Nya); DAN APA SAHAJA YANG KAMU SEDEKAHKAN MAKA ALLAH AKAN MENGGANTIKANNYA KEMBALI; dan Dia lah jua sebaik-baik pemberi rezeki”

( Al-Quran,Surah Saba’: Ayat 39 )

Program ' SERIBU SEJAHTERA ' adalah usaha pengumpulan dan pengagihan sedekah untuk perbelanjaan pembelian dan pembinaan aset serta pengoperasian Teratak Rahmat. Matlamat jangka pendek program ' SERIBU SEJAHTERA ' ini adalah untuk mengumpulkan dana sekurang-kurangnya sebanyak RM100,000 untuk pengoperasian Teratak Rahmat sepanjang tahun 2009.
' SERIBU ' merujuk kepada RM1000 di mana Jawatankuasa Teratak Rahmat dengan rendah hati mencadangkan kepada setiap individu secara perseorangan ataupun suami-isteri/keluarga/rumah secara berkongsi dapat mengambil kesempatan dengan menyumbang sekurang-kurangnya RM1000 setahun. Seribu juga membawa makna banyak dalam ungkapan bahasa Melayu.
' SEJAHTERA' pula bermakna ‘aman dan makmur, senang dan tenteram, terpelihara daripada bencana (kesusahan, gangguan dan lain-lain)’. Kaitan antara sedekah dengan sejahtera dapat difahami apabila kelebihan sedekah difahami. Dengan mengemukakan ratusan dalil daripada al-Qur’an dan hadith sahih, Syeikh Ali Ibn Muhammad al-Dahhami dalam karangannya al-Sadaqatu Fada’iluha wa Anwa’uha menyenaraikan faedah sedekah kepada 20 kelebihan utama seperti berikut:
  1. Sedekah dapat memadamkan kemurkaan Allah
  2. Sedekah dapat menghapuskan dosa
  3. Sedekah merupakan pelindung daripada api neraka
  4. Orang yang bersedekah dipayungi oleh sedekahnya pada Hari Kiamat
  5. Sedekah dapat mengubati penyakit-penyakit fizikal
  6. Sedekah boleh merawat penyakit-penyakit hati / psikospiritual
  7. Sedekah menolak berbagai-bagai jenis bala
  8. Seorang hamba Allah itu akan mencapai hakikat al-Birr (kebaikan) hanya dengan sedekah
  9. Orang yang bersedekah setiap hari akan didoakan balasan yang baik oleh malaikat, akan tetapi sebaliknya kepada orang yang enggan bersedekah
  10. Harta orang yang bersedekah diberkati oleh Allah
  11. Tidak akan tertinggal harta kepada pemiliknya melainkan harta itu daripada kumpulan harta yang disedekahkan
  12. Allah melipat-gandakan pahala kepada orang yang bersedekah
  13. Orang yang bersedekah akan masuk ke syurga daripada pintu khusus yang dinamakan Pintu Sedekah
  14. Apabila terkumpul amalan sedekah, bersama puasa sunnat, mengiringi jenazah dan menziarahi orang sakit pada satu hari, maka dijanjikan balasan syurga
  15. Sedekah dapat melapangkan dada, melega dan mententeramkan hati
  16. Apabila orang yang bersedekah juga orang yang berilmu, maka dia berada pada kedudukan paling utama di sisi Allah
  17. Rasulullah menempatkan orang kaya yang rajin bersedekah seperti al-Qur’an yang rajin dibaca
  18. Sedekah di jalan Allah bersama-sama dengan pengorbanan nyawa merupakan penunaian janji antara seorang hamba dengan Allah dan menyempurnakan ikrar yang dibuat oleh hamba tersebut
  19. Sedekah merupakan bukti kebenaran iman seorang hamba Allah
  20. Sedekah dapat membersihkan harta dan mengikis kotoran yang menghinggapi harta akibat perbuatan sia-sia, sumpah, dusta dan kelalaian
Maka tidak keterlaluan dikatakan bahawa sejahtera adalah perkataan tunggal dalam bahasa Melayu yang paling hampir untuk merumuskan pelbagai kelebihan duniawi dan ukhrawi bagi orang-orang mukmin yang bersedekah. Oleh yang demikian, bertemulah kesejahteraan dengan kelebihan yang banyak dalam program SERIBU SEJAHTERA.
Justeru itu kami di Teratak Rahmat bersyukur kepada Allah apabila dapat melancarkan program SERIBU SEJAHTERA sebagai wadah untuk bersedekah dan beramal soleh di antara golongan yang diberikan kelebihan harta oleh Allah dengan golongan yang kurang bernasib baik. TERATAK RAHMAT menyediakan borang penyertaan program, menguruskan agihan sedekah, mengeluarkan resit dan membuat laporan berkala mengenai perkembangan pembiayaan daripada sumbangan sedekah ' SERIBU SEJAHTERA ' ini.
Bermula Januari 2009, sumbangan RM1000 bagi setiap individu / pasangan suami-isteri / keluarga / rumah bolehlah disalurkan kepada Teratak Rahmat menurut pendekatan di bawah :
  • RM1000 sekaligus atau
  • RM500 setiap 6 bulan atau
  • RM333 setiap 4 bulan atau
  • RM250 setiap 3 bulan atau
  • RM100 setiap bulan X 10 bulan atau
  • RM84 setiap bulan X 12 bulan (bersamaan RM2.80 SEHARI) **)
  • Bagi sumbangan yang mahu dibuat dalam tempoh melebihi satu (1) tahun, pendekatan berikut boleh dipertimbangkan:
  • RM50 setiap bulan X 20 bulan atau
  • RM25 setiap bulan X 40 bulan
Adapun sumbangan yang tidak mencapai jumlah terkumpul RM1000 turut dialu-alukan oleh Teratak Rahmat dengan penuh kesyukuran.
Para penyumbang juga diseru untuk mempromosikan program ini di kalangan saudara-mara, sahabat-handai dan rakan sekerja. Semoga sedekah Tuan/Puan yang tulus-ikhlas diterima oleh Allah serta dapat membantu saudara-saudara seIslam yang ditimpa kesusahan.

Yang Benar
Othman Haji Husin
Pengerusi Teratak Rahmat

Hubungi Teratak Rahmat

Marilah berkerjasama, sesungguhnya setiap sumbangan anda tidak ternilai harganya.
Sila hubungi kami di:
Pengerusi Teratak Rahmat
d/a Pusat Pengajian Persatuan Al-Islah Perlis
Km 1.2, Jalan Mata Ayer
02600 Mata Ayer
Perlis, Malaysia
Tel : +604-9772219
Tel: -Haji Othman Hussin (Pengerusi)
Tel: +6012-4426482 -Azwar Ibrahim (Setiausaha Kerja)

Tel: -Zulkifli Ahmad (Warden Tetap)
Tel : +604-9492051 - Zubir Mat Isa (Unit Operasi)
Tel: +6019-4459382 -Hazman Hassan (Unit Pendidikan)
Tel: +6012-5102007-Imran Mat Isa (Unit Kewangan & Pelaburan)

Faks:
Email: teratakrahmat@gmail.com
Laman web: teratakrahmat.blog.com

Siapakah Penghuni Teratak Rahmat

Teratak Rahmat adalah asrama untuk anak-anak orang miskin dan anak-anak yatim yang dibiarkan tanpa bimbingan dan bantuan. Mereka adalah perintis kepada kemajuan ummah kerana matlamat Asrama Teratak Rahmat ialah untuk melahirkan insan yang cemerlang dalam agama dan akademik.

Nama Teratak Rahmat

Nama Teratak Rahmat dipilih kerana ia bersifat sederhana, kemelayuan dan berciri tempatan. Ia boleh diterjemahkan sebagai Dar al-Rahmah ke dalam Bahasa Arab serta Cottage Of Mercy dalam Bahasa Inggeris.

TERATAK
Menurut Kamus Dewan (1996:1430) teratak bererti sejenis rumah kecil di sawah dan lain-lain untuk tempat tinggal sementara. Ia juga bermaksud rumah apabila dituturkan untuk merendah diri.

RAHMAT
Rahmat pula dimaknakan oleh Kamus Dewan (1996:1087) sebagai belas kasihan, kurnia, berkat; bahagia dan hikmat. Nama-nama Allah ada yang secara langsung merujuk kepada rahmat-Nya seperti al-Rahman, al-Rahim, al-Rauf dan al-Wadud, sedangkan nama-nama seperti al-Salam, al-Wahhab, al-Razzaq, al-Basit, al-Halim, al-Syakur, al-Karim dan al-‘Adl menunjukkan secara tidak langsung kepada sifat rahmat-Nya. Allah menyebarkan rahmat-Nya menerusi sunnah-Nya di alam dunia dan di alam akhirat, dalam perjalanan kehidupan insane; kepada para Nabi dan rasul serta orang-orang mukmin; kepada para pembangkang-Nya seperti iblis dan orang kafir; serta kepada jin, haiwan, tumbuhan dan sekalian makhluk. Malah dalam seluruh pensyariatan ibadah mahdah, muamalat, munakahat, hukum jenayah dan jihad terkandung rahmat Allah yang amat luas kepada hamba-hamba-Nya. Lihat juga Rawdah al-Na’im fi Ma’rifah al-Rahman al-Rahim karya Sayyidah Hannan Fathi.

Objektif Teratak Rahmat

i. Melahirkan generasi yang berpegang kepada pedoman Islam yang selaras dengan al-Qur’an dan al-Sunnah
ii. Pusat sehenti kebajikan (one-stop charity centre) di mana golongan fakir-miskin, ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya (OKU), mangsa keganasan rumah tangga, muallaf/saudara baru, anak yatim, penghidap penyakit kronik dan pelajar- pelajar miskin akan bersama-sama mendapat pembelaan sebagai sebuah keluarga besar
iii. Pusat perlindungan sementara (halfway house) bagi kes-kes yang dirujukkan oleh pihak berkuasa, NGO atau orang perseorangan

Kepentingan Teratak Rahmat


  1. Mengambil iktibar daripada pengasasan institusi pendidikan dan kebajikan dalam Sunnah Rasulullah serta Sirah baginda iaitu Rumah al-Arqam Ibn Abi al-Arqam di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah
  2. Meneruskan kesinambungan institusi pendidikan masyarakat Islam di Perlis
  3. Meluaskan skop sumbangan umat Islam Perlis secara lebih komprehensif dan sistematik menerusi pendekatan Dakwah Bil Hal yakni dakwah menerusi projek kebajikan dengan pendekatan sistem temu-seru (outreach) tersusun yang melepasi sempadan manhaj, agama dan kaum.
  4. Merapatkan jurang antara teori dengan praktikal dalam realiti kehidupan zaman pasca-moden, antara penuntut ilmu-ilmu Islam dengan masyarakat awam.

Tempat Teratak Rahmat


Tempat bagi Teratak Rahmat beroperasi adalah di Pusat Pengajian Persatuan Al-Islah, KM 1.2 Jalan Mata Ayer.

Pengiktirafan Teratak Rahmat


Teratak Rahmat akan didaftarkan sebagai Pusat Jagaan atau Nursing Home di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat (KPWKM).
Dalam hal ini, Teratak Rahmat akan berkerjasama menurut bimbingan al-Qur’an dan al-Sunnah dengan sebarang pihak sama ada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam dan luar negara, pihak korporat, orang perseorangan

Perlaksanaan Teratak Rahmat

Sebagai badan kebajikan berautonomi, Teratak Rahmat bernaung di bawah Persatuan Al-Islah Perlis. Teratak Rahmat akan ditadbirkan menurut hirarki berikut:
  • Penasihat I Teratak Rahmat serta Pakar Rujuk Syariah Teratak Rahmat iaitu Dato’Alim Setia Ustaz Ahmad Yusuf Amin adalah Yang Dipertua Persatuan Al-Islah
  • Penasihat II Teratak Rahmat iaitu Dato’ Kaya Pahlawan Haji Abdul Rashid Jasin adalah Naib Yang Dipertua Persatuan Al-Islah
  • Pengerusi Teratak Rahmat iaitu Haji Othman Hussin yang memantau perjalanan dan perkembangan Teratak Rahmat
  • Setiausaha Kerja Teratak Rahmat iaitu saudara Azwar Ibrahim yang menjalan kerja-kerja sekretariat Teratak rahmat
  • Jawatankuasa Kecil Pengurusan Teratak Rahmat yang dipengerusikan oleh saudara Zubir Mat Isa untuk mengurustadbir perjalanan Teratak Rahmat.
  • Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pengurusan Teratak Rahmat juga menjadi Penyelia Teratak Rahmat. Jawatankuasa kecil ini dianggotai oleh Warden Tetap serta Warden Litar Teratak Rahmat
  • Jawatankuasa Kecil Kewangan Dan Pelaburan Teratak Rahmat yang dipengerusikan oleh saudara Imran Mat Isa untuk mencari dana bagi menampung
  • Jawatankuasa Kecil Pembinaan Asrama Teratak Rahmat yang berusaha memfokus kepada pembinaan asrama selaku projek jangka panjang, dipengerusikan oleh Haji Bostani Abdul Rahman
  • Jawatankuasa Kecil Pendidikan Teratak Rahmat yang berkhidmat untuk merangka dan menjalankan program dakwah dan tarbiyyah Teratak Rahmat, dipengerusikan oleh Haji Hazman Hassan.

Sumber Ekonomi Teratak Rahmat


Sebagai projek yang bukan berorientasikan keuntungan (non-profit), Teratak Rahmat bergantung kepada sumbangan ikhlas untuk membiayai operasinya. Oleh itu Teratak Rahmat menerima sadaqah dan zakat. Buat masa terdekat ini, Sekiranya anda mahu menyumbang dengan cek, tuliskan cek anda atas nama TERATAK RAHMAT. (Di belakang cek, sila tuliskan Teratak Rahmat dan program khusus yang mahu anda bantu, sekiranya ada.)

Hantarkan cek anda kepada:
Pengerusi Teratak Rahmatd/a Pusat Pengajian Persatuan Al-Islah PerlisKm 1.2, Jalan Mata Ayer02600 Mata AyerPerlis, Malaysia.

Untuk keterangan lanjut serta untuk menyalurkan sumbangan tunai, pihak kami boleh dihubungi sebagaimana yang tertera di atas atau melalui telefon (Azwar @019-4776482). Bagi tujuan bank-in, sumbangan boleh dimasukkan ke akaun Bank Muamalat atas nama TERATAK RAHMAT di nombor akaun 0901-0019362-72-9..


Sumbangan tunai, makanan, peralatan, tenaga kepakaran, sukarelawan, buah fikiran dan sebagainya juga boleh disalurkan terus kepada ahli-ahli jawatankuasa Teratak Rahmat.
Sebagai strategi jangka sederhana, beberapa strategi berikut akan dilaksanakan memperolehi pendapatan bagi Teratak Rahmat ialah:
  • Menanam sumber makanan penghuni seperti sayur-sayuran dan buah-buahan tertentu, serta menternak ikan air tawar (sedang diusahakan)
  • Memohon pengecualian cukai pendapatan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas sumbangan yang diberikan kepada Teratak Rahmat 
  • Warung Teratak Rahmat di mana sebuah gerai makanan didirikan dengan hasil jualan disalurkan sebagai elaun warden dan membiayai operasi Teratak Rahmat (sedang dirancang)
  • Pelaburan-pelaburan yang halal menurut Syariah Islam
Bantuan segera adalah amat diharapkan untuk memulakan operasi awal Teratak Rahmat sebelum strategi jangka sederhana di atas dapat dilaksanakan. Perincian bentuk-bentuk bantuan tersebut adalah sebagaimana yang dilampirkan.
Bantuan juga adalah dipelawa dengan pendekatan berikut:
  • Bantuan Am – penyumbang memberikan sumbangan secara umum untuk segala urusan operasi dan pentadbiran Teratak Rahmat
  • Bantuan Khas – penyumbang menentukan secara spesifik bagaimana sumbangan dibelanjakan misalnya untuk makanan, untuk persekolahan, untuk kelas al- Qur’an, untuk program hujung minggu dan sebagainya
  • Skim Anak Angkat – penyumbang mengambil salah seorang atau beberapa penghuni Teratak Rahmat sebagai anak angkat yang ditaja
  • Bantuan Makanan – penyumbang memberikan bahan mentah sebagai makanan Teratak Rahmat
  • Bantuan Sukarelawan – penyumbang memberikan masa, tenaga dan kepakaran untuk mendidik dan menjaga penghuni Teratak Rahmat
  • Bantuan Peralatan – penyumbang memberikan atau meminjamkan peralatan untuk Teratak Rahmat
  • Dan sebagainya seperti mengadakan kenduri kesyukuran di Teratak Rahmat, menaja pakaian Hari Raya, mengadakan majlis berbuka puasa, menaja lawatan sambil belajar penghuni Teratak Rahmat dan lain-lain.

Pengisian Teratak Rahmat


Buat permulaan, Teratak Rahmat akan beroperasi sebagai pusat jagaan iaitu projek perintis di mana maksimum 20 orang pelajar terdiri daripada anak-anak yaitm/miskin akan mula menghuni Teratak Rahmat secara harian bermula sessi persekolahan yang akan datang iaitu Januari 2009
Seterusnya dengan izin Allah dan kemudiannya sokongan padu semua, program-program berikut dicadangkan mengisi diari Teratak Rahmat secara berperingkat-peringkat:
  1. Kelas pengajian untuk penghuni seperti kelas Qiraat dan Tajwid al-Qur’an, kelas Bahasa Arab, kelas Harfiyyah, tuisyen subjek-subjek akademik, kelas Tai Chi, kelas Silat, kelas Teknologi Maklumat (IT), kelas bimbingan mengarang, kelas pengucapan awam, kelas hujung minggu (Ma’had Sabtu Ahad)
  2. Pondok pengajian warga emas
  3. Program berkala seperti Kursus Solat, Pengurusan Jenazah, Kursus Haji dan Umrah, Kursus Pra-Perkahwinan, Kursus Kemantapan Keluarga Islam, pengislaman saudara baru, Iftar (majlis berbuka puasa), perkhemahan, penyembelihan korban Aidil Adha
  4. Pembangunan laman web Teratak Rahmat
  5. Makmal siber dan multimedia
  6. Pusat sumber pembelajaran (perpustakaan) menyediakan buku agama, buku bacaan umum, buku akademik, majalah, akhbar, kaset, CD, VCD
  7. Sessi kaunseling menerusi pertemuan, kaunseling kelompok dan kaunseling menerusi telefon
  8. Dan sebagainya

Bantuan Operasi Awal

1. Majlis Silaturrahim Teratak Rahmat, AMI & I-KIDS

Di bawah ini disiarkan sepenuhnya undangan rasmi Teratak Rahmat (TR) kepada orang ramai ke majlis silaturrahim Teratak Rahmat, AMI dan I-KIDs.
Pihak yang berminat harap hubungi Setiausaha Kerja TR, saudara Azwar Ibrahim di talian 012-4426482 atau Ketua Unit Pendidikan TR, saudara Hazman Hassan di talian 019-4459382. Surat undangan serta aturcara majlis adalah seperti berikut:
1 Disember 2008

Kepada
Yang Berbahagia
Dato’ / Datin / Tuan / Puan / Cik
____________________________
____________________________
____________________________

Assalamualaikum Warahmatullah

MAJLIS SILATURRAHIM TERATAK RAHMAT, ANJUNG MAKLUMAT al-ISLAH dan I-KIDS

Merujuk perkara di atas sukacita dimaklumkan bahawa Persatuan Al-Islah Perlis akan menganjurkan majlis silaturrahim di atas dengan tujuan berikut:

1.Membuka ruang untuk beramal salih khususnya dalam masa-masa yang penuh keberkatan dalam 10 hari pertama bulan Zulhijjah.
Dari Ibnu ‘Abbâs radhiyallâhu ‘anhuma beliau berkata, Rasūlullâh Shallâllâhu ‘alaihi wa Sallam bersabda :

“TIDAK ADA HARI-HARI UNTUK BERAMAL SHÂLIH DI DALAMNYA YANG LEBIH DICINTAI OLEH ALLAH MELEBIHI DARIPADA HARI-HARI INI.” (iaitu sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah) Para sahabat bertanya, “Wahai Rasūlullâh, tidak pula jihâd fî sabîlillâh?”. Rasūlullâh Shallâllâhu ‘alaihi wa Sallam menjawab, “Tidak pula jihâd fî sabîlillâh melainkan seorang lelaki yang keluar jiwa dan hartanya (untuk berperang), dan dia tidak kembali membawa sesuatu apapun.” (HR Bukhârî).

Maka bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredhaan, keampunan dan pahala amalan. Lihat Zad al-Ma’ad fi Hadyi ‘ala Khayr al-‘Ibad oleh al-Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah.

ii. Memperkenalkan Teratak Rahmat (badan kebajikan dan rumah anak yatim/miskin), Anjung Maklumat al-ISLAH (pusat sumber, makmal multimedia & arkib sejarah) dan I-KIDs (kelab aktiviti kanak-kanak)
iii. Mendapatkan permuafakatan dan bantuan di kalangan para jemputan dalam menjayakan projek ini dan menangani cabarannya

Oleh yang demikian, Yang Berbahagia Dato’/Datin/Tuan/Puan/Cik adalah dijemput menyertai majlis ini pada sabtu 6 Disember 2008, bertempat di Pusat Pengajian Persatuan al-Islah, Mata Ayer. Majlis akan dimulakan dengan solat fardu asar secara berjama’ah.

Oleh yang demikian, besarlah harapan kami jika Yang Berbahagia Dato’/Datin/Tuan/Puan/Cik dapat menyertai majlis ini. Sila hubungi Setiausaha Kerja Teratak Rahmat, saudara Azwar Ibrahim di talian 012-4426482 untuk sebarang pertanyaan dan pengesahan kehadiran.

Atas segala kerjasama Yang Berbahagia Dato’/Datin/Tuan/Puan/Cik terlebih dahulu diucapkan setinggi-tinggi terima kasih.

Yang Benar

Dato’ Alim Setia Ustaz Ahmad Yusuf Amin
Yang Dipertua
Persatuan Al-Islah Perlis


ATURCARA
MAJLIS SILATURRAHIM TERATAK RAHMAT, ANJUNG MAKLUMAT al-ISLAH dan I-KIDS

ATURCARA

04.00 petang
Ketibaan jemputan & pendaftaran kehadiran

04.45 petang
Solat asar berjama’ah

05.00 petang
Ucapan Pengerusi Majlis
Bacaan al-Qur’an
Ucapan Alu-aluan Yang Dipertua Persatuan Al-Islah
Pelancaran Blog Teratak Rahmat
Taklimat Pengerusi Teratak Rahmat
Taklimat Pengerusi Anjung Maklumat al-Islah (AMI)
Taklimat Pengerusi I-KIDs
Perkenalan dengan barisan jawatankuasa, warden
dan penghuni.
Tinjauan Hadirin Ke Ruangan Operasi (bilik, dapur,
Perpustakaan dan lain-lain)
Sesi Dialog dan Percambahan Fikiran
Pendaftaran Sahabat Teratak Rahmat dan ikrar sumbangan

07.01 malam
Solat maghrib
Jamuan makan malam
Majlis Bersurai