Monday, August 11, 2014

KORBAN 2014


KREATIFNYA MEREKA.... ;)

Satu pagi, seperti biasa di hari minggu saya meninjau kawasan sekeliling. Melihat aktiviti anak-anak. Tiba-tiba di suatu sudut saya mendapati ini..


Terhenti sekejap memikirkan kenapa kotak ni boleh ada di atas tu. Kemudian barulah terfikir kotak itu menyerupai apa, he he.... Dapat teka tak?



alahai kreatifnya anak2 ni, nak main punya pasal he he... Tapi itulah memori yang paling berharga dalam diri kanak-kanak. Berusaha untuk mendapatkan sesuatu itu, hasilnya lebih manis walaupun ianya tidaklah setanding yang sebenar.

Monday, September 16, 2013

PROGRAM KORBAN EIDUL ADHA 2013














Firman Allah swt :-
 "Maka ketika anak itu sampai (pada umur) sanggup berusaha bersamanya, (Ibrahim) berkata, "Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah bagaimana pendapatmu!" Dia (Ismail) menjawab, "Wahai ayahku!  lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu; insyaAllah engkau akan mendapatiku termasuk orang yang sabar. Maka ketika keduanya telah berserah diri dan dia (Ibrahim) membaringkan anaknya atas pelipisnya, (untuk melaksanakan perintah Allah). Lalu Kami panggil dia, "Wahai Ibrahim! sungguh engkau telah membenarkan mimpi itu. Sungguh, demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar"  (Surah As-Saffat : 102-107)


Ibadah Korban bagi tahun ini semakin menghampiri kita, ibadah yang disyariat oleh Allah simbolik dari kisah pengorbanan Nabi Ibrahim yang melaksanakan perintah Allah dalam mimpinya supaya menyembelih satu-satunya anak yang dinanti kehadirannya dengan penuh sabar. Hari ini, rata-rata kita dapat lihat kasih-sayang antara ibu-bapa dan anak begitu melimpah ruah. Malaysia yang masih makmur alhamdulillah, anak-anak dirai di setiap percutian sekolah dengan membawa mereka kesana-sini lokasi percutian, setiap keinginan anak akan cuba dipenuhi sedaya ibubapa. SEJENAK...., mari kita renung apa mampu kita berkorban sehebat Ibrahim.

 Dari Aisyah, Rasulullah bersabda (maksudnya):
"Tidak ada satu amalan anak Adam di hari-hari Nahar (Hari-hari 'Eidul Adha) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih), kerana ia (binatang korban) itu akan datang di hari kiamat nanti dengan tanduk dan kukunya dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke atas ibadah korban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang korban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu pilihlah olehmu binatang terbaik untuk dikorbankan".  (Hadis riwayat Hakim, Ibnu Majah dan Titmidzi darjat Hadis Hasan Gharib)


IBADAH KORBAN BERSAMA TERATAK RAHMAT DATANG LAGI!!!!!!!!!!!!!!!!!



PILIHAN KEDUA : 

PADA YANG INGIN MELAKSANAKAN IBADAH KORBAN BUAT DIRI SENDIRI DAN SEISI AHLI KELUARGA, BOLEHLAH MENEMPAH TEMPAHAN KORBAN KAMBING. SEPERTIMANA SEPOTONG DALIL YANG BERMAKSUD:

"Di masa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, setiap seseorang lelaki berkorban dengan seekor kambing untuknya dan untuk keluarganya”. 
(H/R Tirmizi, kitab al-Adhahi 2/1216 (hadis ini disahihkan oleh beliau). Dikeluarkan oleh Ibnu Majah, 2/2546 (dengan sanad yang sahih). Hadis ini disahihkan juga oleh Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani)


ORANG RAMAI DIALU-ALUKAN UNTUK MENYERTAI PROGRAM KORBAN BERSAMA TERATAK RAHMAT

Wednesday, July 17, 2013

SUPERFRENDS

Nama yang diberi menggambarkan ikatan persahabatan yang kuat dan erat. Mungkin itulah apa yang cuba disampaikan oleh ahli-ahli kumpulan kecil ini apabila mereka gigih mencari persahabatan dan ikatan itu tidak dibiarkan begitu sahaja sebaliknya terus dikemaskan dari masa ke masa. Mereka adalah kumpulan yang terdiri dari pasangan suami isteri dan juga sahabat baik. Kak Kusyi, Abg Zul dan Kak Kham. 

Nabi SAW bersabda yang maksudnya : 
"Muslim ( orang Islam ) adalah saudara bagi orang Islam lainnya, dia tidak menganiayanya dan tidak pula menyerahkannya kepada musuhnya (tidak juga meninggalkannya tanpa pertolongan), barangsiapa menolong saudaranya untuk memenuhi hajatnya, maka Allah bersamanya dalam memenuhi hajatnya, dan barangsiapa melapangkan suatu kesusahan dari seorang muslim, maka Allah akan melapangkan baginya suatu kesusahan dari kesusahan di hari kiamat, dan barangsiapa menutupi (aib) seorang muslim, maka Allah menutupi aibnya di hari kiamat."
(Hadis Riwayat Muslim).


Kami mula mengenali mereka pada tanggal 13 Ogos 2011 sempena lawatan pertama mereka ke Teratak Rahmat. Lawatan yang membawa barang-barang persiapan raya untuk anak-anak di sini. Anak-anak di sini amat terhibur dengan lawatan mereka yang mesra dan menyenangkan. Hubungan ini berlanjutan hingga tahun ini, kumpulan ini masih datang bersama sumbangan untuk persiapan raya. Tahun ini lebih istimewa apabila anak-anak ini berserta para sukarelawan Teratak Rahmat dijemput untuk ke Pulau Pinang bagi program membeli persiapan raya. Program ini turut disertai oleh rumah anak yatim Ummu Sofiah yang terletak di Trong Perak.
Baru tiba di Tesco Tanjung Bunga
Sukarelawan Superfrends bersama ahli kumpulan


Gelagat anak-anak dengan persiapan raya memanglah dapat dijangka. Mereka begitu teruja dan gembira dengan layanan yang diberikan oleh semua sukarelawan Superfrends yang lain (dalam lingkungan 20 orang). Usaha ini sangat dihargai memandangkan anak-anak ini kurang berkesempatan dibawa berjalan ke luar dari Perlis, jika dibandingkan dengan kawan-kawan mereka yang berkeluarga diluar sana. Kesempatan yang diberikan untuk bermalam di TM Resort juga amat menggembirakan. Tambahan mereka dapat bertemu kawan baru di Ummu Sofiah, suasana itu sangat mengharukan. Anak-anak ini dilayan begitu istimewa oleh kumpulan Superfrends berserta sukarelawannya.

Allah berfirman:
"Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapak, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri."
 (QS. An-Nisaa:36) 
Terharu sambutan yang diberikan


Keluarga Teratak Rahmat & Ummu Sofiah sewaktu pendaftaran bilik

Sumbangan duit raya
Sumbangan untuk Teratak Rahmat disampaikan oleh YTM Dato' Sri Diraja Tunku Soraya bt Sultan Abdul Halim Muazam Shah

Bergambar kenangan bersama anak-anak Ummu Sofiah


Kami disini mendoakan semoga ramai lagi yang akan mengikut jejak Superfrends menjadikan ini amal jariah mereka yang berterusan kelak. Semoga Superfrends terus cekal dalam kerja-kerja kebajikan ini kerana setiap sesuatu itu pasti ada cabarannya. Selamat maju jaya dari kami keluarga besar Teratak Rahmat.

Thursday, June 20, 2013

Sentuhan SUKARELAWAN

         Teratak Rahmat pernah menerima kunjungan dari banyak sukarelawan. Ada yang bekerja kerajaan, mempunyai perniagaan sendiri, pelajar IPT malah  pesara. Bidang sumbangan mereka juga pelbagai mengikut kepakaran masing-masing. Pada  awal tahun ini, kami menerima  seorang lagi sukarelawan muda yang hatinya memang cenderung kearah kerja-kerja kebajikan. Hasnul Fikri bin Zakaria merupakan bekas pelajar tingkatan 5 Sek. Men. Sains Tuanku Syed Putra, Kangar perlis. Beliau mula melibatkan diri dengan keluarga Teratak Rahmat sewaktu cuti menunggu keputusan SPM yang lalu melalui seorang kenalannya. Kegigihan anak muda ini amatlah dikagumi kerana bertitik tolak dari perkenalan pertama itu, beliau mula mengikuti kelas-kelas bimbingan agama yang diadakan di sini serta menawarkan kelas tambahan bagi anak-anak Teratak Rahmat 2 kali seminggu.  Beliau juga sering membawa buah tangan untuk anak-anak disini mengikut kemampuannya. Hasnul atau lebih mesra sebagai ‘abang Mat’ amat digemari dikalangan anak-anak disini terutamanya kumpulan adik-adik yang masih kecil. Kehadirannya sentiasa disambut gembira oleh mereka. 

Hasnul - berbaju hitam
       Kini anak muda ini melanjutkan pelajaran di Pusat Matrikulasi Sains Perak. Hasnul berhajat untuk menyambung pelajaran di Universiti Al-Azhar dalam bidang perubatan. Keluarga Teratak Rahmat mendoakan semoga beliau senantiasa berada di bawah rahmat Yang Esa dengan hidayahNya serta memudahkan segala urusan beliau sepertimana beliau membantu urusan kami disini. Kehadiran sukarelawan muda sepertinya memberi satu sentuhan peribadi yang besar maknanya bagi kami disini. Penglibatan para sukarelawan menandakan sokongan orang ramai kepada kerja-kerja kebajikan ini. Penghargaan yang tidak terkira dari kami, semoga Allah sahaja yang membalas segala kebaikan para sukarelawan.
Hasnul semasa bercuti di Cameron Highland bersama anak Teratak Rahmat serta keluarga sukarelawan En. Sofian


Thursday, April 4, 2013


Al-Quran Beri Gambaran Jelas Umat Prihatin, Ikhlas Bantu Golongan Miskin Dilimpahi Rahmat

DALAM al-Quran sebanyak 23 kali disebut perkataan 'yatim' dan penggunaan kata-kata yatim itu merujuk kepada kemiskinan dan kepapaan. Ertinya mereka yang berada dalam golongan yatim (anak yatim) memerlukan perhatian dan pembelaan daripada masyarakat untuk membolehkan mereka hidup selesa dan sempurna seperti orang lain yang mempunyai penjaga (ayah atau ibu).
Al-Quran secara jelas menegaskan dalam beberapa ayatnya yang menyuruh kita berbuat baik kepada anak yatim. Surah al Baqarah, ayat 220, Allah SWT berfirman bermaksud; “Mereka bertanya kepadamu mengenai anak yatim, katakanlah: Memperbaiki keadaan mereka adalah baik.”

Daripada Abu Ummah diceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah SWT, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap. Dan barang siapa yang berbuat baik kepada anak yatim perempuan dan lelaki, maka aku dan dia akan berada di syurga seperti ini, Rasulullah SAW mengisyaratkan merenggangkan antara jari telunjuk dan jari tengahnya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Mengulas hadis riwayat Ahmad itu, Al-Hafizah Ibnu Hajar Al-Asqalani berkata: “Cukuplah sebagai bukti yang menetapkan dekatnya kedudukan Nabi dengan kedudukan orang yang mengasuh anak yatim, kenyataan bahawa antara jari tengah dan jari telunjuk tidak ada jari yang lain.”

M Khalilurrahman Al-Mahfani dalam sebuah bukunya mencatatkan mengenai anak yatim: “Anak yatim adalah satu daripada komponen kehidupan yang harus kita rahmati. Dengan kata lain, kita harus menjadi rahmat bagi mereka, bukan menjadi musibah.”

Rahmat bagi mereka dizahirkan dalam bentuk kepedulian yang nyata, antara lain mengasuh mereka dalam keluarga kita, membantu ekonomi dan pendidikan, menjadi orang tua asuh, serta aktif mengelola rumah asuhan.
Sesungguhnya Islam adalah agama yang sangat menitikberat kesejahteraan umatnya, terutama nasib golongan yang lemah seperti orang miskin, ibu tunggal dan anak yatim. Sehubungan itu, Allah SWT memerintahkan kepada Nabi-Nya dengan firman-Nya dalam surah Ad-Dhuha ayat 9 yang bermaksud: “Adapun terhadap anak yatim, maka janganlah engkau berlaku sewenang-wenangnya.”

Dalam surah lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka dengan syurga dan kain sutera.” (Surah Al-Insan ayat 12)

Sesiapa yang berlaku tidak baik atau bersikap zalim terhadap anak yatim pasti akan menerima balasan daripada Allah SWT dan golongan ini dianggap antara satu ciri orang yang mendustakan hari akhirat. Firman Allah SWT bermaksud: “Tahukah kamu orang yang mendustakan hari akhir? Itulah orang yang mengherdik anak yatim dan tidak menganjurkan untuk memberi makan orang miskin.” (Surah Al-Ma’un ayat 1-3)

Jelaslah bahawa pahalanya sangat besar bagi sesiapa yang berbuat baik atau memelihara anak yatim. Dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang memelihara anak yatim dalam kalangan umat Muslimin, memberinya makan dan minum, pasti Allah SWT akan masukkan ke dalam syurga, kecuali ia melakukan dosa yang tidak boleh diampun.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Banyak hikmah dan kebaikan apabila anak yatim dalam keluarga dan anak yatim itu dijaga dengan baik. Allah SWT akan memberi rahmat dan kasih sayang-Nya dan keluarga kita akan berasakan ketenangan dan kebahagiaan, tetapi jika anak yatim yang ada di bawah peliharaan atau pun jagaan kita diperlakukan tidak baik, maka perbuatan itu akan menerima balasan daripada Allah.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik rumah di antara orang Islam adalah rumah yang didalamnya ada anak yatim yang diperlakukan dengan sebaik-baiknya dan seburuk-buruk rumah adalah rumah yang di dalamnya ada anak yatim, namun diperlakukan dengan buruk.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Allah SWT juga berjanji akan memberi pahala dan ganjaran yang setimpal kepada kaum Muslimin yang membantu meringankan beban anak yatim dengan memberi sumbangan wang ringgit (derma atau sedekah). Banyak sedikit sumbangan yang diberikan itu bukan ukurannya, tetapi keikhlasan yang penting. Allah melihat apa yang ada dalam hati.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Katakanlah, sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (sesiapa yang dikehendaki-Nya)’, dan apa saja yang kamu infakkan, maka Allah akan menggantikannya dan Dialah pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.” (Surah Saba ayat 39).

Dalam surah lain Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Apa saja yang kamu infakkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. Orang yang berbuat zalim tidak ada seorang penolong pun baginya.” (Surah Al-Baqarah ayat 270)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada suatu pagi yang dilalui oleh seorang hamba kecuali dua malaikat turun. Satu daripadanya berkata: Ya Allah, berilah ganti orang yang berinfak (dermawan). Malaikat yang satu lagi berkata: Ya Allah, berilah kehancuran bagi orang yang kedekut.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad dari Abu Hurairah).


Sunday, March 17, 2013


BERPISAH SEMENTARA



Mustaqem, anak istimewa


Setiap pertemuan ada perpisahan, walaupun pertemuan itu hanyalah sementara dan perpisahan itu terasa sangatlah lama masanya. Namun, itulah ketentuan Ilahi, samada redha atau sebaliknya, ia tetap terjadi. Terngiang-giang bisikan 'apabila dugaan menimpa diri maka bersabarlah diatas suratan ini'.




Hujan yang lebat di pagi isnin itu, seolah-olah turut bersedih bersama kami. Apabila, anak yang kami kasih dan sayang pergi meninggalkan kami. Namun begitu, jika inilah yang terbaik untuk dirinya maka kami relakan dia pergi walaupun berat untuk kami berpisah dengannya.


Malam perpisahan

Mustaqem bin Salleh (Mus) , adalah anak Teratak Rahmat yang istemewa buat kami. Kini, dia telah berada di KAGUMAS CULINARY ACADEMY selama 6 bulan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang PENYEDIAAN MAKANAN tahap 1 dan 2..

Kisah anak ini amat memilukan hati, Mus berasal daripada keluarga yang miskin dan kehidupannya tidak terurus. Mus telah kematian bapa pada usianya baru 6 tahun. Dia dibesarkan oleh ibu yang kini berusia 59 tahun bersama seorang lagi adik yang kini di sekolah menengah. Rumah mereka begitu dhaif pada lawatan kami yang lepas. Alhamdulillah, Allah memudahkan urusannya apabila  Mus dibawa ke Teratak Rahmat atas pertolongan dan keprihatinan gurunya iaitu Cikgu Nazri dan juga seorang rakan kepada Asrama Teratak Rahmat En Tengku Badrillah.


Kami sayang Mus!!!


Di Teratak Rahmat, Mus merupakan seorang anak OKU yang baik hati, walaupun keadaannya sedemikian Mus tidak pernah melakukan masalah disiplin mahupun di sekolah atau di asrama. Pada awalnya, Mus seorang anak  yang bersifat pemuram dan selalu bersedih, lama-kelamaan dia semakin berkeyakinan dan telah berubah menjadi seorang yang periang dan ringan tulang walaupun dia mempunyai badan yang besar;). Mus selalu membuatkan kami ketawa dengan karakternya yang lurus dan jujur. Oleh sebab itu, Mus amat disayangi oleh warden-warden asrama dan warga Teratak Rahmat yang lain.



Mudah mudahan Allah S.W.T sentiasa menjaga keselamatan mus ketika disana dan segala proses pembelajarannya dipermudahkan oleh Allah. Dan, kami di sini berharap Mus dapat pulang ke asrama dengan kejayaan........





AMIN....

Inilah Mus sekarang...bergaya tak?